Khamis, 4 November 2010

SPR: Provokasi ‘orang luar’ dua parti tanding punca kecoh di Galas

BERNAMA

GUA MUSANG — Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar meluahkan rasa kesal dengan kekecohan yang berlaku ketika proses pembuangan undi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bermula pagi ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal, kekecohan berpunca daripada provokasi melampau oleh ‘‘orang luar’’ yang menyokong kedua-dua parti bertanding.

“Kekecohan berkenaan bukanlah dicetuskan oleh penduduk tempatan sebaliknya melibatkan penyokong dari luar yang saya rasa mereka ini tidak memahami budaya tempatan.

“Mereka tidak ada perasaan malu kepada penduduk tempatan. Inilah akibatnya...semua nak tunjukkan kekuatan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di luar pusat pengundian, di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi di sini.

Wan Ahmad berkata bagaimanapun, kekecohan yang turut menyaksikan insiden tumbuk-menumbuk itu tidak menjejaskan proses pembuangan undi hasil kawalan pihak keselamatan.

Kejadian tumbuk-menumbuk itu dikatakan berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah Barisan Nasional (BN) untuk meraih undi, kira-kira setengah jam selepas pusat pengundian di sekolah itu dibuka pukul 8 pagi tadi.

Menurut SPR, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 5,732 orang atau 49.61 peratus telah menunaikan kewajipan mereka.