Selasa, 25 Januari 2011

Anak cabar Ahmad Maslan debat, yakin peneroka undi Pakatan

LABIS — Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) hari ini mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan untuk berdebat dalam isu-isu Felda terutamanya yang melibatkan generasi kedua peneroka.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, cabaran debat itu dibuat kerana Ahmad telah membuat tuduhan dan fitnah yang tidak berasas terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Mazlan berkata tuduhan yang dibuat Ahmad ketika membuat lawatan ke tiga rancangan Felda di DUN Tenang semata-mata mahu memberikan gambaran negatif terhadap Anak.

“Dalam kempen pilihan raya beliau (Ahmad) telah banyak keluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak menggambarkan suasana dan situasi sebenar berhubung ketiga-tiga Felda yang berada di DUN Tenang iaitu Felda Chempelak, Chempelak Barat dan Tenang.

“Oleh yang demikian, saya selaku Pengerusi Anak mengulangi cabaran kepada beliau pada 28 Januari ini supaya pengundi yang terdiri daripada peneroka dan generasi kedua dapat menilai kejujuran kedua-dua belah pihak,” katanya.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, PAS-Pakatan Rakyat meletakkan Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis, sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

“Isu ini perlu memberikan tumpuan kepada isu Felda dan bukan hanya gimik politik pilihan raya semata-mata,” katanya ketika sidang media di sini.

Kempen pilihan raya kecil DUN Tenang masuk hari keempat hari ini dan hari pengundian Ahad ini.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008 dan yang pertama sejak 1989.

Menurut Mazlan, sepanjang kempen pilihan raya kecil itu Anak akan memberikan fokus kepada permasalahan kawasan Felda terutamanya yang melibatkan generasi kedua peneroka.

“Kita akan bawa isu permasalahan generasi kedua termasuk itu perumahan, sosioekonomi, ketiadaan peluang pekerjaan dan permasalahan gejala sosial yang melibatkan generasi kedua.

“Kita sudah mulakan perkara ini sudah lama dan kita harap supaya generasi kedua dapat jadikan pilihan raya kecil DUN Tenang ini sebagai isyarat kepada kerajaan BN.

“Selain itu, kita harap supaya warga Felda terutamanya generasi kedua dapat memberikan sedikit tekanan kepada kerajaan tentang nasib dan masa depan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ketua Penerangan PAS Johor dan Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu percaya pola pengundian di kawasan Felda akan memihak kepada PAS-Pakatan Rakyat sekiranya BN tidak memainkan taktik kotor untuk menakut-nakutkan pengundi.

“Saya yakin satu perubahan akan dilihat di Felda . . . saya yakin. Tapi saya bimbang sekiranya BN akan gunakan pendekatan yang agresif termasuk mengugut peneroka.

“Ini yang saya bimbang, kalau kita berlawan secara adil saya percaya peneroka akan memihak kepada kita,” katanya.

Kawasan itu mempunyai tiga felda dengan pengundi dianggarkan lebih 3,000 orang.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus) dan lain-lain 11 orang (0.07 peratus).

Tiada ulasan: