Rabu, 17 November 2010

Umno dakwa kerajaan Pakatan Selangor ‘lebih teruk’ banding BN amal kronisme


KUALA LUMPUR – Umno mendakwa pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Selangor, yang berusia dua setengah tahun, lebih teruk berbanding BN dari segi amalan kronisme dan dengan jelas menyalahgunakan dana awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor.

“Beliau (Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim) mengatakan beliau Menteri Besar Selangor terbaik,” kata Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo (gambar).

“Jika beliau mengatakan beliau adalah Menteri Besar yang terbaik, saya merasakan pentadbiran beliau tidak harus membazirkan wang macam ini,” kata beliau yang memegang tampuk menteri besar sehingga 8 Mac 2008.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun memulakan siasatan ke atas Yayasan Selangor berhubung dakwaan itu.

Dakwaan lain berkaitan Yayasan Selangor termasuklah pembelian kereta-kereta mewah, RM170,000 untuk majlis berbuka puasa, RM200,000 bagi pakaian, RM320,000 menganjurkan majlis Aidilfitri dan penutupan Institut Kemahiran Yayasan Selangor di Bagan Terap, Sabak Bernam ekoran kekurangan dana.

Hari ini, Dr Khir menuduh Khalid bersikap talam dua muka berhubung janji beliau mengamalkan ketelusan.

“Saya tidak fikir beliau mengamalkan ketelusan di Selangor kerana beliau tidak mendedahkan apa-apa, seperti salah guna (didakwa) dilakukan oleh Yayasan Selangor dan PKNS,” kata Dr Khir.

“Beliau cakap satu tetapi buat lain. Beliau sangat bagus dari segi amalan perhubungan awam,” katanya.

Semalam, Khalid berkata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar perlu menunjukkan kepada orang ramai bagaimana perbelanjaan bagi menyambut ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor, mencecah RM800,000.

Laporan sebelum ini menyebut perbelanjaan bagi mengadakan sambutan itu ialah RM300,000, termasuk untuk majlis jamuan tengah hari dan 90 peratus daripada jumlah itu telah dibayar terlebih dahulu kepada sebuah syarikat pengurusan acara.

“Biarlah beliau (Noh) memberi penjelasan tentang kosnya. Saya ingin melihat bagaimana angkanya mencapai sebanyak itu,” katanya.

Khalid berkata daripada RM300,000 itu, RM100,000 adalah perbelanjaan untuk khemah.

Katanya kerajaan negeri akan cuba mendapatkan kembali 90 peratus deposit yang telah dibayar kepada pihak berkenaan kerana acara yang sepatutnya diadakan semalam telah dibatalkan.

Khalid berkata kerajaan negeri juga akan memaklumkan kepada orang ramai perkara yang telah dilaksanakan Yayasan Selangor dalam tempoh empat tahun lepas.

Dr Khir juga membidas Khalid kerana enggan mendedahkan kertas Majlis Mesyuarat Negeri ataupun yang berkaitan dengan kontrak meskipun telah membentangkan Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

“Jika mereka dakwa ada kebebasan maklumat, jadi mengapa amalkan Akta Rahsia Rasmi (OSA)? Kertas Exco dan pemberian kontrak adalah di bawah OSA dan tidak boleh didedahkan,” kata Dr Khir.

Dr Khir juga menuduh Khalid mengamalkan kronisme dengan melantik kontak peribadi untuk mengetuai subsidiari seperti PKNS, Yayasan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Selangor (PKPS).

“Beliau melantik kroni-kroni untuk memegang jawatan tinggi seperti di Yayasan Selangor, di KSSB, (bekas penasihat) Datuk Anwar Md Nor adalah rakannya. Di PKPS, pengurus besar adalah Ali (Ahmad) yang juga kroni beliau,” kata Dr Khir.

Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor Umno berkata dakwaan-dakwaan terbaru mengenai salah urus dana dan kronisme terhadap subsidiari membuktikan hipokrasi Pakatan Rakyat dalam menguruskan negeri paling kaya di negara ini.

“Mereka (Pakatan Rakyat) tidak memenuhi janji-janji mereka untuk amalkan ketelusan dan mengelak pembaziran. Mereka lebih teruk berbanding BN,” kata beliau lagi.

“Mereka bikin tak serupa cakap, cakap tak serupa bikin,” kata beliau.

Katanya, dakwaan pembaziran dana awam dan kronisme sudah mula wujud meskipun pentadbiran kerajaan Khalid baru berusia dua tahun.

“Pentadbiran BN (Selangor) berusia 50 tahun. Sudah pasti ada kesilapan,” kata Noh.

“Tetapi pentadbiran (Pakatan Rakyat) hanya dua tahun. Dalam dua tahun, sudah ada macam-macam masalah,” katanya.

Dakwaan kronisme dan salah urus dana muncul baru-baru ini membabitkan anak syarikat seperti PKNS dan Yayasan Selangor.

Pada sidang DUN Selangor minggu lalu, Adun Hulu Kelang Saari Sungib dari PAS mendakwa pengurusan PKNS telah melantik kontrak peribadi untuk mengetuai anak syarikat PKNS dan syarikat itu juga telah membiayai majlis perkahwinan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor membabitkan RM520,000 bulan lalu.

Bagaimanapun Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar mempertahankan kepimpinan Khalid dengan berkata, kerajaan negeri dari semasa ke semasa mengambil tindakan untuk mengatasi dakwaan-dakwaan dibuat oleh rakyat.

“Kerajaan negeri telus, kami mengambil tindakan ke atas aduan-aduan yang dibuat orang ramai.

“Kami bertindak ke atas aduan salah guna dana dan dakwaan berbelanja besar membabitkan syarikat-syarikat yang berhubung kait dengan kerajaan negeri,” kata beliau.

Dalam pada itu Konsensus Bebas pula berkata pihaknya menyokong penuh keputusan Sultan Selangor untuk tidak hadir ke jamuan makan tengah hari anjuran Yayasan Selangor yang didakwa menelan belanja hampir RM800,000.

“PKNS juga didakwa terlibat dalam pembaziran dana RM9.6 juta yang digunakan oleh PKNS untuk menyewa ruang pejabat. PKNS juga didakwa, dan setakat ini tidak menafikan, berbelanja RM520,000 untuk menaja perkahwinan angkasawan negara.

“Yang dinyatakan di atas hanyalah beberapa contoh yang kini diketahui umum tentang perbelanjaan tak terkawal yang tidak rasional, dan pembaziran sumber kewangan di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri Selangor dewasa ini.

“Yang masih tersorok dan tersembunyi mungkin akan menambahkan kemarahan rakyat negeri Selangor sekiranya dibongkar,” kata Konsensus Bebas dalam satu kenyataan.

Katanya, jika kerajaan sebelum ini dituduh membazir kerana menaja lawatan-lawatan ke luar negara, bagaimana pula dengan pembaziran-pembaziran yang sedang berleluasa kini?

“Di manakah perubahan yang diwar-warkan sebelum mengambil-alih tampuk pemerintahan negeri?

“Makluman oleh Menteri Besar yang juga pengerusi Yayasan Selangor bahawa beliau tidak tahu-menahu majlis makan tengah hari anjuran yayasan tersebut memakan belanja yang tinggi amatlah mengejutkan dan menghairankan.

“Adakah munasabah kelulusan diberi tanpa pengerusi mengetahui kosnya terlebih dahulu? Adakah budibicara sepenuhnya diberi kepada pengurusan yayasan untuk berbelanja apa sahaja tanpa kawal selia yang sewajarnya oleh pengerusi dan lain-lain pemegang amanah?” katanya lagi.

Juster, kata Konsensus Bebas, pihaknya meletakkan tanggungjawab bagi ketidakcekapan dan kelemahan mengurus dan mentadbir hal ehwal kewangan negeri sepenuhnya di atas bahu Menteri Besar Selangor dan juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

“Justeru itu, Konsensus Bebas mendesak selantang-lantangnya agar sebuah firma audit yang profesional dan bebas dilantik untuk menjalankan kerja-kerja audit bagi semua agensi kerajaan negeri Selangor.

“Laporan audit ini mestilah dibentang dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri serta dibawa ke pengetahuan masyarakat umum, khasnya rakyat negeri Selangor,” kata pakatan wakil rakyat Bebas ini.

Tiada ulasan: