Khamis, 4 November 2010

Sumbangan Kepada Mualaf Orang Asli Adalah Zakat Bukan Rasuah

Oleh Suara Keadilan

NikazizzakatGALAS - Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menafikan laporan akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa wang yang diberikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat Isnin lalu kepada tiga orang Asli yang diIslamkan sebagai rasuah tetapi sebaliknya adalah wang zakat.

Sehubungan itu beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya supaya menyiasat terlebih dahulu sebelum menyeluarkan kenyataan.

"Saya telah menghubungi setiausaha politik beliau, Tok Guru mengislamkan tiga orang Asli kemudian diberi wang zakat. Tidak mungkin tiga ini rasuah. Zakat pun rasuah? Di mana-mana pun zakat ini boleh diberi.

"Jadi saya harap SPR terbuka. Jangan melihat bila Tok Guru bagi duit itu sebagai rasuah. Saya tahu SPR tidak mempunyai penguatkuasa. Sepatutnya dia laporkan kepada SPRM atau polis. Tidak perlu keluar kenyataan yang boleh dilihat rakyat bahawa SPR ini memihak," kata Abdul Halim kepada media di Markas Induk PAS, Galas pagi semalam.

Laporan Utusan Malaysia semalam melaporkan Menteri Besar memberi rasuah kepada tiga Orang Asli ketika lawatan beliau ke Lojing Isnin lalu.

Abdul Halim menganggap Utusan Malaysia sengaja bertindak mengelirukan masyarakat terhadap pemimpin PAS ketika PRK Dewan Undangan Negeri Galas hari ini.

Beliau menegaskan pemberian wang ehsan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat kepada orang miskin ketika pilihan raya semakin hampir menjadi tanda tanya.

Beliau percaya usaha tersebut akan meliputi daerah Gua Musang dalam masa terdekat sekaligus menampakkan pemberian wang tersebut sebagai sumber sogokan.

"Kalau tidak kenapa tidak diberi sebelum ini? Kenapa tidak diberi selepas ini? Persoalannya kenapa beri sekarang. Jadi kita minta Jabatan Pembangunan beri maklumat bila wang ehsan ini diberi di Gua Musang dan berapa banyak," soal beliau.

Kempen PRK DUN Galas akan mencapai tahap kemuncak semalam apabila jentera kedua-dua parti sibuk mengedarkan risalah serta gambar calon di sepanjang jalan ke pekan itu menjelang hari mengundi.

Persaingan antara calon PAS, Dr Zulkifli Mohamed dan Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusof dijangka sengit bagi merebut kerusi DUN itu setelah kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 47, akibat penderitaan barah usus 27 September lalu.

Tiada ulasan: