Selasa, 11 Januari 2011

Anwar cabar Najib debat, kos Program 100 Hari cuma RM19b



PETALING JAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar berdebat secara terbuka berhubung Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang menurut Putrajaya akan memufliskan negara.

Ketua pembangkang itu berkata, program 100 Hari Pakatan Rakyat itu hanya memerlukan perbelanjaan sebanyak RM19 bilion setahun berbanding RM51 bilion yang ‘dirampas’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu kroninya.

“Biar rakyat buat keputusan berdasarkan fakta, Perdana Menteri cabar kita dan tuduh kita,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“Beliau (Najib) yang beri ulasan terbuka ini adalah pendekatan yang tidak bertanggungjawab,” kata Anwar yang mengulangi agar Najib tampil secara berani sebagai ketua kerajaan untuk mempertahankan hujahnya dan “beri ruang kepada kita untuk pertahankan hujah kita.”

Semalam Najib membidas pelan 100 hari yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat yang disifatkannya sebagai populis dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata selepas dikaji pelan itu, ia sebenarnya tidak berpaksi kepada kenyataan kerana tidak ada pembentangan dari segi punca kewangannya.

“Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadaikan masa depan negara. Kita tidak boleh begitu, tidak bertanggungjawab sama sekali sehingga anak dan cucu kita merana nanti.

“Malah, tak perlu tunggu anak dan cucu, dalam masa dua tahun sahaja, mengikut perkiraan kita, jika janji itu dilaksanakan tanpa mengambil kira kemampuan negara,” kata Najib semalam.

Tiada ulasan: