Rabu, 30 Jun 2010

Jadi penceramah buruan selepas digelar ulama muda Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Baru minggu lepas, Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 tahun, digelar salah seorang dari 40 ulama muda yang menyertai Umno.

Kini, Mohd Hosni (gambar) adalah antara penceramah yang top di dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.

Malam tadi beliau bersama dengan Haji Mohamad Sabu berceramah... dan malam ini beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka untuk memberikan ceramah.

Semuanya kerana gelaran ulama muda yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Mohd Hosni ketika datang berkunjung ke pejabat Harakahdaily.

Mohd Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh 40 ulama muda kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada salah seorang rakan mereka kononnya Perdana Menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.

Lalu mereka berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru gambar yang memenuhi majlis itu.

Selepas itu, Datuk Seri Shahidan menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada dalam majlis itu.

Najib tanpa bercakap apa-apa terus meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan sidang akhbar selepas itu.

Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.

Namun, kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.

Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu.

Bersalam dengan PM

Sementara Mohd Husni menolak beliau datang ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelas Mohd Husni.

Ini susulan respons Umno menafikan empat pelajar lulusan Jordan tidak dijemput menghadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu Jumaat lalu, sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.

Beliau juga menolak dakwaan mereka beria-ia untuk hadir ke situ untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak jemputan itu.

“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.

Beliau yang sebelum ini mendedahkan penipuan Umno ini di dalam majlis Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini menyatakan, mereka dijemput datang ke majlis itu kerana Perdana Menteri hendak bertemu dengan lulusan Jordan.

Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.

Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut nama orang berkenaan.

Usah dakwa ‘doktrin’ Asri pengaruhi JI, kata ulama muda Umno

TERKINI



Fathul Bari Mat Jahya mempertahankan Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada label mengaitkannya dengan kumpulan JI dan fahaman wahabi.- Gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Kumpulan 40 ulama yang menyertai Umno Jumaat lalu terkilan kerana masih ada pihak yang cuba mendakwa pemikiran bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyumbang kepada aktiviti kumpulan pelampau atau pengganas seperti Jemaah Islamiah (JI).

Salah seorang daripada mereka, Fathul Bari Mat Jahya menegaskan, tindakan membuat tuduhan sedemikian merupakan jalan mudah untuk sesiapa sahaja mengaitkan seseorang dengan pihak atau kumpulan tertentu.

“Itu jalan mudah untuk mengaitkan manusia dengan manusia yang lain... kalau nak mengaitkan seperti itu. Contoh mudah, kita solat, JI juga solat. Adakah kita pada hari ini JI?

“Kita berusaha untuk mempertahankan Islam, JI juga berusaha untuk mempertahankan Islam. Adakah kita pada hari ini sama dengan JI?

“Jangan dengan mudah menyamakan manusia sedemikian rupa,” kata Fathul Bari kepada The Malaysian Insider dengan mempertahankan bahawa beliau dan Asri sudah lama menyentuh isu berkenaan dan menentang keganasan.

“Kita telah mengkritik pengganas. Kita telah menghentam atau membetulkan kesalahfahaman terroris seperti ini.

“Bahkan kita adakan seminar-seminar tentang terroris, kita buat di Perlis contohnya... saya sendiri menganjurkan program di Perlis,” kata beliau yang berkhidmat sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.

Kerana Imam Abu Hanifah juga ahli sunah, Imam Malik juga ahli sunah.- Gambar oleh Choo Choy May
Oleh itu kata Fathul Bari, beliau pun hairan mengapa wujud “manusia seperti ini yang mengaitkan pihak tertentu dengan JI.”

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Khamis lalu, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin mempertahankan pendiriannya dengan berkata beliau tidak pernah mengaitkan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan kumpulan JI.

Sehubungan itu, Zamihan dari Institut Latihan Islam Malaysia berkata, beliau hanya menekankan bahawa pemikiran-pemikiran Asri boleh menjurus ke arah akiviti kumpulan pelampau dan keganasan jika tidak terkawal.

“Orang dalam tahanan sel (di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri) pernah memberitahu saya dia berminat sangat dengan pemikiran Dr Asri... bila dia ditangkap oleh polis, dia (suspek) ada CD, buku-buku Dr Asri, jadi barang kes.

“(Jika anda) tak percaya rujuk Bukit Aman... ada tangkapan, saya tak pasti yang mana satu, nak bukti boleh rujuk Bukit Aman.

“Jadi saya tak sentuh pun Dr Asri dengan keganasan itu, yang sentuh itu pihak keselamatan dari Bukti Aman... sebab masa ditangkap suspek JI itu, pemikiran-pemikiran Asri dalam bentuk bukunya, CDnya ada,” kata Zamihan yang kini menjadi tumpuan polemik isu fahaman wahabi dan JI.

Sambil mendakwa ia satu bentuk kaitan yang salah, Fathul Bari memberitahu, jika hendak bercakap mengenai isu buku ditulis Asri, antara nukilan beliau sebenarnya bukan dari buku tersebut sebaliknya hanya berbentuk ulasan.

“Cuma saya nak katakan perselisihan pandangan berkaitan adat, kemasyarakatan dan sebagainya, saya katakan perkara ini terbuka untuk kita bincang.

“Sekarang kalau kita katakan kita al-sunah wal jamaah, Malaysia menerima aliran al-sunah wal jamaah, maka sepatutnya terbuka kepada perbincangan.

“Kerana Imam Abu Hanifah juga ahli sunah, Imam Malik juga ahli sunah, Imam Syafie juga ahli sunah, Imam Ahmad juga ahli sunah,” katanya lagi.

Anak bekas mufti Perlis ini menambah, perbezaan pendapat juga wujud di kalangan mereka dan “mengapa mereka boleh hidup dalam keadaan harmoni?”

“Mengapa Imam Malik boleh memuji Imam Abu Hanifah, mengapa Imam Shafie boleh berguru dengan Imam Malik.

“Mengapa Imam Ahmad boleh berguru dengan Imam Shafie. Jadi kalau suasana harmoni itu dipraktikkan mereka (dulu), mengapa tidak kita pada hari ini?” soal beliau.

Beliau berpendapat keadaan akan menjadi bercelaru apabila manusia tidak menerima pandangan orang lain, sebaliknya membuat tohaman dan fitnah terhadap orang lain.

“Apabila kita kaitkan seseorang dengan keganasan, ini satu tuduhan yang amat berat.

“Bahkan ia membawa kepada menghalalkan darah seseorang. Mengapa kerana Nabi sebut dalam hadis tentang golongan seperti ini yang mengkafirkan manusia kerana dosa-dosa besar.

“Manusia buat dosa. Kita semua melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada buat dosa besar, ada buat dosa kecil. Tetapi sebahagian manusia ekstremis. Mereka mengkafirkan manusia bila manusia melakukan dosa besar,” katanya lagi.


Apabila kita kaitkan seseorang dengan keganasan, ini satu tuduhan yang amat berat..- Gambar oleh Choo Choy May

“Contoh apabila ada manusia yang tidak solat, oh ini kafir! Bila minum arak, oh ini kafir! Ini bukan sikap ahli sunah wal jamaah,” kata beliau.

Oleh itu menurut beliau, golongan tertentu yang mengatakan bahawa kumpulan tertentu ada kaitan dengan JI, bahkan dengan kumpulan pengganas, militan dan sebagainya, seolah-olah mereka berkata halal darah kelompok-kelompok ini.

“Kalau dalam Islam, pengganas ini halal darahnya!

“Kalau untuk kaitkan, ia tak tepat. Ini perselisihan pandangan dalam beberapa isu. Mungkin di sana mereka yang terlibat dalam terroris, ada beberapa perkara yang wujud kesamaan. Contoh dalam praktik ibadat seperti kita pada hari ini.

“Anta pun sembahyang, orang lainpun sembahyang. Mungkin bila tengok cara solat, orang di sana sama. Ini terroris,” kata beliau sambil berkata, ini adalah neraca timbang untuk menentukan orang ini pengganas ataupun tidak.

Oleh itu katanya, ia adalah satu perkara yang tidak bersesuaian dengan sikap seorang ahli ilmu.

Mengenai label wahabi kata beliau, ia juga langsung tidak tepat kerana dari beberapa sudut al-wahabiyah ini sebenarnya disandarkan kepada Muhammad Abdul Wahab.

“Ia disandarkan kepada nama bapa dia,” katanya.

“Sepatutnya dia sandarkan nama gerakan dia al-Muhiddun. Bahkan sandaran kepada bapa dia pun tidak kena.

“Kalau ikut kita katakan tatabahasa Arab, perkataan tersebut tak tepat, Abdul Wahab sepatutnya abdawi, bukan wahabi. Itu dari sudut bahasa Arab.

“Yang kedua perkataan wahabi itu tidak pernah digunakan Muhammad Abdul Wahhab,” kata beliau lagi.

Fathul Bari menambah, negara yang dituduh mengamalkan aliran wahabi ini tidak pernah menggunakan perkataan ini untuk menyatakan mereka wahabi.

“Sepatutnya kita sebagai ilmuwan, rujuklah kepada tulisan-tulisan, kitab-kitab, rujuklah kepada tulisan Muhammad Abdul Wahhab sendiri untuk kita kenal pasti cara pemikiran dia, metodologi pemikiran dia, sumber-sumber agama dia.

“Dan, tentang Muhammad Abdul Wahab ini telah lama meninggal dunia. Di Arab Saudi beliau digelar sebagai reformis. Beliau bukan terkenal dalam aliran-aliran fiqh.

“Perkataan-perkataan beliau juga kalau dalam penulisan-penulisan wahabi jarang sekali dinukilkan, oh ini pemikiran Muhammad Abdul Wahhab.

“Saya yang belajar di Universiti Islam Madinah, kita belajar perbandingan mazhab. Kita gunakan kitab Ibn Rushd, yang bermazhab Maliki,” katanya.

Tambah beliau, meninggalkan pandangan sesuatu atau seseorang tidak bermakna “kita mengkritik pandangan seseorang tersebut.”

“Sekarang ini difahami oleh Ustaz Zamihan dan rakan-rakannya, apabila kita meninggalkan pandangan seseorang, mengkritik pandangan seseorang, bererti kita telah menghina dia, menjatuhkan maruah dia.

“Ini perkataan tidak adil, dan kita pun tidak mengaku, siapa kata kita wahabi? Apa itu wahabi? Bahkan masyarakat setempat tidak kenal apa itu wahabi. Tak baca qunut wahabi.

“Perkataan-perkataan seperti ini bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat,” katanya lagi.

Mengenai label sunah Perlis, Fathul Bari menjelaskan, Perlis merupakan satu-satunya negeri yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan dan berpegang dengan mazhab ahli sunah wal jamaah.

“Perlis satu-satunya negeri berbeza dengan negeri-negeri lain yang meletakkan mazhab Shafie sebagai pegangan.

“Oleh kerana dakwah ahli sunah wal jamaah ini diterima bermulanya di Perlis, dan diterima secara rasmi oleh Raja-raja di negeri Perlis sendiri, dan oleh Perlembagaan, maka orang mula berkata ini sunah Perlis.

“Kita tak nafikan ada beberapa perkara yang dipraktikkan di Perlis yang berbeza dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Sebagai contoh kata beliau, di masjid-masjid negeri bila solat, mereka baca bismillah secara perlahan.

“Tetapi sebahagian pihak menjadikan perkara seperti ini sebagai perpecahan.

“Orang nak cuba ikut nabi, masing-masing berusaha. Mungkin dapat maklumat, mungkin tak dapat maklumat, mungkin jahil,” katanya.

Oleh itu jelas beliau, sandaran kepada sunah Perlis itu tidak tepat.

“Sunah bukan milik Perlis. Kalau ada orang Perlis yang mengatakan dia sunah Perlis, itu satu perkataan yang tidak tepat.

“Mungkin perkataan itu merujuk kepada, kami orang Perlis ini menerima ahli sunnah wal jamaah semua. Itu maksud mereka,” katanya lagi.

PAS mahu guna gandingan Azmin hadapi PRU-13

THE MALAYSIAN INSIDER


Khalid (kiri) berjabat tangan dengan Azmin Ahad lalu selepas perubahan dalam kepimpinan PKR.
KUALA LUMPUR — PAS Selangor percaya pelantikan Naib Presiden PKR Azmin Ali sebagai pengerusi baru Selangor akan memantapkan lagi parti itu, sekali gus memperkasakan jentera Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata dengan rombakan kecil yang dilakukan PKR Ahad lalu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat menumpukan perhatian ke arah membangunkan Selangor dengan memberi fokus kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES).

“Kita mengalu-alukan pelantinkan Azmin sebagai Penegrusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang baru dan kita yakin Khalid akan dapat menumpukan lebih perhatian dalam membangungkan Selangor selepas melepaskan jawatan kepada Azmin.

“Sesungguhnya Azmin memiliki pengalaman yang luas dalam bidang politik malah sudah menjalin hubungan kerja dengan PAS Selangor sejak beliau dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang diketuai Datuk Dr Hasan Ali ketika memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 1999.

“Justeru PAS Selangor akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada beliau selaku ketua PKR negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Ahad lalu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Azmin mengambil alih jawatan pengerusi negeri Selangor.

Wan Azizah berkata, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan perhatian terhadap soal pentadbiran kerajaan negeri.

Roslan Shahir berkata pihaknya akan mengaturkan pertemuan segera dengan Azmin bagi menyelaraskan gerak kerja politik antara kedua-dua parti.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan beliau untuk menyelaraskan gerak kerja politik selain menantikan kehadirannya dalam mesyuarat Pakatan Rakyat peringkat Selangor.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan pertemuan dengan Khalid selaku menteri besar bagi menyatakan sokongan dan keyakinan PAS Selangor terhadap kepimpinan beliau,” katanya.

Beliau berkata PAS Selangor komited untuk memastikan kejayaan Pakatan Rakyat bukan hanya dalam mempertahankan Selangor malah menyumbang ke arah kejayaan untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Umno digesa ambil tindakan terhadap Mohd Zain

Oleh Muda Mohd Noor

Kemelut Umno Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mat Yassim mahu Majlis Tertinggi (MT) parti mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Bahagian Datuk Mohd Zain Ismail yang turut mengadakan mesyuarat walaupun keahliannya digantung sejak Ogos 2008.

MT menggantung Mohd Zain kerana melakukan sabotaj terhadap calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 2008.

"Mohd Zain berani buat (mengadakan mesyuarat) kerana MT tidak mengambil sebarang tindakan walaupun beliau turut mengadakan mesyuarat bahagian pada tahun lalu.

"Saya bimbang jika dibiarkan beliau akan mengadakan mesyuarat lagi pada masa depan dan bahagian lain akan ikut sama," katanya ketika diminta mengulas tindakan Mohd Zain yang turut mengadakan mesyuarat bahagian Rantau Panjang, Sabtu lalu.

Mesyuarat Umno bahagian kumpulan penyokong Abdullah yang diadakan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lubok Jong di sini telah dirasmikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri oleh 325 perwakilan daripada 463 orang.

Sementara mesyuarat bahagian itu anjuran Mohd Zain dirasmikan oleh beliau sendiri di dewan Umno bahagian itu. Tindakan Mohd Zain dilapor ke Ibu Pejabat Umno (tajuk kecil)

Abdullah berkata, pihaknya telah menghantar laporan mengenai tindakan Mohd Zain itu kepada Ibu Pejabat Umno untuk diambil tindakan.

"Ahmad Zahid telah singgah sekejap di dewan Umno dan beliau memberitahu Mohd Zain bahawa mesyuarat ini tidak sah," kata Abdullah.

Ketika ditanya mengapa Mohd Zain mengadakan mesyuarat tersebut sedangkan keahliannya digantung, Abdullah berkata, ‘untuk menjaga penyokong-penyokongnya di Rantau Panjang.’

Abdullah juga mendakwa, Mohd Zain menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan mesyuarat tersebut.

"Saya telah menghubungi Muhyiddin dan timbalan presiden Umno itu menafikan kenyataan Mohd Zain itu.

"Muhyiddin juga memberitahu saya bahawa sesiapapun tidak boleh menggunakan namanya untuk kepentingan peribadi," kata Abdullah.

Usaha Free Malaysia Today menghubungi Mohd Zain untuk mendapatkan penjelasan beliau mengenai perkara tersebut tidak berhasil.


Umno-BN dalangi cubaan guling MB Selangor

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Umno-Barisan Nasional (BN) dipercayai mendalangi usaha memecahbelah perpaduan di kalangan ahli-ahli politik di Selangor dengan menyebar khabar angin, yang terbaru kononnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berusaha menggulingkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini berikutan kegagalan mereka untuk menjatuhkan Khalid dengan menggunakan isu kononnya 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) rasa tidak puas hati terhadap cara Khalid mentadbir negeri itu.

Empat ADUN yang dikaitkan dengan komplot ini ialah Haniza Mohamed Talha (Taman Medan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Shuhaimi Shafie (Sri Muda).

Bagaimanapun keempat-empat mereka menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut tetapi sebaliknya mendakwa wujud ‘musuh’ yang cuba menganggu-gugat kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu.

Haniza berkata, "saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini dikongsi oleh tiga rakan YB saya yang turut dikaitkan dengan isu ini.

"Saya ingin melafazkan taat setia dan tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat yang saya dokong. Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," tegas beliau.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Selangor berkata, "penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan PR.

Cara pentadbiran baru

Menurut Haniza, sokongan penuh terus diberikan kepada Khalid, serta menyahut baik langkah dibuat Khalid yang kini melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor bagi menumpukan tugas sebagai Menteri Besar.

"Saya meyokong penuh kepimpinan Tan Sri sebagai Menteri Besar. Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor.

"Malah peralihan jawatan Majlis Pimpinan Negeri Selangor kepada Azmin merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan beliau menumpu sepenuh perhatian kepada pentadbiran negeri," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Azmin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor menggantikan Khalid berkuatkuasa serta merta yang dimumkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti.

Dalam pada itu, Khalid yang akan bercuti selama lima hari mulai hari ini, berkata kedudukan beliau sebagai menteri besar Selangor tanpa kuasa dalam parti di peringkat negeri, merupakan satu "cara pentadbiran baru."

Khalid akan ke Singapura bagi menghadiri Persidangan Bandar Sedunia esok dan seterusnya ke Brisbane, Australia untuk menghadiri satu sesi perbincangan dengan para graduan terpilih University of Queensland.


Usul Tergempar Scorpene Ditolak Parlimen

TV SELANGOR


Usul tergempar mengenai skandal pembelian peralatan senjata kapal selam KD Tunku Abdul Rahman oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan perkara itu sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tian Chua dalam sidang medianya di lobi parlimen menyatakan penghargaan terhadap speaker kerana memberitahu sidang parlimen bahawa kes itu sudah diambil tindakan oleh SPRM.

Sebelum ini SPRM berdolak dalik ketika digesa Pakatan Rakyat supaya menyiasat kemungkinan terdapat penyelewengan dalam pembelian kapal selam buatan Perancis itu.

“Kita mahu mengucapkan terima kasih kepada speaker kerana telah memaklumkan kepada kita bahawa kes ini sedang dalam siasatan. Kita tidak diberitahu pun sudah ada siasatan dibuat,” kata Tian.

Menurutnya, Pakatan Rakyat mengalu- alukan tindakan SPRM menyiasat kes yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Tian mengesyorkan SPRM menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Perancis dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat serta bahan- bahan rujukan.

Beliau juga menawarkan diri untuk membantu mengadakan jalinan kerjasama antara SPRM dengan kerajaan Perancis.

“Jika perlukan bantuan, saya sedia membantu SPRM untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan Perancis dan saya sedia membantu mencari maklumat yang SPRM inginkan,” ujarnya.

Mahkamah khas syariah dengar kes konflik agama

Abdul Rahim Sabri

Jemaah Menteri telah memberi persetujuan untuk menubuhkan Mahkamah Rayuan Khas Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang melibatkan konflik undang-undang di antara perundangan sivil dan syariah.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Datuk Ibrahim Lembut berharap dengan adanya mahkamah tersebut, sedikit sebanyak kes-kes yang boleh menimbulkan konflik pertembungan agama, dapat diatasi secara berperingkat.

Pada masa ini, beliau yang juga ketua hakim syarie berkata, perkara itu kini dalam penelitian beberapa pihak terutama, Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, Jemaah Menteri telah memberi persetujuan terhadap cadangan jabatan itu pada 23 Oktober tahun lalu.

Ibrahim berkata panel hakim Mahkamah Rayuan Khas Syariah itu akan turut dianggotai oleh seorang Hakim Mahkamah Sivil.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas dalam muzakarah pakar bertajuk "Selepas 60 tahun kes Natrah: Di Mana Kita?" dari perspektif undang-undang di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di ibunegara.

Ibrahim berkata usaha tersebut adalah untuk "mempertingkatkan pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia".

"Saya bagi pihak JKSM amat mengharapkan sokongan semua pihak dalam usaha mempertingkatkan sistem kehakiman syariah di negara ini terutama dalam mengatasi permasalahan kaum wanita di Mahkamah Syariah umpamanya dalam kes tuntutan nafkah.

"Alhamdulillah kita telah ada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di semua Mahkamah Syariah Negeri," katanya.

Dalam pembentangan itu juga, Ibrahim turut mengingatkan supaya "jangan hendak adanya di kalangan kita sendiri yang secara diam-diam mencari jalan untuk menenggelamkan institusi kehakiman syariah".

"Mahkamah Syariah pada saya umpama sebuah masjid, sebagai lambang keagungan dan kemurnian agama Islam, dan sudah semestinya kita sama-sama memeliharanya atas tanggungjawab bersama," katanya.

Hakim jelaskan kenapa kerusi Tian Chua tidak lucut

Hafiz Yatim

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menegaskan pada penghakiman bertulisnya bahawa denda RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua dari PKR tidak akan menyebabkan beliau kehilangan kerusi parlimen Batu.

Pada 17 Jun lalu, ketika menolak rayuan Chua tetapi mengurangkan hukumannya, Ghazali berkata keputusannya adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Agung 1993 kes Public Prosecutor lawan Leong Yin Ming yang hanya denda RM2,001 atau lebih yang akan meyebabkan perlucutan kerusi secara automatik.

Dalam penghakiman 18 dokumennya, hakim itu memetik sebahagian penghakiman hakim Mahkamah agung, Tan Sri Gunn Chit Tuan yang berkata “Tidak kurang dari” seharusnya membawa maksud "lebih daripada".

“Maka dengan berpegang kepada keputusan dalam kes Mahkamah Agung di atas, saya berpuas hati dan berpendapat bahawa denda RM2,000 itu tidak menjadikan perayu hilang kelayakan beliau secara automatik kerana denda untuk menjadikan beliau beliau hilang kelayakan adalah RM2,001 ke atas dan bukannya bermulka daripada RM2,000.

“Keputusan Mahkamah Agung ini mengikat mahkamah rendah. Ia adalah autoriti kukuh yang boleh diguna-pakai oleh mahkamah ini,” kata hakim Ghazali.

“Oleh itu, saya berkeyakinan bahawa hukuman denda tersebut tidak akan memberi implikasi kepada satu pilihan raya kecil di kawasan Batu; maka niat saya yang ikhlas itu telah dizahirkan melalui hukuman denda tersebut, selain memberikan suatu amaran keras kepada perayu supaya tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa hadapan,” katanya.Keputusan hakim, Ghazali yang sebelum ini mengurangkan denda daripada RM3,000 dan enam bulan penjara kepada RM2,000 atau dua bulan penjara menimbulkan kontroversi sama ada ahli parlimen Batu itu telah hilang kelayakannya.

Tian Chua didapati bersalah kerana mengiggit seorang konstabel polis ketika ditahan di sebuah protes di bangunan parlimen, tiga tahun lalu.

Kontroversi timbul berikutan tafsiran Artikel 48, Perlembagaan Persekutuan berhubung istilah denda tidak kurang RM2,000 dan penjara tidak kurang setahun.

Peguam yang mewakili Tian Chua berhujah berdasarkan keputusan Mahkamah Agung pada 1993, tafsiran itu membawa maksud RM2001.

Bagaimanapun peguam kanan Karpal Singh, bersama bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Ahmad berpendapat tafsiran itu membawa maksud RM2,000.

KDN keluar 10 surat teguran kepada akhbar

BERNAMA


Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati bahawa terdapat beberapa akhbar harian dan tabloid yang tidak mematuhi syarat permit, garis panduan penerbitan yang ditetapkan atau peruntukan yang terdapat di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Datuk Zaitun Ab Samad berkata KDN telah mengeluarkan sebanyak 43 surat teguran kepada akhbar harian pada 2009 manakala 10 surat teguran telah dikeluarkan pada 2010.

Bagi akhbar tabloid pula, Kementerian ini telah mengeluarkan sebanyak 19 teguran pada 2009 hingga bulan Mei 2010. Bagi tempoh yang sama, KDN telah mengeluarkan sebanyak enam surat teguran dan satu surat tunjuk sebab kepada surat berita parti politik.

"Mengikut Seksyen 7 (1), AMCP 1984, apa-apa hasil penerbitan tidak boleh mengandungi perkara-perkara yang memudaratkan ketenteraman awam, memudaratkan keselamatan, memudaratkan moral, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan kepentingan awam dan memudaratkan kepentingan negara," katanya.

Apa-apa hasil pene
rbitan juga dilarang menyiarkan berita tidak benar dan jika ini dilanggar maka ia bertentangan dengan Seksyen 8A AMCP 1984, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Zaitun berkata surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada penerbitan Suara Keadilan pada 28 Jun 2010 kerana telah menyiarkan berita yang menggemparkanfikiran orang ramai dan ini telah melanggar Seksyen 7 (1), AMCP 1984.

Menurutnya berdasarkan pemerhatian, didapati beberapa penerbitan tabloid juga telah melanggar syarat-syarat permit khasnya bagi syarat-syarat berikut:

  • Lapan salinan tiap-tiap keluaran dan edisi akhbar hendaklah dihantar kepada kementerian sebaik sahaja ia dicetak.
  • Selain itu, format akhbar hendaklah mematuhi contoh yang telah diserahkan bersama dengan permohonan bagi permit ini.
  • Akhbar itu hendaklah tidak menerbitkan apa-apa bahan, fotograf, artikel atau perkara lain yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, perhubungan dengan negara atau kerajaan asing, atau yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.
"Akhbar itu hendaklah tidak dengan apa-apa cara salah nyata fakta-fakta berhubungan dengan kejadian-kejadian ketenteraman awam dan keselamatan yang berlaku di Malaysia," katanya.

Bagi penerbitan surat berita parti politik, syarat-syarat berikut juga hendaklah dipatuhi iaitu pengedaran hendaklah dihadkan kepada anggota parti sahaja dan pengedaran dan penjualan hanya dibenarkan kepada anggota parti di pejabat urusan dan markas parti sahaja.


ADUN PKR nafi laporan letak jawatan

MALAYSIA KINI



ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha kesal kerana namanya telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada empat ADUN PKR Selangor yang akan mengosongkan kerusi, kononnya kerana membantah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

"Selain saya, YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), YB Amirudin Shari (Batu Caves), dan YB Shuhaimi Hj Shafiei (Sri Muda) juga turut dikaitkan dengan isu ini.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini turut dikongsi tiga rakan YB saya yang turut dikaitkan dengan isu ini.

"Penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, katanya, beliau meyokong penuh kepimpinan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor.

"Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada negeri Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor.

"Peralihan Majlis Pimpinan Negeri Selangor merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan Tan Sri Khalid Ibrahim memberi tumpuan yang penuh kepada pentadbiran negeri," tambahnya.

Sehubungan itu, Haniza menegaskan taat setianya dan menambah bahawa beliau tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat didokongnya.

"Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," katanya.

16.5 juta saman bernilai RM2.7 bilion gagal dikutip

BERNAMA



Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16,529,848 saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Daripada jumlah itu, majoriti adala
h saman polis sebanyak 15,220,358 manakala yang lain melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 470,983 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak 838,507 saman.

"Bagi saman yang dikeluarkan tahun lepas sehingga kini, ia adalah saman aktif yang masih menjadi saman kitaran semula," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nor mahu tahu jumlah kutipan saman yang gagal dikutip kerajaan sehingga April tahun ini.

Abdul Rahim berkata bagi memastikan saman tertunggak tersebut dikutip, beberapa pendekatan termasuk menyekat urusniaga seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.

Usaha lain yang dilakukan ialah memperuntukkan kira-kira RM282 juta bagi menambah baik sistem pungutan pengkomputeran JPJ yang dikenal pasti masih berkapasiti rendah bagi membolehkan kapasiti pungutan ditingkatkan.

"Kita juga menyediakan perkhidmatan online bagi pembatalan sekatan dan penyenaraian hitam di antara JPJ dan agensi lain khususnya PDRM dan mewujudkan pusat sehenti supaya pembayaran saman boleh dilakukan di mana-mana selain pembayaran secara online dan kad kredit," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mencadangkan supaya saman itu dihapuskan, Abdul Rahim berkata cadangan itu sukar untuk dipertimbangkan.

"Kutipan saman bukan hanya bertujuan mendapatkan hasil tetapi juga bagi meningkatkan persepsi ditangkap di kalangan pengguna jalan raya agar mereka lebih berhati-hati," katanya.

Aset KDSB RM1b, kenapa tak boleh bayar cukai?'

'Christine Chan

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mesti mengutip cukai secara terus daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) memandangkan syarikat itu memiliki aset bernilai RM932.59 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 2008, kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

"Jumlah tersebut lebih daripada cukup untuk LHDN menuntut wang berkenaan tanpa perlu melalui Lembaga Pelabuhan Klang (PKA)," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Pua menggesa LHDN menuntut segera RM328.4 juta daripada KDSB kerana PKA bertegas bahawa ia tidak berhutang apa-apa kepada syarikat berkenaan, dan obligasinya hanyalah kepada pemegang bon.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana KDSB yang berhutang cukai korporat selama 13 tahun, masih boleh beroperasi, malah turut memperolehi kontrak kerajaan.

"Jumlah tersebut bukan kecil Mengapa mereka masih dibenar meneruskan perniagaan selama 13 tahun, tanpa perlu membayar cukai tertunggak?".

Pua merujuk kepada The Edge Financial yang melaporkan bahawa KDSB berhutang cukai kepada LHDN untuk tempoh 1997-1998.

"Kita tahu bahawa IRB sangat efisien dalam memastikan setiap syarikat membayar cukai Mengapa mereka (KDSB) dibenarkan untuk meneruskan (perniagaan) selama 13 tahun tanpa membayar cukai?".

Rabu lalu, LHDN mengarahkan PKA menghentikan bayaran kepada KDSB dan sebaliknya membayar RM328.4 juta kepadanya, yang didakwa jumlah cukai tertunggak KDSB kepada LHDN.

Dakwaan empayar RM3b, aduan SPRM dibuat

MALAYSIA KINI



Tiga rakyat Sarawak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh ketua menterinya Tan Sri Taib Mahmud.

Tiga pengadu itu - John Brian Anthony, Ting Cek Ming dan Kung Chin Chin menggesa suruhanjaya itu menyiasat 'empayar' perniagaan Taib dan keluarganya yang didakwa bernilai 'lebih RM3 bilion' berdasarkan apa yang dilaporkan di blog sarawakreport.org.

Aduan dibuat kepada pegawai kanan SPRM, Ranjit Singh.

Ini adalah aduan kedua yang dibuat berhubung perkara yang sama. Aduan pertama dibuat kepada SPRM di Kuching, semalam oleh Ahmad Nazib Johari.

Menurut seorang daripada pengadu itu, Ting Chek Ming, proses membuat aduan berjalan lancar berbanding minggu lalu apabila beliau bersama Ahmad Nazib dan James Wong cuba mengemukakan aduan mereka.

"Kali ini, kami datang dengan salinan laporan yang ditaip dan pegawai SPRM menandatangani mengesahkan penerimaan aduan berkenaan di salinan kami bagi memastikan tiad ada perubahaan dibuat terhadap aduan itu,” katanya.

Minggu lalu, Ting, Wong dan Ahmad Nazib terpaksa menarik balik laporan mereka kerana mendakwa pihak SPRM di Shah Alam enggan memberikan salinan aduan yang ditulis dengan tangan.

Hadir bersama menemani ketiga-tiga mereka membuat aduan hari ini adalah pemimpin wanita PKR, Rozaini Mohd Rosli bagi menzahirkan sokongan Pakatan Rakyat berhubung isu berkenaan.

Ketiga-tiga pengadu berkenaan dinasihatkan bahawa mereka mungkin akan dipanggil kemudian bagi memberikan kenyataan terhadap apa yang diistilahkan oleh suruhanjaya itu sebagai 'kes besar'.

"Kami d
iberi jaminan yang SPRM akan menyiasat kes itu dan dinasihatkan menulis kepada Pengarah Siasatan bagi mendapatkan perkembangannya,” kata Ting.

Sarawakreport.org mendakwa Taib dan keluarganya mempunyai empayar perniagaan antarabangsa, termasuk memiliki hotel mewah di Australia dan hartanah komersial di tapak utama di Kanada melalui cara yang disangsikan.

Blog, yang dikendalikan oleh “rakyat prihatin' itu juga mempersoalkan pembabitan keluarga Taib dalam konglomerate terbesar negeri itu - Cahaya Mata Sarawak.

Ia juga mendakwa 85 peratus saham CMS dimiliki oleh Taib dan keluarganya serta rakan-rakan karib mereka ketika syarikat berkaitan kerajaan itu diswastakan yang menimbulkan dakwaan salah guna kuasa.

Dr M: Abdullah, bukan Najib tolak bina jambatan

MALAYSIA KINI



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil sebagai pelindung kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang menerima kritikan berhubung pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

Sokongan itu timbul ketika Najib berhadapan dengan label "perdana menteri flip-flop" berhubung kegagalannya meneruskan pembinaan jambatan berkenaan, serta tindakannya membatalkan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Dr Mahathir sebaliknya menyalahkan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana menolak cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Dalam coretan di blognya hari ini, Dr Mahathir turut mengemukakan persoalan sama ada Najib terikat dengan janji yang dibuat oleh 'PM kelima' itu.

"Yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah perdana menteri kelima (Abdullah) yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini.

"(Sedangkan) tiga hari sebelum kenyataan ini dibuat, timbalan perdana menteri ketika itu, iaitu perdana menteri ketika ini, telah mengesahkan bahawa jambatan berkenaan tetap akan dibina," katanya.

Mahathir juga berkata, persoalan ini ditimbulkannya memandangkan rakyat tertanya-tanya mengapakah “Najib yang penuh berkuasa tidak sanggup meneruskan pembinaan jambatan ini.”

"Apakah beliau terikat janji dengan perdana menteri kelima (Abdullah)? Apakah status janji ini?," soalnya.

Dr Mahathir juga mendakwa al-Marhum Sultan Johor Sultan Iskandar bersetuju supaya tambak berkenaan digantikan dan perkara itu disokong oleh seluruh rakyat Johor "kecuali seorang."

"Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini," katanya lagi.

Tambahnya, bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong juga menyetujui cadangan itu, melalui satu surat yang diterbitkan dalam sebuah buku berjudul "Water Talks - If Only It Could."

"Goh tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh kerajaan Malaysia," tulisnya lagi.

SPRM tak jadi wawancara PI Bala di London

MALAYSIA KINI



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menghantar pegawainya ke London untuk merakam kenyataan penyiasat persendirian P Balasubramaniam berhubung kes Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull berkata keputusan untuk membatalkan pertemuan tersebut dibuat atas pertimbangan undang-undang.

Sebaliknya, SPRM akan menulis soalan kepada Balasubramaniam dan meminta beliau menyerahkan affidavit berhubung perkara itu untuk tujuan penyelidikan.

Syukri berkata langkah tersebut diambil selepas menimbang nasihat daripada Pejabat Peguam Negara.

Tiada keputusan status permit Suara Keadilan

MALAYSIA KINI



Keputusan status permit akhbar PKR - Suara Keadilan akan diproses pada mesyuarat panel 13 anggota jawatankuasa mengkaji dan menilai permohonan permit penerbitan media cetak.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Samad berkata semua penerbitan media cetak di negara ini tertakluk pada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Kami telah mendapat jawapan kepada surat kami bertarikh 28 Jun memohon penjelasan berhubung artikel mengenai Felda dan kita akan mengkajinya.

"Tetapi masih ada masa. Mereka akan hanya menerbitkan edisi seterusnya pada pertengahan Julai,” katanya.

Suara Keadilan telah mendapat permit surat berita parti politik dari KDN pada 2007 dan pernah digantung selama tiga bulan pada 2008.

Minggu lalu, Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.

Menurut Zaitun, permit akhbar Suara Keadilan tidak akan digantung selagi KDN belum mempertimbangkan penjelasan yang dikemukakan oleh akhbar berkenaan.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat panel permit penerbitan yang diadakan dua kali seminggu dan dipengerusikan oleh ketua setiausaha, kementerian itu, Datuk Mahmood Adam.

Zaitun berkata pihaknya juga sudah menerima sepucuk surat daripada peguam Suara Keadilan berhubung tiga surat yang dihantar sebelum 28 Jun.

Semalam, ketua pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib memberitahu Malaysiakini peguam berkenaan memohon tiga salinan surat daripada kementerian yang didakwa belum diterima.

SPRM panggil dua Adun PKR: Satu serangan baru

Harakahdaily

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menyifatkan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil dua Adun PKR Selangor untuk memberikan keterangan sebagai satu lagi serangan baru kepada mereka.

Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik, Badrul Amin Baharom dalam kenyataannya berkata, SPRM telah mengeluarkan notis pemeriksaan kepada dua orang ADUN Pakatan Rakyat Selangor untuk hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, Putrajaya esok.

Surat dikeluarkan kepada ADUN Batu Caves Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafie pada Isnin lalu mengarahkan kedua-dua mereka untuk bantu siasat di bawah kesalahan 17(A) Akta SPRM.

"Kami yakin langkah SPRM ini ketika spekulasi berkenaan empat ADUN Parti Keadilan Rakyat akan meninggalkan parti baru-baru ini merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2009.

"Kami menggesa SRPM professional dalam menjalankan tugas dengan turut menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Badrul, kedua-dua ADUN itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok (1 Julai) untuk memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak SPRM.

Kerajaan perlu jelaskan usaha basmi Ah Long

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching (gambar) menggesa Kementerian Dalam Negeri menjelaskan kepada rakyat mengenai pendekatan kerajaan dalam membasmi jenayah Ah Long yang berleluasa di negara ini.

Beliau berkata, kemerosotan ekonomi yang melanda Malaysia sejak beberapa tahun ini dan faktor kenaikan harga barangan, minyak dan perkhidmatan menjadikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tertekan.

Selain itu, prosedur pinjaman bank yang terlalu ketat katanya, memaksa ramai di kalangan pekerja yang tertekan terpaksa membuat pinjaman dengan ceti haram itu yang dikatakan menindas dengan kekerasan termasuk membunuh peminjam yang enggan membayar pinjaman.

"Tiap-tiap hari, di sana sini akhbar tempatan melaporkan pelbagai kisah tentang tindakan keras yang dilakukan Ah Long ke atas peminjamnya yang enggan melunaskan hutang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Menurut beliau, Menteri Dalam Negeri sentiasa menyatakan bahawa mereka memandang serius kes-kes jenayah melibatkan Ah Long dan mereka telah mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan tersebut.

Namun katanya, mengikut statistik, mulai 2007 sehingga 31 Oktober 2009, hanya 21 tangkapan yang dibuat dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang.

"Tiada satu orang pun yang dibawa ke mahkamah di bawah akta tersebut setiap bulan di seluruh Malaysia. Adakah ini usaha serius PDRM? Ataupun cakap kosong sahaja," kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangssan DAP itu lagi.

Pada 2008, sebanyak 280 kes dilaporkan dan disiasat di bawah akta berkaitan kerana menjalankan aktiviti memberi pinjam wang tanpa lesen. Manakala sepanjang 2009, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah membuka sebanyak 484 kertas siasatan di bawah Seksyen 5(2) akta tersebut.

Tambah beliau, kes-kes pinjaman dengan ceti haram juga telah melonjak 73 peratus dalam tempoh setahun.

"Ini adalah amat merisaukan tetapi apa yang lagi mengecewakan adalah walaupun kes-kes pinjaman wang tanpa lesen telah meningkat dengan begitu dahsyat tetapi pada 2008, hanya 31 orang disyaki terlibat dalam kegiatan Ah Long telah ditangkap," ujar beliau lagi.

Teo juga menegaskan, KDN harus menjelaskan kepada rakyat mengenai pendekatan yang digunakan kerajaan bagi menangani kemelut ini.

"Bagaimana KDN boleh memastikan bahawa mangsa-mangsa kekerasan Ah Long boleh dikurangkan dan mereka akan mendapat perlindungan yang mencukupi daripada pihak polis," katanya.

Menurut statistik yang dikelurkan juga, bagi 2009, antara 484 kertas siasatan yang dibuka di bawah akta tersebut, sembilan kes masih dalam perbicaraan mahkamah. Manakala antara 578 kes yang melibatkan kegiatan Ah Long di bawah Kanun Keseksaan yang dilaporkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah bagi tahun yang sama, hanya 70 kes tangkapan telah dibuat (12 peratus) dan lapan kes di dalam perbicaraan mahkamah (1.4 peratus).

Kesimpulannya, hanya kurang daripada 15 peratus kes yang dilaporkan di balai polis akan mendatangkan tindakan positif dari pihak PDRM.

"Jadi soalan saya, buat apa rakyat kita membuat laporan di balai polis sedangkan 85 peratus daripada mereka yang membuat laporan tidak akan mendapat bantuan dari polis," ujarnya.

Timbalan Menteri enggan jawab isu JI di IPT

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung enggan menjawab soalan wakil PAS Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mengenai dakwaan wujudnya anggota Jemaah Islamiyah (JI) di institut-institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Abdul Halim ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat hari ini meminta timbalan menteri memberikan penjelasan mengenai dakwaan ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa wujudnya gerakan JI, Wahabi dan Salafi di IPTA dan IPTS.

Beliau juga menyoal mengenai tindakan yang diambli terhadap mereka yang didakwa terlibat itu serta hubungan Malaysia dengan Arab Saudi yang mempunyai fahaman Wahabi dalam bidang pendidikan.

"Saya ingin tahu sejauh mana kebenaran dakwaan ketua polis negara bahawa anasir-anasir daripada JI, Wahabi dan Salafi samaada di IPTA dan IPTS?

"Kalau benar-benar ianya wujud, apakah tindakan dan sekatan untuk kemasukan pelajar samaada kebebasan beragama dan sejauh manakah akan dikaji hubungan Malaysia dengan Saudi yang bermazhab Wahabi, khususnya dalam bidang pendidikan.

"Adakah pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran ke sana akan disekat dan pelajar mereka yang datang ke sini juga akan disekat?" soalnya.

Timbalan menteri bagaimanapun langsung tidak mahu menjawab soalan itu dengan alasan ia tidak ada kaitan dengan soalan asal.

"Memandangkan soalan Pengkalan Chepa tadi mengenai sudut pidato mahasiswa, jadi saya hanya akan menjawab mengenai itu sahaja," katanya.

Abdul Halim dalam soalan asalnya meminta menteri pengajian tinggi menyatakan sejauh manakah usaha kementerian untuk mengembalikan autonomi mahasiswa di kampus-kampus dengan mengadakan 'sudut-sudut pidato' tercapai.

Kaukus petroleum: PR jumpa Kuli hari ini

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan mengadakan satu pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini bagi membincangkan isu royalti petroleum untuk kaukus parlimen yang ditubuhkan.

Pertemuan tersebut akan belangsung hari ini dalam satu majlis makan tengah hari di ibu negara.

Perkara itu disahkan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub yang juga salah seorang yang menyertai pertemuan itu.

Salahudin memberitahu, pertemuan itu bagi membincangkan secara serius mengenai langkah-langkah seterusnya mengenai tuntutan petroleum.

"Saya akan mengadakan satu pertemuan khas mewakili ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Kami akan membincangkan langkah-langkah selanjutnya tentang isu royalti petroleum," katanya.

“Kami ada apoinment makan tengahari esok (hari ini) dan kami telah diamanahkan oleh majlis tertinggi Pakatan Rakyat untuk membincangkan secara serius esok dengan Yang Berhormat Mulia tentang kaukus petroleum yang ditubuhkan bawah Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

PR mencadangkan ditubuhkan kaukus ini untuk membolehkan hak-hak royalti petroleum untuk setiap negeri di negara ini diberikan dengan adil.

Razaleigh dalam jawapannya berkata, beliau bersedia untuk menimbangkan cadangan ini dan akan turun memberikan sumbangan bagi menjayakan usaha ini.

Beliau sebelum ini menyokong penuh bahawa Kelantan dan Terengganu berhak mendapatkan royalti minyak berdasarkan perjanjian Petronas dengan kerajaan kedua-dua negeri itu.

Namun sehingga kini, kerajaan Pusat di bawah BN tidak menunaikan janji itu bahkan akan memberikan wang ehsan untuk kedua-dua negeri itu.

Peneroka Felda dan polis serbu pejabat Suara Keadilan

Nazri Abdullah


SHAH ALAM: :Lima buah bas yang membawa peneroka Felda dengan beberapa buah trak polis menyerbu pejabat akhbar PKR, Suara Keadilan (SK) petang ini ekoran laporan muka depan akhbar itu, 'Felda bangkrap' sebelum ini.

Selain membuat bising dan menyerahkan memorandum bantahan, mereka juga membakar akhbar yang membuat laporan berkenaan di perkarangan pejabat mereka.

Editor online SK, Fadli Osman berkata, kira-kira 200 yang mendakwa peneroka Felda itu sedang berkumpul di perkarangan pejabat mereka di samping beberapa trak polis.

"Tapi saya rasa mereka orang Umno ni," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily dari peiabatnya.

Menurut kakitangan SK yang berada di Parlimen, mereka menerima panggilan dari pejabat mereka, beberapa buah kereta peronda dan trak polis berada di bawah pejabat mereka di Shah Alam sekarang ini.

"Hanya seorang dua sahaja berada di pejabat sekarang dan kami perlu balik segera," kata seorang wartawan SK yang ditemui di Parlimen.

SK sebelum ini melaporkan berita bertajuk 'Felda bangkrap' di muka depannya. Ekoran itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, SK dan beberapa pihak lagi akan disaman ekoran laporan itu.

Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengeluarkan lesen untuk SK telah memanggil editor akhbar rasmi PKR itu beberapa hari lalu dan keputusan dikatakan akan dibuat hari ini berhubung dengan status akhbar itu.

"Saya dimaklumkan, KDN akan membuat keputusan hari ini tentang permit SK," kata Fadli kepada Harakahdaily

Dr Lo' Lo’ persoal penjelasan Nong Chik

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali (gambar) semalam mempertikai penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung pembangunan komprehensif Kampung Baru yang didakwa mendapat persetujuan pemilik tanah.

Beliau mendakwa, pemilik serta pewaris Kampung Baru tidak pernah menyatakan persetujuan seperti dinyatakan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada Dewan Rakyat.

"Keputusan dari pendengaran awam juga belum diperdengarkan lagi. Bagaimana menteri mendakwa dapat persetujuan dari penduduk Kampung Baru?" soalnya.

Pembangunan komprehensif Kampung Baru yang dinyatakan kerajaan juga, jelasnya masih kabur dari sudut perinciannya dan menjadi tanda tanya penduduk.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi membangkitkan insiden menteri yang didakwa telah menafikan haknya pada pertemuan dengan pemilik dan pewaris Kampung Baru di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 Mei lalu.

"Sebagai menteri yang sepatutnya bersifat profesional, telah menafikan hak saya untuk bercakap di situ sebagai wakil rakayat.

"Kalau menteri bercakap atas kapasiti menteri, saya bercakap atas kapasiti wakil rakyat dan pemilik tanah Kampung Baru, menteri berapa inci tanah Kampung Baru menteri ada?” soalnya.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan sentiasa melibatkan Malay Agricultural Settlement (MAS) dalam setiap perbincangan pembangunan Kampung Baru.

Umno takut kuasa undi anak muda

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: “Pemuda Umno mungkin tiupkan sentimen perkauman ini kerana mereka sendiri mungkin yakin bahawa anak muda Melayu mampu mengancam Umno pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mohd Firdaus Jaafar (gambar).

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Pemuda Umno kononnya nisbah pengundi baru antara Melayu dan bukan Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu adalah 1 Melayu nisbah 40 bukan Melayu.

Menurut beliau, Umno tidak ada jalan lain untuk mengekalkan kuasa mereka dalam negara, kecuali mereka terpaksa bergantung pada undi tradisi daripada ahli-ahli Umno serta pengundi Melayu yang masih menaruh harapan pada parti perkauman tersebut.

“Kaum Cina, India dan kaum-kaum lain umumnya lebih berminat dengan Pakatan Rakyat, kalau nak bergantung pun mungkin dengan undi tradisi dari Umno dan orang Melayu,” ujar beliau.

Pun begitu, beliau berkata, para pengundi bandaran serta mereka yang terdedah dengan media baru yang sebelum ini pernah mengundi Umno telah menunjukkan minat dengan PAS dan Pakatan Rakyat menjelang tsunami politik PRU12 lalu.

Impaknya, beliau berkata, rakyat memberi mandat pada Pakatan Rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di Kedah, Selangor, Perak (sebelum kudeta) dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai turut mempersoal pendirian Umno ekoran sokongan semua kaum bukan Melayu sebelum PRU12 yang lalu.

“Sudah 50 tahun orang Cina, orang India dan lain-lain mengundi, mengapa hak mengundi mereka ini seakan terancam dengan kenyataan pemuda Umno ini.

“Jadi Umno, dia buat kenyataan bersifat ancaman macam ini kononnya orang Cina dan India nak ambil kuasa politik daripada Umno,” ujarnya.

Ekoran itu, beliau menasihatkan Pemuda Umno supaya bersikap rasional dalam melihat minat pengundi baru di kalangan masyarakat bukan Melayu.

“Dunia twitter, dunia Facebook, dunia blog serta lambakan maklumat yang mengelilingi anak muda tak kiralah Melayu atau bukan Melayu sekarang ini, bagaimana Pemuda Umno masih dengan ‘politik ancaman’ yang lama,” nasihat beliau.

Tuntas dari itu, beliau mengajak pengundi baru yang berminat dengan Pakatan Rakyat untuk menggunakan kuasa undi masing-masing pada PRU13 kelak.

“Tak cukup kalau minat saja, daftarlah mengundi dan sokonglah calon PAS dan Pakatan Rakyat guna kuasa mengundi masing-masing,” ujar beliau.

1:40 pengundi baru agenda politik Umno

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) cuba menjayakan agenda politik Umno untuk terus berkuasa di tanah air pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Beliau berkata demikian kerana SPR dilihat sengaja membiarkan isu nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) berpanjangan.

“Mereka sengaja tak mahu menggunakan daftar automatik. Ini lebih bersifat mahu menyelesaikan agenda politik Umno untuk terus kekal memerintah di Malaysia,” ujar beliau petang tadi selepas mesyuarat berkala Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, SPR sepatutnya boleh menangani masalah mendaftar pengundi baru di kalangan masyarakat Melayu dengan melaksanakan daftar undi secara automatik.

“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan cara yang baik, iaitu melalui daftar secara automatik,” ujar beliau.

Katanya lagi, kenyataan ‘1:40’ yang dibuat oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno itu sebenarnya langsung itu memberi kesan pada sensitiviti rakyat yang nyata menolak politik perkauman Umno.

Ini kerana, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu ataupun masyarakat bukan Melayu sejak tsunami politik PRU12 lalu sudah mulai menerima kuasa politik Melayu yang baru, iaitu kepemimpinan Pakatan Rakyat sebagai teras pada kuasa politik negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS serta Pakatan Rakyat mampu menggantikan Umno BN dengan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pengundi baru kelak.

“Umno sekarang dalam bimbang, mereka takut hilang kuasa dan mereka takut pengundi baik Melayu atau tidak pergi pada kuasa yang baru, iaitu Pakatan Rakyat,” tegas beliau.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu nisbah 1:40 tersebut mencerminkan kegagalan SPR dalam menguruskan urusan pilihan raya di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyokong cadangan Abdul Hadi supaya daftar pengundi baru dibuat secara automatik.

Beliau turut mempertikai kaedah SPR dalam menyelesaikan masalah pengundi yang bermastautin di luar negara.

“Malahan, ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara sekarang seakan dinafikan hak untuk mengundi disebabkan masalah sulit ini,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Pakatan Rakyat bercadang untuk menuntut semula SPR menerima cadangan mereka sebelum ini, iaitu daftar undi secara automatik.

“Ini yang akan kita tuntut dan sekiranya SPR jujur mahu memperkatakan tentang pilihan raya yang adil, telus dan demokratik, maka mereka perlu terima cadangan ini,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, selain mendakwa Pemuda Umno mendedahkan perangkaan yang palsu, beliau turut mencabar SPR untuk mendedahkan perangkaan yang sebenar berhubung isu nisbah 1:40 tersebut.

“Dari maklumat yang kita dapat, pendedahan Pemuda Umno itu saya fikir adalah tidak betul.

“Maka, kita nak cabar SPR untuk dedahkan angka yang sebenar, jumlah yang didaftar dan peratus penyusutan daftar pengundi baru mengikut bangsa,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan untuk menganjurkan konvensyen bersama peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Tetapi, Anwar sendiri tidak memberikan tarikh spesifik berhubung konvensyen tersebut ketika disoal oleh wartawan.

Kes ADUN Pel Kelang: Isterinya Dakwa Badrul Kawan Perempuan Jahat

KELAB GREENBOC

Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mendakwa suaminya berkawan dengan perempuan jahat sehingga menyebabkan rumah tangga mereka yang dibina selama 17 tahun sering dilanda masalah.

Ramizah Mazlan, 39, juga mendakwa, suaminya turut menjalin hubungan dengan seorang wanita berusia 23 tahun semenjak Februari 2008, iaitu selepas dilantik menjadi ADUN.

“Saya pernah menjumpai beberapa gambar. Saya juga pernah terbaca khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon yang ada menggunakan perkataan sayang dan rindu,’ katanya menerusi afidavit keterangan yang diikrarkannya.

Afidavit keterangan itu dikemukakan pada perbicaraan permohonan cerai secara fasakh oleh Ramizah selaku plaintif terhadap Badrul Hisham, 50, (defendan) di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Permohonan cerai secara fasakh difailkan mengikut Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Selain itu, Ramizah yang mengangkat sumpah pada pukul 10.40 pagi juga mendakwa, Badrul Hisham telah berhubung semula dengan bekas tunangnya (yang dikenali sejak 25 tahun dahulu) pada tahun 2006.

Bagi menyelesaikan isu tersebut, Ramizah yang merupakan seorang suri rumah telah mengadakan perbincangan bersama bekas tunang defendan rumah ibunya yang terletak di Kampung Jawa, di sini.

Ramizah yang berkahwin dengan Badrul Hisham pada 31 Julai 1993 juga mendakwa, ibu mentuanya menyokong tindakan defendan berkawan dengan wanita-wanita tersebut sehingga menyebabkan dia tidak mempunyai tempat untuk mengadu.

Dia juga mendakwa telah tinggal berasingan dengan defendan sejak 4 Januari lalu selepas berlaku pergaduhan besar kerana mempersoalkan perbuatan defendan yang tidak pulang ke rumah selama empat hari bermula 29 Disember 2009.

“Saya mendapat tahu bahawa dalam tempoh tersebut defendan telah pergi ke Thailand,” tambahnya.

Prosiding yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh berlangsung tanpa kehadiran Badrul Hisham, seorang Adun bebas yang menyokong Barisan Nasional selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat pada 29 Oktober tahun lalu.

Pasangan itu mempunyai lima orang anak iaitu Dzarul Ashroff,16, Dzety Ashikin, 14, Dzureen Arysha, 10, Dzaleen Aryffa,9 dan Dzarif Ashakimi, 4 tahun.

Selain itu, Ramizah yang pernah bekerja sebagai penjaga stor juga mendakwa, defendan telah bertindak menyakiti dan menjadikan kehidupannya menderita oleh perbuatan defendan.

“Akibatnya saya mengalami tekanan perasaan yang teruk dan serius sehingga saya sering termenung dan bermurung,” tambahnya.

Dalam permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu juga, Ramizah mendakwa suaminya cuai dalam menyediakan nafkah zahir sejak awal perkahwinan dan keadaan bertambah buruk selepas defendan tidak bekerja.

Menurutnya, defendan yang bekerja di bahagian katering Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berhenti kerja selepas sembilan bulan berkahwin dan menganggur selama dua tahun sebelum kembali bekerja sebagai pegawai operasi di Syarikat Penerbangan Transmile.

“Selepas defendan dilantik menjadi Adun dan perlu menghadiri majlis tertentu yang memerlukan saya hadir bersama, defendan akan menyediakan pakaian rasmi untuk saya. Bagaimanapun, pada kebanyakkan masa, defendan tidak pernah mengambil peduli,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malik menetapkan 28 September ini sebagai tarikh sambung bicara bagi membolehkan saksi disoal balas oleh peguam defendan, Mohd Junid Ramali.

Semasa disoal berhubung ketidakhadiran defendan, Mohd Junid memberitahu, anak guamnya menghadiri mesyuarat di kawasannya. -MSTAR

Faekah Angkat Sumpah Jawatan Hari Ini

TV SELANGOR

SHAH ALAM - Faekah Husin telah mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik yang baharu kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.

Beliau akan memulakan tugas secara rasmi pada Khamis ini, 1 Julai 2010.

Faekah mengantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dlantik sebagai Pengarah Komunikasi KEADILAN.

Selain Faekah, tiga lagi pegawai baharu juga mengangkat sumpah iaitu Dr Badrulamin Bahron sebagai Pengarah Penerangan Negeri Selangor serta dua Setiausaha Eksekutif, Azman Abidin dan Dr Razali Bolhi.

Pelantikan beliau serta tiga pegawai tersebut diharap dapat membuka lembaran baru dengan menyumbang idea-idea membangun kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang ketika ini sedang giat membawa pembangunan ekonomi dan sosial kepada rakyat khususnya rakyat Selangor.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini kerajaan negeri yakin Faekah mampu menggunakan pengalamannya sebagai peguam selama hampir 20 tahun untuk meneruskan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang menjadi misi penting Kerajaan Selangor.

Pengalaman beliau selaku Setiausaha Politik kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sejak 2003 akan memberi kekuatan tambahan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan utama dalam KEADILAN Selangor dan pernah dipilih menduduki Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat pada 2001 hingga 2004.

Nurul Izzah Bidas Menteri Wilayah Tidak Menjawab Soalan

Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini mengkritik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin kerana gagal menjawab pertanyaan lisan dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat.

Izzah dalam soalan pertamanya meminta menteri berkaitan menyatakan dasar ekonomi, sosio dan politik yang diambil kerajaan apabila memutuskan membuat rundingan terus bagi pembangunan tanah seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh berbeza dengan pengumuman pada November 2008.

Beliau turut menuntut Nong Chik menerangkan anggaran keuntungan kerajaan bagi projek pembangunan lapangan terbang lama Sungai Besi sekiranya dilaksanakan mengikut tender terbuka.

Bagaimanapun, Nong Chik seraya menjawab dengan nada bersahaja mengarahkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menunggu jawapan bertulis daripadanya.

"Kita (pihaknya) akan jawab secara bertulis," kata Nong Chik.

Sebaliknya, Izzah memaklumkan Dewan bahawa beliau telahpun menerima jawapan secara bertulis berkenaan, namun penjelasan yang dikemukakan menteri bertanggungjawab itu tidak berkaitan dengan apa yang diminta beliau.

Izzah dengan lantang seterusnya menyuarakan bantahan ke atas jawapan yang diberikan menteri yang seolah-olah mahu mengelak daripada menjawab soalan yang dikemukakan tersebut pada ketika itu.

"Satu jawapan yang diminta pun menteri tak boleh nak jawab," tegas Izzah lagi.

Dedah Laporan Konsesi: Selangor Sambut Baik Keputusan Mahkamah

MSTAR ONLINE

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin lalu yang mengarahkan laporan audit dan perjanjian konsesi air antara Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) didedahkan kepada umum.

Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 15 Disember 2004, laporan dan audit konsesi tersebut adalah ‘rahsia’ dan hanya boleh dibuka untuk tatapan umum jika semua pihak bersetuju.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ekoran keputusan itu, rakyat Selangor boleh menilai sendiri perjanjian konsesi yang telah dipersetujui oleh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

“Tarif air bergantung kepada harga perjanjian konsesi. Jika perjanjian itu berat sebelah kepada syarikat konsesi, maka rakyat perlu membayar tarif yang tinggi.

“Oleh itu, keputusan mahkamah supaya dokumen konsesi dan laporan audit didedah kepada umum akan memberi manfaat besar kepada rakyat Selangor kerana mereka boleh membuat penilaian sama ada perjanjian ini adil atau tidak adil kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kata beliau, pihaknya mengganggap keputusan mahkamah ini sebagai dorongan dan membuka jalan yang lebih luas kepada usaha-usaha untuk mengambil alih pengurusan industri air di negeri itu.

Abdul Khalid menambah, pendedahan dokumen konsesi tersebut juga akan membantu pihaknya meneruskan bantahan terhadap usaha-usaha syarikat konsesi menaikkan tarif air.

Menurutnya, siri perbincangan dengan syarikat konsesi dan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan proses pengambilalihan operasi air di Selangor ketika ini sudah berada di peringkat akhir.

"Rundingan ini akan dapat diselesaikan jika semua pihak memberi kerjasama," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Menteri Besar itu menyeru Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui memberi kerjasama kepada pihaknya dalam rundingan itu.

"Rakyat Selangor dan Lembah Klang akan mendapat banyak manfaat jika rundingan pengambilalihan industri air dapat diselesaikan dengan segera," tambah beliau.

KDN Dapat Penjelasan Bertulis Bagi Tiga Surat Tunjuk Sebab

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam telah mendapat penjelasan bertulis berhubung tiga surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada akhbar Suara Keadilan.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Mahmood Adam berkata penjelasan itu yang merupakan jawapan bagi ketiga-tiga surat tunjuk sebab berkenaan diterima melalui faksimili pada 4.57 petang tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung penjelasan bertulis itu kerana perlu meneliti isi kandungan dokumen berkenaan terlebih dahulu.

"Saya belum tengok lagi jawapan mereka, dan kementerian juga akan mengadakan mesyuarat selepas ini untuk menilai sama ada jawapan mereka boleh diterima pakai atau tidak," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai maklum balas kepada tiga surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN kepada Suara Keadilan pada Januari, Februari dan April tahun ini.

KDN mengeluarkan surat tunjuk sebab pada Januari dan April ekoran kegagalan akhbar milik Parti Keadilan Rakyat itu memberi lapan salinan akhbar berkenaan bagi setiap keluaran.

Surat tunjuk sebab Februari pula khusus meminta penjelasan berhubung tiga artikel yang disiarkan Suara Keadilan yang didapati mempunyai unsur fitnah terhadap Umno dan Barisan Nasional.

Kelmarin, Mahmood memberitahu pemberita bahawa tarikh akhir ketiga-tiga surat tersebut perlu dijawab ialah pukul 5 petang ini.

Selain itu, akhbar berkenaan diberi tempoh seminggu yang bermula semalam, bagi menjelaskan laporannya yang mendakwa Lembaga Pembangunan Tanah Negara (Felda) telah muflis. -

Beberapa Akhbar Harian Dan Tabloid Tidak Patuhi Peraturan - KDN

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati bahawa terdapat beberapa akhbar harian dan tabloid yang tidak mematuhi syarat permit, garis panduan penerbitan yang ditetapkan atau peruntukan yang terdapat di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Datuk Zaitun Ab. Samad berkata KDN telah mengeluarkan sebanyak 43 surat teguran kepada akhbar harian pada 2009 manakala 10 surat teguran telah dikeluarkan pada 2010.

Bagi akhbar tabloid pula, Kementerian ini telah mengeluarkan sebanyak 19 teguran pada 2009 hingga bulan Mei 2010. Bagi tempoh yang sama, KDN telah mengeluarkan sebanyak enam surat teguran dan satu surat tunjuk sebab kepada surat berita parti politik.

"Mengikut Seksyen 7 (1), AMCP 1984, apa-apa hasil penerbitan tidak boleh mengandungi perkara-perkara yang memudaratkan ketenteraman awam, memudaratkan keselamatan, memudaratkan moral, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan kepentingan awam dan memudaratkan kepentingan negara," katanya.

Apa-apa hasil penerbitan juga dilarang menyiarkan berita tidak benar dan jika ini dilanggar maka ia bertentangan dengan Seksyen 8A AMCP 1984, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Zaitun berkata surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada penerbitan Suara Keadilan pada 28 Jun 2010 kerana telah menyiarkan berita yang menggemparkan fikiran orang ramai dan ini telah melanggar Seksyen 7 (1), AMCP 1984.

Menurutnya berdasarkan pemerhatian, didapati beberapa penerbitan tabloid juga telah melanggar syarat-syarat permit khasnya bagi syarat-syarat berikut:

* Lapan salinan tiap-tiap keluaran dan edisi akhbar hendaklah dihantar kepada kementerian sebaik sahaja ia dicetak.

* Selain itu, format akhbar hendaklah mematuhi contoh yang telah diserahkan bersama dengan permohonan bagi permit ini.

* Akhbar itu hendaklah tidak menerbitkan apa-apa bahan, fotograf, artikel atau perkara lain yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, perhubungan dengan negara atau kerajaan asing, atau yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.

"Akhbar itu hendaklah tidak dengan apa-apa cara salah nyata fakta-fakta berhubungan dengan kejadian-kejadian ketenteraman awam dan keselamatan yang berlaku di Malaysia," katanya.

Bagi penerbitan surat berita parti politik, syarat-syarat berikut juga hendaklah dipatuhi iaitu pengedaran hendaklah dihadkan kepada anggota parti sahaja dan pengedaran dan penjualan hanya dibenarkan kepada anggota parti di pejabat urusan dan markas parti sahaja. -

Amaran Khaled: Jangan Buli Pelajar Baru

PETALING JAYA: Semua pentadbiran institusi pengajian tinggi diarahkan supaya memastikan tidak berlaku kejadian buli atau ragging di tempat masing-masing terutamanya menjelang kemasukan pelajar baru tidak lama lagi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan, minggu orientasi yang akan dikendalikan oleh pelajar senior mesti dipantau oleh pengurusan universiti bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku nanti.

“Berdasarkan kejadian di Maktab Tentera Diraja (MTD) baru-baru ini, kita tidak akan bertolak ansur dengan apa juga unsur ragging dan berharap ia tidak akan berlaku semasa minggu suai kenal. Ia mesti dielakkan.

“Pihak pentadbiran universiti mesti bertanggungjawab sepenuhnya dan memastikan perkara itu tidak berlaku," tegasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Khaled berkata, tujuan utama orientasi ialah untuk memperkenalkan suasana baru mereka, bukan membuli pelajar-pelajar baru terbabit.

“Semua mesti sedar dengan tanggungjawab ini,” jelas beliau.

Beliau memberi amaran berkenaan beberapa hari sebelum bermulanya minggu orientasi di semua intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 4 Julai ini.

Lebih 40,000 pelajar baru dijangkakan memulakan pengajian ijazah mereka di 20 IPTA di seluruh negara tahun ini iaitu 0.38 peratus kenaikan berbanding dengan kemasukan tahun lalu.

Sementara beribu-ribu pelajar akan mendaftar di pelbagai pusat pengajian tinggi swasta.

Khamis lalu Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dipercayai dibuli dan didera meninggal dunia di Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi selepas tidak sedarkan diri.

Sehari selepas itu, polis menahan kelima-lima pelajar tingkatan lima maktab itu itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek meminta institusi akademik mengharamkan ragging sepenuhnya dan bertindak segera ke atas mana-mana pelajar terlibat.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pengetua dan warden asrama perlu bertanggungjawab jika berlaku kejadian buli di tempat mereka.

Katanya, mereka perlu memberi penerangan kepada pelajar-pelajar senior sebelum bermulanya semester baru dan menggariskan peraturan bagi mencegah mereka membuli pelajar baru.

“Mereka perlu beritahu pelajar apa yang boleh dan tidak sebelum bermulanya semester baru.

“Jika berlaku buli, mereka perlu memutuskan apakah hukuman yang sesuai kepada pelajar yang tidak patuh berdasarkan kesesuaian situasi,” katanya.

Selasa, 29 Jun 2010

Sistem kehakiman sudah tidak bebas ?

DETIK DAILY


KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengekalkan hukuman ke atas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua telah menimbulkan kontroversi. Ia menjadi perdebatan ramai ekoran keputusan mahkamah mengenakan denda RM2,000 ke atasnya selepas didapati bersalah mengigit seorang penjawat awam yang bertugas. Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan

Bagi menjelaskan kontroversi ini, TARMIZI MOHD JAM mendapatkan pengamatan pakar perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan simpang-siur isu ini.

Apa pandangan profesor terhadap kedudukan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu?

PROF. DR ABDUL AZIZ BARI: Saya fikir isu ini mudah dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan. Kalau kita lihat undang-undang ia cukup jelas di mana Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 48(1)(e) jelas menyebut bahawa Tian Chua hilang kelayakan kerana beliau telah disabitkan dengan satu kesalahan dan dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000. Dalam kes ini, Tian Chua didenda RM2,000 jadi apa yang tidak jelas? Saya setuju dengan pandangan yang sama yang dinyatakan oleh YB Karpal Singh dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Dato' NH Chan. Malaysia menjadi bahan ketawa dunia kerana bertengkar dalam soal yang cukup jelas. Orang biasa yang tak belajar undang-undang pun tahu maksud "tidak kurang daripada dua ribu". Apa yang hendak dibelit lagi?

Kalau begitu apa yang jadi kelam kabut dan timbul macam-macam pandangan tentang sama ada Tian Chua masih atau telah terbatal kedudukannya sebagai ahli parlimen?

Saya rasa kita tahu kenapa jadi begitu. Kita tahu kenapa Tian Chua diseret ke mahkamah dan disabitkan. Tetapi selepas kekalahan di kubu mereka di Sibu, Barisan Nasional (BN) jadi takut. Kita boleh faham kenapa SPR sendiri dengan tiba-tiba macam tidak begitu berminat mengadakan pilihan raya. Dan saya sendiri pelik kenapa soal mengelakkan pilihan raya kecil disebut oleh Hakim Dato' Ghazali Cha.

Apakah Profesor menganggap kenyataan hakim berkenaan tidak betul?

Saya tidak fikir hakim berkenaan patut berkata begitu. Kita kena sedar bahawa kes Tian Chua ialah kes jenayah dan dengan itu ia perlu ditangani mengikut undang-undang jenayah. Kalau beliau bersalah beliau perlu dihukum mengikut undang-undang. Pada saya hakim tidak perlu mengambilkira kesan hukuman itu; itu pertimbangan politik bukan undang-undang. Macam juga kes Bung Mukhtar yang berpoligami tanpa kebenaran. Hukumlah mengikut undang-undang yang berkenaan. Jangan kaitkan benda yang tidak relevan. Dan saya amat prihatin dengan kenyataan YB Tian Chua yang menyebut bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak melayan hujahnya yang mahukan keterangan yang diterima oleh majisteret dalam mensabitkan dirinya. Ini cukup penting bagi saya; yakni sama ada benar Tian Chua menggigit anggota polis berkenaan sebagaimana yang dituduh atau sebaliknya.

Mengandaikan Profesor menjadi hakim dalam kes Tian Chua ini, apa yang akan Profesor akan lakukan?

Kalau saya duduk di situ, saya akan timbangkan hujah Tian Chua yang mempertikaikan bukti-bukti yang diterima dalam mensabitkan beliau. Kalau majisteret itu betul, kekalkan hukuman yang dikenakan ke atas Tian Chua. Kalau tidak batalkan keputusan majisteret itu dan bebaskan Tian Chua. Apa kaitan dan relevannya soal pilihan raya kecil? Di sinilah kesalahan hakim mahkamah tinggi itu. Mungkin dia tidak baca dengan teliti peruntukan perlembagaan tadi walaupun beliau hendak mengelakkan pilihan raya kecil. Apa pun saya sudah katakan tadi, ini tak betul kerana tak ada kaitan. Kalau Tian Chua bersalah dia perlu dihukum; soal sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau tidak tidak ada kaitan. Kerana kesilapan hakim itu seluruh negara jadi kelam kabut sebab isu yang kecil ini. Kita semua jadi bodoh kerana membincangkan satu benda yang cukup jelas; yang tidak ada keraguan.

Apa yang menyebabkan kelam kabut ini timbul?

Pada saya mudah sahaja. Inilah yang berlaku apabila kehakiman sudah tidak bebas. Walaupun ada pihak yang akan menafikan, kita tahu, berdasarkan kes-kes yang dibawa ke mahkamah, undang-undang dibaca dengan pelik dan ganjil. Saya tidak fikir kita tidak tahu mengapa Tian Chua dibawa ke mahkamah. Dan kita tahu mengapa beliau disabitkan atas keterangan yang begitu dipersoalkan. Saya tak nampak logiknya Tian Chua menggigit anggota polis. Lainlah kalau kita memang anti Tian Chua dan sentiasa mencari jalan untuk membatalkan kerusi parlimen yang disandangnya.

Profesor menyebut kehakiman yang tidak bebas; boleh huraikan lebih lanjut khususnya dalam konteks kes Tian Chua ini.

Pertama bebas atau tidak itu adalah soal tanggapan, soal persepsi. Tetapi ini kita rumuskan berdasarkan apa yang berlaku di depan mata kita. Dalam kes Tian Chua ini seperti yang saya katakan tadi ia perlu diputuskan berdasarkan undang-undang; khususnya undang-undang jenayah dan undang-undang keterangan.

Bukan kerja hakim untuk mengatakan bahawa pilihan raya kecil patut diadakan atau tidak. Hakim patut mengelakkan dari dari meletakkan mahkamah dalam kontroversi. Sekarang ini kita lihat ada dua aliran; yang pertama kes-kes diputuskan dengan cara membaca undang-undang melalui cara yang ganjil dan luar biasa dan yang kedua kita lihat hasil akhirnya sering memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Saya tak fikir ini satu kebetulan. Semacam ada sesuatu yang dirancang. Apalagi bila undang-undang tidak dibaca dengan betul.

Awan berbentuk jenazah

SABAH DAILY


KOTA BHARU - Dua anggota tentera di sini terkejut apabila terlihat kepulan awan yang berbentuk seperti jenazah yang dikafan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra awal pagi semalam.

Kedua-dua mereka, Penolong Pengawal Gudang Peluru, Koperal Mahiran Che Taib, 33, dan Koperal Suhaimi Mahsan, 38, dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa di sini mendakwa melihat objek itu pada pukul 6.40 pagi.

Menurut Mahiran, dia melihat kepulan awan berbentuk aneh itu selepas menunaikan sembahyang Subuh di surau kem tersebut.

"Ketika itu saya berjalan keluar dari surau untuk meneruskan tugas di balai pengawal dan menjenguk rakan yang bertugas di menara kawalan di kem tersebut.

"Kemudian rakan saya (Suhaimi) tunjuk isyarat menggunakan tangan supaya melihat ke langit kerana terdapat objek berbentuk jenazah setinggi lebih satu meter dan ia seolah-olah sedang bergerak turun dari langit," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, Mahiran pula berkata, kepulan awan yang berbentuk seperti kalimah syahadah juga kelihatan di atas objek tersebut. -Kosmo