Khamis, 18 November 2010

Zaid keluar PKR

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM – Kedudukan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dalam parti akan terjawab pada Jumaat ini selepas beliau menimbulkan kejutan pada pemilihan pusat baru-baru ini.

Dalam satu kenyataannya, Zaid mengatakan beliau akan keluar dari PKR tetapi beliau menegaskan belum menghantar sebarang surat rasmi kepada pucuk pimpinan mengenai keputusannya itu.

Menurutnya, selepas menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan timbalan presiden minggu lalu, beliau menegaskan mengambil keputusan ini kerana sudah meluat dengan kepimpinan PKR.

“Memang benar saya akan keluar PKR, semua akan jelas pada Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris dalam laporannya semalam mendakwa Zaid telah mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR.

”Saya sedari hari-hari saya semakin singkat kerana pemimpin parti tidak berhenti-henti membuat serangan peribadi ke atas saya.

”Saya berundur kerana mahu menjauhkan diri saya daripada penipu dan pembohong. Saya tidak lagi mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menaburkan fitnah dan sanggup menipu semata-mata untuk tujuan peribadi mereka,” katanya kepada akhbar itu.

Zaid, yang menyertai PKR pada Jun tahun lalu selepas meninggalkan UMNO turut menjelaskan beliau akan bercuti buat seketika untuk menjauhkan diri daripada tumpuan ketika ini.

”Saya bukan membenci parti tetapi saya meluat dengan pemimpin yang bermasalah di dalam parti,” katanya.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menarik diri daripada pemilihan jawatan timbalan presiden PKR minggu lalu dengan alasan kepimpinan parti gagal menangani dakwaan manipulasi dan penyelewengan dalam sistem pemilihan berkenaan.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Zaid berkata pucuk pimpinan PKR langsung tidak cuba menangani pelbagai isu berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil walaupun isu tersebut sering dibangkitkan.

Pada 9 November lepas, Zaid turut menggesa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden parti Azmin Ali supaya berundur dan mendakwa kedua mereka adalah punca segala masalah dalam parti.

Tiada ulasan: