Sabtu, 15 Januari 2011

Anak: Usah politikkan Interlok, bapa saya bukan ahli politik

KUALA LUMPUR – Anak kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain hari ini melahirkan rasa kecewa dan terkilan apabila ada pihak yang sanggup “mempolitikkan” novel Interlok, yang telah dihasilkan kira-kira 40 tahun lalu.

Thariq Abdullah berkata, ayahnya tetap mempertahankan novel Interlok yang kini menjadi buku teks Tingkatan lima bermula tahun ini.

“Beliau (Abdullah) bukan ahli politik, kalau beliau mahu sudah lama beliau berkecimpung, beliau hanya berminat dalam sastera sahaja.

“Saya terkilan apabila ada pemimpin politik yang nak jadi juara apabila mempolitikkan karya (Interlok) ini,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Memprotes Mempolitikkan Interlok di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di sini.

Perhimpunan kira-kira dua jam itu turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka hasil tulisan Abdullah menjadi kontrovesi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India.

Ada pandangan yang mengatakan aspek kontroversi juga membabitkan kaum-kaum lain.

Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Perhimpunan itu telah memutuskan beberapa resolusi iaitu menolak sebarang tuduhan bahawa Interlok adalah novel yang menghina masyarakat India, menolak sebarang cadangan mahu menarik balik penggunaannya atau memindanya, mempertahankan kebebasan penulis untuk menulis dan pengucapan sastera dalam rangka perundangan.

Selain itu, perhimpunan itu turut memandang serius masyarakat India yang mempolitikkan karya sastera Abdullah dan mengancam kerajaan berkaitan perkara itu, juga berpandangan bahawa tindakan untuk mempolitikkan bahan-bahan sastera adalah perbuatan salah dan penganjurnya harus diambil tindakan undang-undang.

Perhimpunan yang disertai kira-kira 50 orang itu juga menuntut pemimpin yang mempunyai jawatan tertinggi dalam kerajaan harus dipecat kerana mencetuskan salah, prasangka dan pergolakan kaum selain turut menuntut Kementerian Dalam Negeri bertindak tegas terhadap sebarang usaha dan perebutan yang mencabar keamanan awam.

Antara NGO yang menyertai perhimpunan itu adalah Perkasa, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Se-Malaysia (Pekida), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ikatan Persuratan Melayu dan Persatuan Kebajikan Penulis Negeri Selangor (Kemudi), Persatuan Penulis Nasional (Pena).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat berkata pertemuan muhibah Khamis lalu telah memutuskan untuk menghormati karya seni Interlok yang mengandungi unsur-unsur sejarah dan imiginasi, khuatir dengan perangkap politik di sebalik polemik Interlok dan semua pihak harus berhati-hati, membantah pembakaran Interlok dan bersetuju menggunakan keadah dialog untuk menyelesaikan polemik, dan mengadakan pertemuan kedua Rabu ini bagi membincangkan wajar atau tidak wajar novel itu menjadi buku teks Tingkatan Lima.

“Dalam pertemuan muhibah kedua, setiap kumpulan perlu menyediakan asas yang kukuh kewajaran dan ketidakwajaran Interlok menjadi buku teks sekolah.

“Perkara ini perlu diteliti dengan penuh hikmah kerana ia melibatkan maruah kedua-dua pihak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Beliau yang juga moderator pertemuan itu berkata, bagi sebahagian masyarakat India perkataan “paria” pada muka surat 211 dan isu kasta muka surat 219 boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan para pelajar sekolah, memberi pandangan negatif terhadap masyarakat India dan menjatuhkan maruah mereka.

“Sedangkan di pihak kumpulan budayawan pula berpendapat bahawa menarik balik Interlok daripada menjadi buku teks sekolah merupakan penghinaan terhadap sasterawan negara Abdullah Hussain, menghina karya seni dan menjatuhkan maruah budayawan.

“Bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik kepada masalah ini maka kedua-dua kumpulan dikehendakki membentangkan kertas kerja masing-masing,” katanya lagi.

Pertemuan itu disertai oleh Kumpulan Budayawan yang terdiri daripada Senimana Paksi Rakyat Malaysia(Paksi), Budayawan Bertindak (BB), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka, pensyarah universiti dan individu manakala NGO masyarakat India pula Dewan Himpunan Penyokong PAS, Parti Makkal Sakti, Malaysian Indian Voice, Indian Movement serta beberapa peguam.

Tiada ulasan: