Selasa, 16 November 2010

SPRM, SC siasat Sime Darby susulan audit forensik kerugian RM2.1b


The Malaysian Insider difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menerima laporan audit forensik baru-baru ini selepas Sime Darby merekodkan kerugian RM2.1 bilion, jumlah paling tinggi bagi mana-mana konglomerat di Malaysia.

“Siasatan rahsia,” kata seorang pegawai SPRM kepada The Malaysian Insider tetapi enggan memberi butiran lanjut.

Laporan audit forensik itu sepatutnya dikeluarkan September lalu, tetapi lembaga memutuskan untuk merahsiakan dulu sebelum dipanjangkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan meneliti kemungkinan tindakan ke atas bekas pegawai-pegawai kanan syarikat itu.

Difahamkan mesyuarat lembaga hari ini akan membutirkan lebih banyak maklumat daripada laporan audit forensik itu.

Syarikat berkaitan kerajaan ini mencatatkan keuntungan bersih RM726 juta bagi 2010 walaupun dilaporkan mengalami rugi selepas cukai dan kepentingan minoriti melibatkan RM77.4 juta pada suku keempat.

Sime Darby memperolehi keuntungan bersih RM1 bilion dalam suku keempat tahun lepas dan keuntungan bersih RM2.3 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan 2009.

Bahagian Tenaga dan Utiliti mencatatkan kerugian operasi RM1.7 bilion bagi tahun 2010 selepas menerima peruntukan tambahan RM777.3 juta bagi suku keempat.

Kali terakhir Sime Darby menyaksikan kerugian besar adalah ketika era krisis kewangan Asia 1997 apabila pasaran saham jatuh menjunam.

Ketika itu Sime Darby mencatatkan kerugian RM1.6 bilion — paras terbesar dalam sejarah perbankan di Malaysia — untuk tempoh enam bulan sehingga Disember 1997.

Pada 5 Ogos lalu, The Malaysian Insider difahamkan bahawa konglomerat itu akan mengumumkan kemungkinan kerugian mencecah angka RM2 bilion dan boleh meningkat sehingga RM2.5 bilion ekoran kelemahan pelaburan dalam sektor tenaga dan utiliti di Qatar dan juga ekoran amalan bisnes yang lemah dalam projek pembangunan empangan Bakun di Sarawak.

Tiada ulasan: