Ahad, 7 November 2010

Yong menang sorak, politik tergadai

1 a yongOleh: Gan Sei Yang

BATU SAPI: Pilihanraya kecil Batu Sapi telah membuktikan betapa sukarnya Parti Maju Sabah (SAPP) untuk memulakan langkah pertama menuju pilihanraya umum ke-13 yang dijadualkan diadakan lebih awal; kerana momentum Barisan Nasional semakin mendaki ke kemuncak; setelah berjaya menawan DUN Galas dan mempertahankan Parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar pada Khamis lalu.

Sebelum ini, atas pekikan semangat sokongan membawa rebah, rakyat Sabah yang terpukau dengan slogan ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ dan ‘Autonomi’, Yong dilihat melalui PRK Batu Sapi dengan penuh bergaya dan sanggup mencabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman untuk berdebat dengannya; namun dalam masa yang sama menolak pelawaan debat calon PKR, Ansari Abdullah.

Setelah tidak menjadi dengan menjual ‘Liur Basi’ di Batu Sapi, Yong sewajarnya malu kepada diri sendiri dan meletakkan jawatan sebagai Presiden SAPP yang tewas dalam PRK sebagaimana tewasnya Mantan Presiden Berjaya, Datuk Harris Salleh kepada ‘Tunggul Kayu’ Datuk Kadoh Agundong.

Yong menjadi Presiden Parti yang pertama tewas di Sabah sejak BN mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah pada 1994 dan beliau pernah menjadi Ketua Menteri Sabah selama dua tahun pada 1996 hingga 1998.

Sebelum ini, bagaikan gelombang Tsunami yang dijangka membadai Batu Sapi Sandakan dengan majoriti yang cukup besar, namun ternyata semua persiapan dan modus operandi Yong; terutama menerima ‘Sampah Hanyut’ daripada serpihan PKR yang diketuai Datuk Nahalan Damsal dan bekas Usno yang diketuai Datu Badaruddin Tun Datu Mustapha; ternyata memalit najis ke muka Yong apabila hanya berjaya mendapat 2,031 undi.

Yong bukan sahaja tewas kepada Datin Linda Tsen Thau Lin yang disifatkan Blog Batu Sapi (kendalian SAPP) sebagai ‘Orang Suruhan’ Musa dan Pairin; malah dimalukan dengan calon PKR yang memperolehi 3,414 undi.

Apalah bala yang menimpa Yong kerana sokongan Bumiputera dan Cina kepadanya bagaikan ‘lautan manusia’ namun undi yang diterima bagaikan sebuah balang kaca yang mengandungi 2,031 biji kacang tanah.

Betapa punahnya harapan Yong, punah lagi para penyokong SAPP yang begitu bersemangat menubuhkan cawangan di segenap pelusuk kampung semata-mata ghairah untuk mengikut jejak langkah Parti Bersekutu yang bertanding di hampir semua DUN di Sabah, namun mencatatkan sejarah, ‘Sifar’ Kerusi.

Kalahnya seorang Presiden Parti kepada ‘balu’ yang masih berkabung kerana kematian suami dalam kemalangan yang tragis dan dilemparkan pelbagai tohmahan sehingga menjadi ‘boomerang’ dan mengenai diri orang yang melemparkannya.

Betapa malangnya Ansari yang sudah tewas lapan kali dalam pilihanraya di Sabah dan dua kali jatuh jambatan sehingga retak tulang rusuk dan terseliuh bahu; malang lagi nasib Yong Teck Lee yang bukan sahaja kalah kepada ‘Underdog’ malah, ditolak oleh pengundi Cina sendiri yang kembali kepada BN.

Bukan kerana mereka tidak suka atau tidak yakin kepada Yong, namun mereka kurang percaya kepada SAPP yang boleh keluar masuk seperti kepala kura-kura dan tidak ada cacat celanya BN apabila Ketua Menteri Sabah menolak perdebatan berhubung dua isu yang dianggap lapuk oleh golongan pertengahan di Sabah.

Nampaknya pertunjukan silap mata Yong Teck Lee tidak menjadi kenyataan kerana ‘kartunya’ berada di tangan Musa yang semakin mantap dan dipercayai Perdana Menteri dan timbalannya, ekoran kerajaan BN mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

Dengan sorokan gemuruh setiap kali Yong berucap dan dengan ramainya penonton yang menghadiri apa juga majlis SAPP, tidak ada seorangpun yang percaya Yong boleh kalah dalam PRK ini.

Lebih melebarkan senyuman Yong, beliau mendapat sokongan jitu kedua anak Almarhum Tun Mustapha, Datu Badaruddin dan Maimunah dan lebih 1,000 ahli bekas Usno yang menjadi pemilih berdaftar Batu Sapi; namun hakikatnya ke mana undi yang dijanjikan mereka?

Kenapa Yong kalah? Tiada siapa yang tahu melainkan Yong sendiri kerana sebarang telahan bukanlah jawapan sebenar kepada senario politik Yong, yang menjunam seperti nasib yang diterima Datuk Harris Salleh suatu ketika dahulu.

Alangkah bahagianya Pakatan Rakyat (PR) jika Yong memberi laluan dan berpadu tenaga memberi sokongan kepada calon PKR, Ansari Abdullah yang bertanding satu lawan satu dengan calon BN. Jika senario itu berlaku, keputusan yang diumumkan hari ini mungkin berubah daripada realiti sebenar.

Namun kini, Yong terpaksa menelan segala derita akibat kekalahan luar biasa seorang Presiden Parti yang bercita-cita untuk bertanding di semua kerusi DUN Sabah pada pilihanraya akan datang dan menjadi parti tempatan yang pertama berjaya membungkus Umno pulang ke Semenanjung dengan slogan, ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ dan ‘Autonomi’.

Nampaknya Yong bukan sahaja gagal menumpaskan populariti Ansari Abdullah, malah gagal menyeka air mata Linda Tsen yang tumpah sejak kematian suaminya dan selepas hari penamaan calon dan sepanjang tempoh kempen kerana diejek penyokong Yong. Airmata itulah yang akhirnya memenangkan Linda dan menenggelamkan Yong di persada politik tanah air!

Sekalipun akan ada pihak yang memfailkan petisyen pilihanraya, namun peratus kejayaannya begitu rendah kerana mengikut teori Sun Tzu dalam ‘Art of War’ , cara terbaik untuk menumpaskan lawan bukan di dalam gelanggang, sebaliknya di luar gelanggang. Mereka memasuki gelanggang hanya untuk mengisytiharkan kemenangan seperti yang diamalkan BN kerana kejayaan diketahui sebaik sahaja BN mengumumkan calonnya

25 ulasan:

zam berkata...

rakyat Batu Sapi lebih mempercayai calon BN. sebab itulah mereka memilih BN dalam PRK di Batu Sapi.

mandau berkata...

Yong tidak lagi disokong oleh penduduk Sabah. Sabah lebih memilih BN kerana BN sahaja mampu memberi pembangunan kepada Sabah.

Bhatera berkata...

YTL memang tidak ada penyokong yang ramai di Sabah. Kita boleh nampak sendiri, YTL SAPP ditangga tercorok sekali antara 3 parti. BN juara dan PKR tempat kedua dan SAPP ditempat ketiga. PKR sendiri SAPP tidak dapat lawan apa lagi BN.

Anak Sabah berkata...

Yong perlulah ingat apa yang dia pernah lakukan untuk rakyat Sabah yang masih boleh mendapatkan kepercayaan daripada rakyat?

Anak Sabah berkata...

Tak mungkin orang Sabah boleh mempercayainya lagi.

Hosie Masie berkata...

Yong mestilah berkerjasama dengan BN dan bukan bermusuhan kerana perasaan tidak puas hati dengan BN sebelum ini kerana beliau tidak diberikan kerusi bertanding di Kota Kinabalu. Kita boleh nampak sendiri result Yog di Batu Sapi. Memang Yong tidak diminati oleh rakyat Sabah sendiri.

Hosie Masie berkata...

Tidak semestinya Yong bekas KM Sabah ramai pengaruh di Sabah. Tidak semestinya itu berlaku. Yong mungkin lupa yang rakyat kita pelbagai kaum, hanya untuk memperjuangkan Sabah untuk Sabahan itu tidak cukup untuk kami. Kita seharusnya lebih berfikiran terbuka.

Mei berkata...

Tidak hairan Sapp kalah kerana calon mereka adalah YTL. Ramai yang telah hilang kepercayaan mereka terhadap YTL setelah apa yang dibuat oleh YTL ketika dia masih KM.

Mei berkata...

Apa2x pun, semua parti harus bersiap sedia untuk PRU13 yang mungkin akan datang tidak lama lagi. Good luck!

nickko berkata...

seperti yang dijangkakan SAPP berhadapan dengan laluan sukar di Batu Sapi. jika SAPP tarik diri pun belum tentu PKR boleh menang kerana jumlah undi SAPP dan PKR masih belum mampu menandingi undi BN.

nickko berkata...

sekarang, YTL boleh melihat sendiri dengan jelas populariti YTL dan SAPP di Sabah. tidak ada sedikitpun gambaran bahawa SAPP mampu menubuhkan kerajaan baru di Sabah selepas PRU13.

madd berkata...

Yong nampaknya tidak lagi popular dan tidak mendapat sokongan rakyat.

Tanpa Nama berkata...

nampaknya Yong Teck Lee tidak mendapat sokongan penduduk Batu Sapi, Yong kena menerima hakikat kekalahan teruk ini.

Antanum berkata...

Yong kena terima hakihat yang beliau sudah tidak sesuai lagi untuk menjadi pemimpin...

Paquin berkata...

Kalah menang tu adat pertandingan. Yang penting sekarang ni BN dah menang dan terimalah seadanya kemenangan itu.

Paquin berkata...

Semoga YTL sedar akan kepercayaan rakyat terhadap BN masih utuh.

Paquin berkata...

Perbaiki kelemahan diri sendiri dan jangan asyik menunding jari pada pihak lain. Rakyat kini sudah cukup matang utk membuat penilaian.

Paquin berkata...

Apapun, semuanya dah berlalu.. So let it be :)

Paquin berkata...

Kini masanya untuk menantikan perubahan positif hasil kemenangan BN. Teruskan perjuangan Datin Linda.

mike berkata...

ternyata SAPP kurang mendapat kepercayaan dari rakyat sabah..mungkin akibat dari rekod khidmat buruk Yong sewaktu menjadi KM sabah.

mike berkata...

pengundi memihak kepada BN kerana Bn adalah realistik dan tidak menjanjikan sesuatu yang mustahil..ditambah pula dengan rekod BN yang baik dalam meneraju negara sejak pasca kemerdekaan.

mike berkata...

mungkin SAPP perlu dibubarkan kerana dilihat sudah tidak relevan..atau mungkin perlu diganti presidennya agar SAPP boleh dirombak ke arah yang lebih menyakinkan.

mike berkata...

apa pun, BN harus sentiasa bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU13 yang mungkin diadakan pada bila2 masa.

Kurt berkata...

I think it's better for Yong to retire from politics.

Gopuk berkata...

Ini tentang Yong sudah tidak penting lagi! yang menjadi Queen bee sekarang ini menjadi perhatian iaitu Puan Linda!!