Sabtu, 13 November 2010

Umno Selangor mahu Najib kekal pengerusi negeri

BERNAMA

SHAH ALAM – Badan Perhubungan Umno Selangor menyatakan pendirian sebulat suara meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal mengetuai Badan Perhubungan Umno negeri ini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata keputusan itu dibuat setelah kesemua 22 ketua bahagian Umno negeri tersebut bersetuju dengan keputusan tersebut dalam mesyuarat pada Rabu lepas.

Kesemua ketua Umno bahagian negeri itu merasakan bahawa kepimpinan Najib (gambar) yang juga Presiden Umno amat diperlukan dalam usaha meningkatkan lagi sokongan serta kepercayaan rakyat terhadap parti itu, katanya.

Beliau berkata malah Selangor merupakan sebuah negeri yang disifatkan sebagai ‘jantung’ kepada pertumbuhan negara ini lebih-lebih lagi dalam usaha merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

“Maka, kita merasakan adalah wajar Datuk Seri Najib terus memainkan peranannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri,” katanya.

“Ketika ini Selangor berada di tangan pembangkang. Untuk memperkuatkan lagi keyakinan serta sokongan rakyat terhadap parti, kita merasakan adalah sesuai agar beliau terus kekal mengetuai Umno negeri ini,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang menyatakan isu perubahan kepimpinan Umno di negeri-negeri tertentu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno 26 November ini.

Difahamkan, perubahan itu mungkin akan turut melibatkan kepimpinan Umno di beberapa negeri antaranya ialah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Selangor.

Perubahan kepimpinan Umno negeri itu susulan daripada pengumuman Najib ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 yang menyatakan akan melakukan perubahan dalam kepimpinan Umno di peringkat tertentu dalam usaha mempersiapkan parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Pengumuman perubahan itu dikatakan bagi memenuhi hasrat perwakilan yang meminta Pengerusi Perhubungan Umno negeri khususnya di negeri-negeri yang kini bukan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), diterajui pemimpin tempatan.

Ketika ini, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor disandang oleh Najib, Wilayah Persekutuan dipegang oleh Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pulau Pinang (Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Terengganu (Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Kedah oleh Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ketua Umno Bahagian Selayang turut menyatakan bahawa Badan Perhubungan Umno Selangor turut sebulat suara bersetuju untuk membawa keputusan Umno negeri itu ke mesyuarat Majlis Tertinggi pada 26 November ini.

Tiada ulasan: