Selasa, 16 November 2010

S'wak Report: Kakitangan Taib kasari jurugambar

MALAYSIA KINI


Seorang jurugambar laman Sarawak Report didakwa telah dikasari ketika merakam gambar individu yang keluar masuk daripada sebuah apartmen mewah di London.

Individu yang melakukan perbuatan itu didakwa merupakan kakitangan kepada keluarga ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, lapor laman berkenaan.

Laporan laman itu juga mendakwa, salah seorang pemandu Taib telah mencengkam leher jurugambar wanita itu dan memaksanya memadamkan rakaman yang dibuat.

Insiden itu berlaku apabila anak ketua menteri itu, Sulaiman Abdul Rahman yang juga MP Kota Samarahan meminta kakitangannya supaya keluar daripada apartmen mewah di Hyde Park itu untuk mengenalpasti wanita berkenaan, lapor laman tersebut.

Seorang pemandu kepada timbalan menteri pelancongan itu kemudiannya keluar dan "menyerang" jurugambar berkenaan sehingga beliau diselamatkan oleh seorang saksi di tempat kejadian, menurut laporan itu lagi.

Sarawak Report seterusnya menyebut, tindakan itu antara lainnya menunjukkan bahawa keluarga Taib tidak menghargai tindakan laman tersebut dalam memberikan publisiti mengenai harta yang dimiliki mereka.

Menurut laporan itu lagi, insiden berkenaan kini berada dalam siasatan polis UK.

Tiada ulasan: