Selasa, 30 November 2010

Usul potong gaji Menteri Tenaga ditolak


dzulkeflyahmadOleh Muda Mohd Noor

PARLIMEN KUALA LUMPUR: Usul supaya gaji Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Dr Marcus Majigoh dipotong RM10 ditolak oleh Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee setelah dibuat undian di kalangan ahli parlimen.

Seramai 47 ahli Parlimen setuju manakala 58 lagi tidak setuju dengan usul yang dibawa oleh Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) hari ini.

Dr Dzulkefly membawa usul tersebut kerana mendakwa beliau gagal melaksanakan tanggungjawab berhubung dasar pengswastaan bekalan air khususnya di Selangor.

Dalam perbahasannya, ahli Parlimen Kuala Selangor itu mendakwa dasar pengswastaan air yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat akan gagal.

"Ini berdasarkan kepada tiga faktor – tempuh pelaburan dalam industri air ini adalah terlalu panjang; kegagalan pemegang konsesi melaksanakannya dan kos yang terlalu tinggi.

Dr Dzulkefly berkata, pengswastaan air ini pada mulanya kononnya untuk mengambilalih kos air dari kerajaan negeri tetapi sebaliknya kerajaan yang menanggung mereka.

Tanggung hutang RM6.4 bilion

Katanya, empat syarikat konsensi air – Syabas, Abbas, Splash dan Puncak Niaga menanggung hutang sebanyak RM6.4 bilion kepada kerajaan negeri.

"Syarikat pembekal air berkenaan tidak mencapai prestasi mengikut terma-terma syarat yang telah dipersetujui," katanya.

Bagaimanapun, dakwanya kerajaan pusat mahu meneruskan pengswastaan fasa kedua kepada syarikat kroni walaupun ternyata mereka telah gagal dan melanggar penjanjian.

Dr Dzulkefly berkata, kualiti air yang dibekalkan oleh konsesi bekalan air kepada penduduk Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak mencapai kualiti yang diharapkan.

Manakala, kos pembayaran semula selepas bekalan air dipotong ialah RM50 berbanding RM10 semasa diuruskan oleh kerajaan negeri.

"Konsesi air berkenaan juga gagal mengatasi masalah air mentah terbuang dan ini menyebabkan mereka mahu menaikkan tarif air bagi menampung kos operasi," katanya.

Menurut Dr Dzulkefly, syarikat konsesi berkenaan juga melanggar perjanjian dengan kerajaan pusat iaitu membeli paip dari Indonesia bernilai RM320 juta untuk mengganti paip di Selangor.

Tiada ulasan: