Jumaat, 12 November 2010

UPSR : 48,327 semua A

SABAH DAILY

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam sejarah peperiksaan itu, pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata calon memperoleh keputusan cemerlang semua A meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.
“Alhamdulillah, peratusan calon di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) juga berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus tahun ini,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR 2010, di sini, semalam.

PASANGAN kembar yang juga pelajar OKU, Ahmad Rosli yang mendapat 2A,3B (kiri)  bersama adiknya, Muhammad Rosli yang mendapat 4A,1B selepas mengambil slip keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (2) Shah Alam, semalam.


Katanya, pencapaian calon luar bandar yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran juga amat memuaskan, meningkat 0.8 peratus daripada tahun lalu.

Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 21 September hingga 23 September lalu.

Abdul Ghafar berkata, peningkatan itu merapatkan lagi jurang pencapaian calon cemerlang (gred A) antara bandar dan luar bandar daripada 0.20 mata (mengikut GPN) kepada 0.04 mata.
Mengenai calon golongan istimewa, beliau berkata, mereka yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran meningkat 1.97 peratus, menjadikan GPN bagi pencapaian keseluruhan calon istimewa meningkat 0.02 mata.

Katanya, Ujian Aptitud yang dijalankan tahun ini menunjukkan peningkatan dalam bidang sosial, budaya dan sukan, manakala bidang akademik, teknik, vokasional dan seni menunjukkan penurunan ketara antara 5.4 peratus hingga 26.6 peratus.

Bagaimanapun, katanya, kecenderungan itu bukanlah satu ukuran pencapaian kerana ia boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

"Tahun ini adalah kali kedua Ujian Aptitud atau potensi diri dilaksanakan bertujuan mengumpul maklumat mengenai minat, potensi dan kecenderungan murid pada akhir tahun sekolah rendah yang akan digunakan untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti," katanya.

Mengenai prestasi mata pelajaran, bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon mendapat gred A bagi mata pelajaran matematik meningkat 1.9 peratus manakala mata pelajaran Sains meningkat 1.7 peratus berbanding 2009.

Abdul Ghafar berkata, ada peningkatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK yang memperoleh Gred A iaitu 4.5 peratus manakala prestasi Bahasa Melayu Penulisan menurun 8.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SK dan SJK dibuat berasingan kerana waktu pembelajarannya dan cakupan kandungannya adalah berbeza.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK dan SJK pula menunjukkan peningkatan pada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu masing-masing sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini (2.79 tahun lalu) dan 2.69 peratus (2.80 tahun lalu).

GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik. -BH

Tiada ulasan: