Isnin, 8 November 2010

Skandal PKFZ: Tiga tertuduh ditawar tuduhan pilihan

BERNAMA

SHAH ALAM — Tiga individu yang menghadapi pertuduhan membabitkan jumlah berjuta-juta ringgit dalam projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) hari ini ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan bagi kesemua pertuduhan asal mereka.

Bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Law Jenn Dong, 52, arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect dan Ketua Pegawai Operasi KDSB Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB bagi dua projek di PKFZ.

Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK, Ampang, antara 30 Jun 2006 dan 20 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga 29 tahun dan sebatan serta denda.

Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees iaitu dengan memperdaya OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrikal untuk sistem 33kv bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Law, Stephen dan Tan juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta.

Selain itu, Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees dengan memperdaya OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan dan justeru mereka telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM5.42 juta kepada KDSB.

Sebelum ini, Stephen dan Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB membabitkan dua projek yang sama, antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Berikutan pertambahan tuduhan terhadap Stephen, Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad yang mengetuai pendakwaan memohon mahkamah menaikkan jumlah jaminannya daripada RM200,000 kepada RM250,000 dan bagi diseragamkan dengan jumlah jaminan RM250,000 yang dikenakan ke atas Tan dan Law.

Bagaimanapun, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Stephen memohon mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM200,000 ke atas anak guamnya kerana Stephen tidak pernah gagal untuk menghadirkan diri setiap kali kes itu disebut di mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen Klang yang bersidang di Shah Alam, Asmadi Hussin kemudian menaikkan jumlah ikat jamin Stephen kepada RM250,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, beliau membenarkan wang ikat jamin didepositkan sebelum perbicaraan bermula pada 22 November ini.

Peguam V. Sithambaram hadir mewakili Tan sementara Law diwakili oleh peguam Justin Wee yang hadir bagi pihak peguam Tan Hock Chuan.

Tiada ulasan: