Isnin, 31 Januari 2011

1, 339 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Segamat, Batu Pahat

BERNAMA

LABIS: Seramai 1,339 penduduk daripada 313 keluarga di Segamat dan Batu Pahat dipindahkan ke pusat penempatan sementara akibat banjir berikutan hujan lebat melanda beberapa kawasan itu pada Ahad.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor, Mohamad Yusri Hashim, berkata sehingga pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak 16 kampung dinaiki air di daerah Segamat dan sebuah kampung di Yong Peng, Batu Pahat.

Katanya kesemua mangsa dipindahkan ke 17 pusat pemindahan iaitu balai raya dan sekolah di sekitar kawasan yang terbabit dengan bencana itu.

"Setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Yusri berkata di Batu Pahat empat mangsa dari satu keluarga di Kampung Haji Kamisan, Yong Peng pula dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan.

Selain itu, katanya, beberapa kawasan juga terputus hubungan akibat banjir dan antaranya ialah Kampung Orang Asli Selai, Jalan Labis-Tenang, Ladang Labis Utara, Jambatan Sekolah Menengah Kamarul Arifin, Labis dan Jambatan Ladang Voules, Labis.

Katanya Sungai Segamat sehingga pukul 1 tengah hari tadi mencatatkan paras bacaan 9.75 meter iaitu paras bahaya manakala paras amaran dicatatkan di Sungai Sungai Segamat Kuala, Sungai Muar di Buluh Kasap, Sungai Muar di Kampung Jijah, Sungai Labis.

Tiada ulasan: