Sabtu, 22 Januari 2011

70% Tubuh Melecur Terkena Kejutan Eletrik

SABAH DAILY

“Saya tidak sanggup kehilangan dua tangan dan ibu jari kaki. Kalau ada pilihan lain, saya tidak ingin ia dipotong namun apakan daya hanya itu pilihan terakhir yang diberikan doktor,” kata Muhamad Haruman Miskon, 22, sebak saat menceritakan situasi yang dilaluinya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), petang semalam.

Menurutnya, saat ini dia hanya mampu merintih dalam hati betapa pedih yang teramat menahan kesakitan di seluruh badan akibat kesan terbakar.

“Sejak awal kejadian berlaku, hanya air mata yang mengiringi kehidupan saya saban hari di atas katil hospital.

“Namun kini air mata sudah seakan kering, hati saya hancur dan kesal dengan apa yang berlaku, namun saya reda mungkin ini ketentuan Ilahi,” katanya yang merupakan anak ke-9 daripada 10 adik beradik.

Tidak perasan ada kabel elektrik

Mangsa yang gemar berkarya melalui lukisan dan bekerja sebagai pemasang wayar dari rumah ke rumah tinggal di Jalan Ros 2, Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjung Karang menderita selepas hampir 70 peratus badannya terbakar dan menggelupas selepas terkena kejutan elektrik bervoltan tinggi ketika sedang membersihkan kebun kelapa sawit milik rakannya di Masjid Baroh, Tanjung Karang pada 26 November lalu.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 9 pagi ketika mangsa bersama seorang rakan sedang memotong dahan kelapa sawit menggunakan sejenis peralatan memotong tanpa menyedari terdapat kabel elektrik yang longgar dan melendut tersangkut pada pelepah pokok berkenaan.

Mangsa yang tidak menyedari terdapat kabel elektrik berkenaan terus memotong dahan dan dengan sangat pantas badan mangsa tercampak beberapa meter akibat kejutan elektrik.

Jeritan kuat mangsa telah mengejutkan rakannya yang berada tidak jauh dari lokasi mangsa.

Rakanya, segera berlari mendapatkan Mohamad Haruman, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati hampir keseluruhan badan mangsa terbakar.

Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Tanjung Karang sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buluh. Sekian lama dirawat di sana mangsa kemudiannya dipindahkan HTAR, Klang petang kelmarin.

Dalam pada itu, keluarga mangsa memaklumkan, dua tangan dan ibu jari kaki mangsa bakal dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Bagaimanapun mereka kini berada dalam dilema kerana berharap ada cara lain yang mampu digunakan bagi menyembuhkan mangsa. Namun kini hati mereka berbelah bahagi kerana kalau diikutkan hati, mereka tidak sanggup melihat mangsa hilang anggota badannya. -SH

Tiada ulasan: