Ahad, 14 November 2010

Tiada rekod mahkamah Beginda sudah keluar Islam, kata Jakim



Anak Beginda dirotan selepas membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah. — WikiCommons

KUALA LUMPUR — Tiada maklumat rasmi mahkamah menunjukkan Beginda Minda, bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah bulan lalu telah keluar agama Islam, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Laporan semalam menyebut Jabatan Agama Islam Sarawak juga tidak mempunyai rekod yang mengatakan Beginda atau nama Islamnya Nor Azman Abdullah telah memeluk Islam dan keluar Islam sedekad lalu.

“Kita tiada rekod yang membuktikan sudah ada perintah mahkamah, bercakap dari segi perundangan tiada maklumat, tiada perintah mahkamah, bermakna dalam kes ini tiada keputusan Mahkamah Syariah,” kata Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Jadi secara peribadi dan Jakim memang mengharap sesiapa yang pernah menganut Islam akan kekal sebagai Islam walaupun pernah tersilap dalam amalan mereka, setiap orang ada membuat kesilapan dalam hidup mereka,” kata beliau.

Wan Mohamad berkata, berdasarkan pada lunas perundangan, mahkamah yang perlu menentukan sama ada seseorang itu keluar agama ataupun sebagainya.

“Pada kami, seseorang yang beragama Islam tetap akan dianggap sebagai seorang Islam sehingga mahkamah membuat keputusan, dan kes ini Mahkamah Syariah yang akan menentukan,” kata beliau yang turut menambah, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berhubung isu ini.

Wan Mohamad berkata, Jakim sedia membantu agensi agama negeri dalam menyelesaikan kekalutan yang wujud, membawa makanan haram atau makan makanan haram, dan berpendapat bahawa tindakan sedemikian tidak harus dianggap sebagai sudah keluar Islam.

“Jakim akan melihat secara menyeluruh punca-punca (mendakwa keluar Islam), yang kadangkala keputusan itu dibuat kerana sebab-sebab luaran yang tiada kaitan dengan soal akidah, jadi dalam menjalankan siasatan ini, kita tidak boleh cepat, gelojoh, tidak boleh mengambil tindakan berasaskan undang-undang semata-mata.

“Siasatan sedang dijalankan,” kata Wan Mohamad.

Semalam, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata Sarawak akan mendapatkan bantuan Jakim untuk menyiasat dan mengesahkan sama ada Beginda, seorang pemimpin PKR Sarawak, sebelum ini merupakan seorang Islam atau sebaliknya.

Daud berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak tidak mempunyai rekod yang mengatakan Beginda telah memeluk Islam.

Jelasnya, Beginda juga tidak pernah mengaku kepada jabatan tersebut dia seorang Islam atau tidak pernah keluar daripada Islam walaupun namanya menunjukkan dia seorang Islam.

“Kita akan menyiasat perkara ini dan kerajaan negeri akan meminta bantuan Jakim yang akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam lain di negara ini untuk membantu sama ada Beginda pernah mempunyai rekod sebagai seorang Muslim atau tidak,” katanya.

Ditanya mengenai penggunaan nama Islam oleh Beginda, Daud memberitahu, perkara itu bukan merupakan sesuatu yang baru di Sarawak kerana banyak masyarakat bukan Islam turut menggunakan nama seperti orang Islam.

Malah semalam Daud berkata, di Malaysia, setiap individu yang murtad termasuk di Sarawak hanya akan diberikan kaunseling tidak seperti amalan sebelum ini iaitu diambil tindakan ke atas mereka yang murtad.

Ujarnya, jika mereka mengakui hanya memeluk Islam dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, jabatan itu akan membenarkan mereka keluar agama Islam.

“Namun kes-kes seperti ini amat jarang dan kita tidak menggalakkan ia daripada berlaku,” tegas beliau.

Isu itu turut dibangkitan pada Dewan Rakyat minggu lalu.

Sambil menekankan bahawa pihaknya mengharapkan Beginda masih seorang yang beragama Islam, Ketua Pengarah Jakim menambah, “itu bukan sesuatu yang kami mahukan (keluar Islam).”

Ketika ditanya sama ada akan mengadakan pertemuan dengan Beginda beliau memberitahu:

“Ini (pertemuan) satu tindakan yang biasa kami ambil, tetapi tidak dimaklumkan kepada umum.”

Pada Rabu lalu, kerajaan telah mengarahkan bahagian penyelidikan Jakim untuk menyiasat status agama Beginda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, selepas mengenal pasti status Beginda, siasatan boleh dijalankan terhadap dakwaan anaknya Basil Beginda dirotan guru akibat kejadian itu.

Katanya, status agama Beginda perlu disiasat kerana mengikut keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

“Selepas itu (baru) boleh sampai kepada kesimpulan apa juga keputusan tentang itu boleh tentukan kepada kenapa budak ini dirotan,” katanya di Dewan Rakyat.

Isu itu tercetus Angela Jabing membuat aduan bersama sayap wanita PKR kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa Basil, anaknya berusia 10 tahun, dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Beginda, yang pernah bertanding pada pilihan raya 1999 dan 2001 atas tiket PKR menggunakan nama Islam juga mengakui bahawa dia bukan lagi beragama Islam.

“Saya akui, saya pernah memeluk Islam sebelum ini. Tetapi pada 1999, saya sudah tukar agama. Sekarang saya bukan Islam,” kata Beginda baru-baru ini.

Namun menurut Beginda, anaknya itu bukan beragama Islam.

Beginda berkata pada tahun 2004, apabila dia memohon MyKad, beliau telah menukar namanya semula kepada Beginda Minda.

Anaknya dilahirkan pada 8 Mei 2000.

Pada sijil kelahirannya, tiada agama dicatatkan untuk Beginda.

Kelmarin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin pula menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat kemungkinan bapa kanak-kanak yang dirotan itu mempunyai dua identiti.

Tiada ulasan: