Isnin, 29 November 2010

Teresa Kok dipilih pengerusi baru DAP Selangor, majoriti tipis

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

PETALING JAYA — Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok dipilih sebagai Pengerusi baru DAP Selangor susulan pemilihan sayap negeri itu yang berlangsung di sini hari ini dengan saingan sengit membabitkan dua kem.

Bagaimanapun Adun Kinrara dan Ahli Parlimen Siputeh (picture) ini hanya disokong lapan daripada 15 ahli jawatankuasa yang terpilih hari ini.

Terdahulu pasukan diketuainya memenangi 10 daripada 15 kerusi.

Pesaingnya, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim memperoleh tujuh undi.

“Tidak mengapa bagi saya. Ia dijalankan menerusi undi rahsia,” kata Kok merujuk kepada kejayaannya memenangi kerusi pengerusi dengan majoriti satu undi.

Dengan perkembangan itu, Teng menyandang jawatan naib pengerusi bersama Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Ng Suee Lim, salah seorang daripada empat penyokongnya menang pemilihan hari ini, dilantik sebagai penolong setiausaha DAP Selangor.

“Itu sebabnya saya meminta agar diadakan pengundian langsung. Hari ini kita melihat keperluan itu,” kata Teng yang memperoleh undi terbanyak berbanding Kok pada pemilihan 15 ahli jawatankuasa pagi tadi.

Teng berkata beliau berjaya dalam usahanya mengadakan pemilihan langsung bagi pegawai-pegawai Pemuda Sosialis DAP ketika memimpin sayap itu.

Tiada keputusan dibuat mengenai nasib Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu yang tewas di sebalik isu pemecatan salah seorang pembantunya daripada jawatan ahli majlis Majlis Perbandaran Klang.

“Kami tidak melantik anggota tambahan pada masa-masa lalu. Selalunya hanya ada 15 ahli jawatankuasa,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mengekalkan jawatannya sebagai timbalan pengerusi.

Bekas pengerusi negeri Ean Yong Hian Wah dipilih sebagai setiausaha manakala Adun Kampung Tunku Lau Weng San dijadikan setiausaha pengelola.

Adun Teratai Jenice Lee, yang memperoleh undi tertinggi pada pemilihan kali ini, diberikan tanggungjawab setiausaha publisiti.

Adun Subang Jaya Hannah Yeoh mengekalkan kedudukannya sebagai bendahari.

Tiada ulasan: