Ahad, 21 November 2010

Yayasan Selangor: Noh cuba main politik

SELANGOR KINI

Tan Sri Khalid Ibrahim

BESTARI JAYA– Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menyifatkan Timbalan Ketua Perhubungan Umno bermain politik apabila mengenakan syarat untuk mendedahkan bukti bersabit isu Yayasan Selangor.

Beliau membidas tindakan Noh mengenakan syarat mahukan Khalid memohon maaf kepada beliau, jika Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu membuktikan Yayasan Selangor membelanjakan lebih RM800,000 untuk sambutan ulang tahunnya ke-40.

“Kita tak halang Noh untuk masuk campur sebab itu hak orang politik. Tetapi dia anggap ini satu permainan politik. Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia (SPRM) telah mengambil maklumat, jadi dia sepatutnya tidak boleh komen, sebab ia sekarang dalam siasatan SPRM,” beliau memberitahu pemberita.

Sultan Selangor dan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid sebelum ini mengambil pendirian tegas menolak tindakan boros Yayasan Selangor untuk sambutan ulang tahun badan amal itu.

Khalid mengarahkan sambutan itu dibatalkan setelah dimaklum bahawa majlis jamuan menelan kos RM300,000. Noh pula mendakwa kos sambutan ulang tahun itu mencecah RM800,000, tetapi mengenakan syarat untuk memberikan bukti.

Kerajaan Selangor sudah pun mengambil tindakan dengan mengarahkan juruaudit untuk menjalankan pemeriksaan rapi.

Selain itu Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor di arah bercuti sebulan sementara siasatan terperinci dijalankan.

Khalid turut mengarahkan semua anak syarikat negeri dilarang menggunakan khidmat syarikat swasta bagi penganjuran majlis kecuali kalau benar-benar perlu.

Semua tindakan ini mencerminkan keseriusan sebuah kerajaan negeri yang mahu mengekang keborosan dan ketirisan, berani mengambil tindakan apabila diperlukan serta tidak menutup kebenaran.

Khalid berkata siasatan akan dijalankan secara telus dan keputusan akan dibuat secara profesional.

“Kalau salah pun, ‘akan ada keputusan, kalau betul pun, tetap akan ada keputusan,’ berasaskan audit yang dijalankan, kata Khalid sewaktu hadir di majlis Konvokesyen ke-5 Universiti Industri Selangor (Unisel) di sini hari ini.

Tiada ulasan: