Sabtu, 27 November 2010

Syabas digesa tangani masalah penduduk Sungai Way

Oleh NAEEM RAFFI


PETALING JAYA - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diminta tangani segera masalah tekanan air rendah sejak dua tahun lalu yang melanda Kampung Baru Sungai Way, Petaling Jaya.

Adun Kampung Tengku, Lau Weng San, memberitahu, perkara ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan penduduk kesal dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Syabas walaupun sering membuat aduan.

Menurut Lau, selain masalah tekanan air rendah, penduduk juga menerima tempias dari kerja baik pulih paip bocor apabila sebahagian besar jalan tar di SS9/13 dan SS9/14 rosak dan berlubang.

“Terdapat juga aduan yang diterima di jalan 13 dan 14, mengatakan paip selalu bocor dan ini telah merosakkan permukaan jalan, yang mana mengganggu bekalan air di kawasan perumahan dan kedai, sekitar kawasan ini.

“Masalah ini berlaku sejak saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan ini, kami telah berjumpa dengan Pengurus Syabas Wilayah Petaling,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak Syabas menyatakan segala peruntukan pengantian baik pulih paip rosak dihentikan di seluruh Selangor dan situasi ini amat dikesali sebagai rakyat dan atas tiket penduduk, sepatutnya mendapat perkhidmatan terbaik untuk keperluan asas ini.

“Syabas telah menghentikan peruntukkan pengantian paip di sekitar Selangor, termasuk Petaling Jaya dan Sungai way, dan dia memberitahu segala keputusan bergantung dari pihak atasan.

“Bagi saya ini tidak adil kepada penduduk kerana mereka membayar bil air dan sebagai pengguna mereka sepatutnya mendapat perkhidmatan terbaik dari Syabas”

Ekoran dari kekangan ini,Lau menasihatkan syarikat air tersebut segera bertindak kerana mereka mengaut keuntungan berlibat kali ganda hasil dari penswastaan air ini.

Sementara itu, ketua Kampung Baru Sungai Way, Ding Eow Chai, berkata, setiap bulan menjangkau 10 aduan diterima, membabitkan isu yang sama.

“Setiap bulan hampir 10 aduan tentang tekanan air rendah dan paip bocor,” beritahunya.

Tidak cukup dihimpit masalah air, penduduk kampung kini berdepan dengan kerosakan jalan akibat kerja-kerja baik pulih paip.

Ding dengan nada kesal berharap, isu ini tidak berpanjangan sebaliknya bertindak segera untuk kebajikan dan hak pengguna.

“Tengok, dulu jalan besar ini bertar cantik, tetapi sekarang semua berlubang, jalan 14 dan jalan 1 sangat teruk, kita tengok pun sakit hati,” adunya kepada SelangorKini

Tiada ulasan: