Rabu, 10 November 2010

Zaid salahkan Anwar dan Azmin, gesa mereka tinggalkan PKR

TERKINI


Zaid Ibrahim bersama para penyokongnya selepas sidang media di rumahnya di Petaling Jaya hari ini. — Gambar oleh Jack Ooi

PETALING JAYA — Datuk Zaid Ibrahim, yang semalam mengejutkan ramai dengan melepaskan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding timbalan presiden, hari ini mendesak Azmin Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melepaskan kepimpinan parti.

Pada sidang media di rumahnya pagi ini yang menjadi tumpuan wartawan, bekas menteri itu menyalahkan kedua-dua Azmin dan Anwar berhubung penyelewengan dan penipuan dalam proses pemilihan yang sedang berlangsung.

“Saya ingin berkata, jika mahu PKR bergerak ke depan, Anwar dan Azmin mesti pergi (tinggalkan parti)... kerana mereka adalah punca (kepada kesemua) masalah," kata Zaid.

Kini, Anwar merupakan penasihat PKR manakala Azmin, salah seorang naib presiden, bertanding jawatan timbalan presiden.

Zaid juga melabelkan Anwar sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak mempunyai fokus kepimpinan.

Justeru katanya, keseluruhan Pakatan Rakyat akan berhadapan situasi lebih sukar sekiranya tidak berhati-hati.

Kata Zaid, segala-galanya berubah dan membawa kepada kepimpinan lemah Anwar selepas pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu di mana Pakatan Rakyat menguasai lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

“Ia bermula selepas 2008. Kejayaan dalam pilihan raya menyebabkan keadaan itu. Kemudian beliau (Anwar) mula bermimpi. Beliau hilang fokus,” katanya.

“Kita mempunyai kepimpinan yang lemah. Kita tidak seharusnya menyalahkan orang lain.

“(Pelan) 16 September (2008) kita salahkan BN, kita kehilangan Perak, kita salahkan BN, Ahli-ahli Parlimen kita melompat, kita salahkan BN.

“Akan tiba satu masa apabila kita kata kita ini lemah,” kata Zaid lagi.

Zaid berkata, pandangan itu disuarakan bagi memastikan PKR terus relevan sebagai sebuah parti pembangkang dengan berkesan.

“Apa yang terjadi pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ini adalah daripada kelemahan Anwar sendiri. Beliau hendaklah menerima ini kerana ini bukanlah masanya untuk menafikan. Jika anda mahukan perubahan untuk negara, anda hendaklah ikhlas. Saya mohon maaf kerana cakap ini tetapi inilah masalahnya yang saya hendak luahkan.

“Pada hakikatnya kita tidak dapat menganjurkan satu pemilihan parti yang baik dan menunjukkan bahawa kita lemah. Kita gagal dan saya mahu mengubah ini kerana saya fikir rakyat dan parti berhak mempunyai yang lebih baik,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan PKR, beliau berkata parti memerlukan pucuk pimpinan yang baru, kekuatan dan fokus yang baru sekurang-kurang mereka yang sanggup menerima kelemahan parti.

“Bukan saya tidak menghargai sumbangan Anwar tapi zaman dah berubah,” katanya.

“Saya juga nak lihat parti kuat, supaya kerajaan akan lebih bertanggungjawab, telus inilah politik saya. Saya bukan buat ini untuk menunjuk-nunjuk,” katanya.

Zaid juga menggesa supaya kelayakan bertanding Mohamed Azmin dilucutkan kerana didakwa terlibat dalam penipuan keputusan pemilihan MPP.

“Saya fikir Azmin hendaklah dilucutkan kelayakannya (bertanding timbalan presiden PKR) kerana anda tidak boleh, kalau di cabang itu yang tidak memihak kepadanya, maka disuruh cabang itu bermesyuarat semula.

“Orang yang menyalahgunakan kuasa mestilah dilucutkan kelayakan,” katanya.

Zaid juga menafikan kenyataan Anwar bahawa tindakannya melepaskan semua jawatan termasuk menarik diri daripada bertanding bukanlah disebabkan beliau tidak menerima undi yang banyak di Sabah.

“Tak betul saya bangkitkan perkara ketidaktelusan ini selepas saya kalah undi di Sabah. Perkara ini telah saya bangkitkan lama dulu. Bagaimanapun ini bukan agenda peribadi saya,” kata beliau lagi.

Beliau menegaskan bahawa meskipun telah melepaskan semua jawatan, beliau tidak akan keluar daripada PKR.

“Jika semua anggota parti tidak menerima apa yang disuarakannya hari ini, saya akan fikirkan pilihan yang lain,” kata beliau.

23 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mereka masing-masing saling menyalahkan. ini perkembangan yang tidak baik bagi PKR.

Tanpa Nama berkata...

masalah ini berlaku kerana sikap mereka sendiri. jika keadaan ini berterusan, ini amat merugikan PKR.

Bhatera berkata...

Memang PKR sekarang ini kacau bilau tambahan lagi Zaib menarik diri dan melepaskan banyak jawatan dapak PR. Mungkin beliau begitu tidak berpuas hati dengan Anwar yang berat sebelah.

Tanpa Nama berkata...

smpai bila masalah dalam pKR ni nak selesai, makin lama makin terus pla.

Unknown berkata...

tidak perlulah untuk menyalahkan orang lain dalam hal ini. Inilah namanya politik. Macam-macam boleh berlaku. Kawan makan kawan pun boleh berlaku apa lagi hanya ahli politik semata-mata.

Bujang Senang berkata...

ini satu memalukan anwar yang mementingkan diri sendiri. berat sebelah sehinggakan Zaid menarik diri dari pemilihan calon PKR. Kerana beliau tahu apa kesudahanya nanti. Azmin diberikan sokongan penuh oleh Anwar kerana Azmin orag kanan yang disayanginya.

jsiput berkata...

Macam mana orang mahu undi PKR nanti kalau PKR tidak habis2x dengan masalah dalaman.

mike berkata...

anwar harus berundur dari terus memporak-porandakan PKR..

mike berkata...

jelas ramai ahli PKR yang hilang kepercayaan kepada anwar yang selaku ketua umum PKR..PKR sudah ada presiden, mengapa perlu ketua umum lagi? apakah presiden PKR itu hanya alat bagi anwar?

mike berkata...

anwar hanya mementingkan kumpulan beliau yang terdiri daripada mereka yang dijadikan boneka untuk mencapai matlamat peribadi..adalah wajar rakyat menolak PKR selagi ada anwar..

mike berkata...

apa pula komen presiden PKR itu sendiri? presiden PKR umpama patung hidup dalam pucuk kepimpinan PKR kerana yang beraksi adalah di sebalik tabir iaitu anwar..

mike berkata...

jika anwar tidka ingin melihat PKR berkubur maka beliau harus berundur dan bersara dari dunia politik..ianya adalah untuk kebaikan PKR dan PR itu sendiri..adalah menjadi kesilapan PR memilih anwar sebagai ketua mereka.

mike berkata...

nasib baik anwar bukan lagi dalam kerajaan BN..jika tidak, tentu BN akan mengalami perkara serupa seperti apa yang berlaku dalam PKR.

Paquin berkata...

Sememangnya dunia politik sukar diramal :(

Paquin berkata...

Jika hal ni berterusan, etah siapalah yang dapat faedahnya. huhuhu

Paquin berkata...

Ya supra. entah bilalah akan selesai... Tapi bila diperhatikan, bagaimana harus selesaikan masalah yang timbul jika asyik menyalahkan...

Paquin berkata...

Semoga PKR dapat menanggani masalah dalaman mereka dengan baik. Berhentilah daripada menunding jari dan kaji kelemahan diri sendiri utk lebih maju lagi.

Paquin berkata...

Apapun, sama2 kita nantikan apa yang bakal berlaku nanti.

Anak Sabah berkata...

Diharapkan PKR mampu menyelesaikan isu dalaman mereka sebaik mungkin.

Tanpa Nama berkata...

memang teruk kedudukan PKR kali ini. jika benar tuduhan Zaid, bermakna PKR juga mengamalkan penyelewengan dan penipuan yang boleh membahayakan negara jika mereka berjaya membentuk kerajaan baru.. tetapi sekiranya tuduhan Zaid tidak benar, ini membuktikan wujud pemimpin2 yang gila kuasa dalam PKR dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri sendiri.. kesannya juga amat bahaya kepada negara.. pilihan paling tepat adalah lupakan PKR selama2nya..

Tanpa Nama berkata...

tindakan Zaid ini boleh kita sifatkan duri dalam daging kepada PKR kerana pendedahan terbuka seperti ini boleh menjejaskan prestasi dan reputasi PKR sebagai pembangkang no 1 Malaysia. tidak adakah cara lain untuk menyelesaikan konflik ini seperti meja rundingan atau sebarang kaedah yang lebih tertutup?

Tanpa Nama berkata...

bagi saya yang patut keluar dari PKR adalah Zaid memandangkan beliau adalah watak utama menimbulkan kontroversi ini dan watak utama yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan PKR. amat memalukan kerana tindakan Zaid ini sama dengan masuk ke rumah orang, kemudian menghalau tuan empunya rumah..

elia berkata...

Ada kemungkinan juga kepimpinan Anwar dan Azmin sememangnya tidak begitu baik, jika tidak masalah ini akan dapat diselesaikan dengan baik dan tidak perlu bagi Zaid untuk meninggalkan PKR. Tapi bila kita lihat bagaiama Zaid bertindak nampak sungguhlah kepimpinan mereka tidak sebaik yang mereka war2 kan.