Khamis, 4 November 2010

SPR sifatkan pemberian wang kepada penduduk sebagai rasuah

BERNAMA

GUA MUSANG — Tindakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sejumlah wang kepada penduduk Orang Asli di Lojing Isnin lepas boleh disifatkan sebagai cubaan membeli undi dan rasuah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mengikut Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 apa-apa pemberian wang kepada pengundi yang boleh mendorong pengundi itu mengundi ditafsirkan sebagai rasuah atau cuba membeli undi.

“Apa yang saya sebutkan itu di bawah konteks undang-undang. Itu hak masing-masing, tetapi dalam undang-undang wang diterima oleh pengundi berdaftar dalam kawasan pilihan raya akan berlaku, wang itu diberi oleh siapa juga atas nama parti ke atau calon, maksudnya jelas memang boleh dirujuk seksyen

tersebut,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini mengenai tindakan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan memberikan sejumlah wang kepada penduduk Orang Asli di Lojing yang disifatkan sebagai tindakan terdesak membeli undi.

Katanya badan yang bertindak menguruskan pilihan raya itu telah memberikan pandangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerahkan perkara tersebut kepada agensi tersebut untuk diambil tindakan.

Wan Ahmad berkata soal membeli undi ini boleh membawa implikasi yang tidak baik terhadap perjalanan pilihan raya itu sendiri.

Mengenai bantahan PAS tentang soal pengiraan undi di luar kawasan peti undi melibatkan empat kawasan peti undi iaitu di Pos Belatim, Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Hau, beliau berkata ia bukan satu amalan baru.

Katanya, mengikut Peraturan Pilihan raya (Penjalanan Pilihan Raya 1981) Seksyen 23 A (2) SPR diberikan kuasa untuk menentukan kaedah untuk mengira undi dalam suasana yang mana keadaan itu tidak sesuai dengan tindakan itu.

Sementara itu, beliau menyifatkan kempen pilihan raya kecil di Galas ini sebagai yang terbaik dan terbersih dengan hanya empat kes pelanggaran undang-undang berlaku dalam tempoh sembilan hari kempen.

SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi esok tinggi iaitu 80 peratus dan menjamin pilihan raya kecil ini dilaksanakan dengan lancar ekoran persiapan yang telah dilakukan.

Keputusan dijangka diperoleh seawal pukul 8 malam esok selepas semua kertas undi melibatkan 13 peti undi dikira.

Tiada ulasan: