Sabtu, 29 Januari 2011

Ali Rustam - pengarah pilihan raya BN di Merlimau

Abdul Rahim Sabri

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 6 Mac ini.

Mohd Ali merupakan pengerusi perhubungan Umno dan pengerusi BN negeri Melaka.

NONE"Saya dapat pengesahan daripada perdana menteri dan pengerusi BN (Datuk Seri Najib Razak). Biasalah (amalan kita), pengerusi BN negeri dilantik menjadi pengarah pilihan raya negeri DUN Merlimau.

"Saya yakin beliau cukup berpengalaman, atas kedudukan sebagai ketua menteri dan jentera kita dapat digerakkan," katanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir di Pekan Air Panas.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka ditetapkan pada 6 Mac depan manakala penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Februari.

Dapat dipertahankan

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilapor berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka pada 21 Januari lalu berhubung kekosongan kerusi DUN itu pada hari sebelumnya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

azlanDalam pilihan raya umum 2008 itu, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan mendapat majoriti majoriti 2,154. Mohamad Hidhir mendapat 4,981 undi manakala Jasme memperolehi 2,827 undi.

Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN berharap kerusi tersebut dapat dipertahankan dengan memastikan sokongan pengundi dan BN akan memutuskan calon yang sesuai bertanding di situ selepas pilihan raya itu.

Sementara itu, Mohd Ali ketika ditemui Malaysiakini malam semalam berkata pihaknya telah melakukan persediaan untuk menghadapi pilihan raya tersebut.

"Selepas tiga hari YB (Mohamad Hidhir) meninggal, kita telah mengadakan mesyuarat Jabatan pilihan raya BN negeri, Jawatankuasa parti-parti komponen, jawatankuasa BN bahagian.

Tujuh calon

"Kita juga telah mengadakan pertemuan dengan ketua cawangan semua parti dan juga ketua peti undi. Kita telah menyemak semua persediaan, termasuk juga program-program pembangunan, kita telah menyemak," katanya.

Beliau berkata sebanyak tujuh nama yang merupakan "orang Jasin dan pimpinan di peringkat bahagian" telah dimajukan kepada pucuk pimpinan pusat untuk dipilih menjadi calon dalam pilihan raya tersebut.

Mereka adalah Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Mohd Said Yusof, tiga ahli jawatankuasa bahagian Mohamed Nasser Selamat, Abdul Nasir Bazid dan Roslan Datuk Ahmad.

Tiga lagi calon lain adalah Ketua Wanita bahagian, Zaleha Bujang; Ketua Pemuda, Zaidi Atan dan Ketua Puteri, Siti Faezah Datuk Aziz.

Tiada ulasan: