Rabu, 10 November 2010

Zahid Dakwa Masyarakat Cina, India Kurang Patriotik

Oleh Suara Keadilan

kula1KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta maaf selepas beliau berkata jumlah masyarakat Cina dan India menganggotai angkatan tentera rendah disebabkan kurangnya “semangat patriotisme”.

Beliau bangun membuat bantahan menurut Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) dan menuntut Zahid memohon maaf berhubung kenyataannya itu.

Oleh kerana Zahid telah meninggalkan Dewan Rakyat ketika itu, Kulasegaran melabelkan menteri itu sebagai 'pengecut' meskipun sebelum itu telah dimaklumkan supaya terus berada di Parlimen.

Zahid semasa sesi soal jawab berhubung soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Mohd Jidin Shafee semalam berhubung perangkaan rekrut terbaru tentera sejak dua tahun kebelakangan ini dan pecahan jumlah itu mengikut bangsa.

Beliau dalam soalannya juga ingin tahu punca atau sebab di sebalik kekurangan bangsa-bangsa tertentu menganggotai Angkatan Tentera Malaysia.

Zahid berkata 9,054 pegawai dan anggota lain-lain pangkat diserapkan ke ATM sejak dua tahun lalu, berbanding 14,749 yang direkrut pada 2006 hingga 2008.

Sepanjang 2008 hingga 2009, seramai 8,151 orang atau 90 peratus adalah berbangsa Melayu, 26 orang atau 0.29 peratus adalah Cina, 82 orang atau 0.91 peratus India manakala 795 atau 8.8 peratus adalah bangsa-bangsa lain termasuk kalangan bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

“Kementerian mendapati pembabitan bukan Melayu, khususnya di kalangan masyarakat Cina dan India di bawah tahap yang memuaskan.”

“Ia juga berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti takut disiplin ketenteraan yang ketat, gaji yang rendah berbanding swasta atau tiada galakan daripada keluarga,” kata Zahid.

Katanya lagi, ia juga mungkin disebabkan kekurangan sokongan daripada masyarakat berkenaan sendiri ataupun tanggapan negatif terhadap ATM.

Tiada ulasan: