Isnin, 8 November 2010

SPR-Bersih bincang memo 11 perkara sehari sebelum Bersih 2.0 dilancar


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 Selasa ini — sehari sebelum pertubuhan bukan kerajaan itu dilancarkan — ketika spekulasi pilihan raya umum ke-13 semakin meningkat.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan mengesahkan pertemuan itu kepada The Malaysian Insider.

Bersih 2.0 mengemukakan memorandum 11 perkara kepada SPR Julai lalu dan pertemuan itu sepatutnya berlangsung akhir Ogos lalu tetapi ditangguhkan.

Bersih pernah mengadakan demonstrasi jalanan di ibu negara menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Perhimpunan tahunan PAS dan Parti Keadilan Rakyat pertengahan tahun ini membuat ketetapan agar gerakan Bersih dihidupkan semula bagi menjamin pilihan raya umum ke-13 yang bebas dan adil.

“Sepatutnya kami jumpa akhir Ogos lalu tetapi tak jadi sebab saya kurang sihat ketika itu.

“Kami akan bertemu dengan Bersih, saya sedia mendengar pandangan mereka, saya harap mereka juga akan mendengar pandangan kami (SPR),” kata Abdul Aziz (gambar) merujuk kepada memorandum Bersih 2.0 ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Saya tidak tahu apa motif mereka, tetapi saya berharap mereka akan bersikap jujur, kami pun akan mengadakan pertemuan dengan pandangan terbuka dan jujur,” katanya lagi.

Sambil menekankan banyak perkara dibangkitkan Bersih 2.0 sudah pun dilaksanakan, kata Abdul Aziz, SPR akan menjelaskan kepada pemimpin Bersih 2.0 kedudukan suruhanjaya termasuk perkara yang boleh dilaksanakan dan idea yang tidak boleh dikuatkuasakan.

“SPR ada kekurangan dan kekangan, misalnya soal kewangan dalam melaksanakan sesuatu perkara baru. Saya harap mereka akan terima dan faham aspek ini.

“Jika ada perkara baik, kita akan terima dan laksanakan, tiada masalah untuk dilaksanakan,” kata beliau sambil menambah, SPR terus-menerus melaksanakan pendekatan pembersihan, dipercayai merujuk kepada tindakan membersihkan daftar pemilih.

“Saya pun mahu Bersih tolong kami menjalankan kerja-kerja pembersihan ini,” katanya.

Bagaimanapun Abdul Aziz hairan kerana memorandum dikemukakan Bersih 2.0 tidak menyertakan soal menghadapi situasi ketika proses penamaan calon dan pengundian di mana SPR berhasrat mengelakkan ketegangan dengan mengurangkan himpunan penyokong parti dalam jumlah yang terlalu ramai.

Insiden ketegangan ketika hari mengundi disaksikan semasa pilihan raya kecil kerusi DUN Galas, Kelantan Khamis lalu.

“Cara bagaimana kita boleh mengelakkan suasana yang tegang ketika hari penamaan calon dan hari pengundian tidak dimasukkan langsung dalam memorandum Bersih.

“Jadi, saya akan bangkitkan perkara ini dalam pertemuan dengan Bersih, harap mereka juga akan membantu SPR dalam hal ini,” katanya lagi.

Bersih 2.0 akan dilancarkan di Petaling Jaya, Rabu ini serentak program melanjutkan usaha ke arah pilihan raya bersih dan adil.

“Banyak lagi yang perlu dilaksanakan dan Bersih 2.0 memerlukan sokongan dan bantuan anda dalam memastikan misi Malaysia yang demokratik menjadi realiti.

“Bersih 2.0 percaya hanya menerusi pilihan raya bersih dan adil sahaja seseorang warganegara mampu mengenal pasti hala tuju mereka dan berharap pihak yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan sesebuah pemilihan itu bertindak dengan telus dan berkesan.

“Perjalanan untuk reformasi pilihan raya adalah ranjau dalam proses demokrasi, termasuk kedaulatan undang-undang dipulihara, hak asasi manusia dilindungi, urus tadbir baik dan pengelastarian dalam pembangunan negara,” kata Ambiga dalam surat jemputan majlis pelancaran Bersih 2.0.

Kata Ambiga, sebagai waraganegara setiap rakyat boleh menjadikan impian ini satu kenyataan.

Antara isu utama dalam reformasi pilihan raya disertakan dalam memorandum Bersih 2.0 termasuklah:

- Pembersihan sepenuhnya senarai pemilih bagi memastikan sebarang penipuan disisihkan dan senarai pemilih yang penuh dengan integriti

- Penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundian berganda

- Reformasi dalam pengundian pos dengan memansuhkan senarai pemilih berasingan yang sedia ada bagi pengundi-pengundi pos dan juga untuk menjadikannya sistem lebih fleksibel bagi semua pengundi

- Akses media yang bebas dan adil untuk kesemua parti bertanding

- Tempoh kempen minimum 21 hari

- Amalan-amalan adil dan profesional dalam persempadanan kawasan supaya mengurangkan pembahagian tidak adil ('malaportionment, gerrymandering') yang seterusnya menyebabkan pembahagian kerusi dan undi yang tidak seimbang

- Pendaftaran automatik untuk semua pengundi layak

- Pengurangan kelayakan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun

- Reformasi dalam urusan kewangan pilihan raya bagi memastikan ketelusan dan mengehadkan kecenderungan terhadap politik wang

- Pentadbiran tidak berat sebelah di semua peringkat kerajaan sebelum, selepas dan semasa pilihan raya umum atau kecil, untuk badan perundangan di peringkat persekutuan dan negeri

- Memperjuangkan hak semua pelajar berumur 18 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam politik dalam dan di luar kampus

“Bersih 2.0 kini dilancarkan sebagai gabungan kumpulan masyarakat yang tidak berpartian.

“Ia merupakan sebuah gerakan rakyat biasa yang ingin memastikan hak kepada pilihan raya yang bersih dan adil seperti yang dijamin oleh undang-undang,” kata Ambiga.

Abdul Aziz berkata, beliau juga ada dijemput menghadiri majlis pelancaran Bersih 2.0.

“Ya, saya pun ada terima jemputan agar hadir tetapi saya tidak dapat pergi kerana ada majlis lain di Perak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: