Jumaat, 12 November 2010

Shamrin vokalis kumpulan Fotograf meninggal dunia

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abd Samad, 45, meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 6 petang tadi di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, di sini.

Pelakon Drama Gerak Khas, Shamsudin Maidin berkata Allahyarham rebah ketika bermain bola sepak pada perlawanan persahabatan antara artis dan sebuah syarikat insurans di Padang Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di Kampung Baru pada kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

“Pada 10 minit permainan bermula arwah angkat tangan dan secara tiba-tiba dia rebah ... kami berlari ke arahnya serta buka bajunya dan pada masa itu muka dia kelihatan merah sebelum di hantarnya ke hospital,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu malam ini.

Katanya, Allahyarham mengadu keletihan kerana sebelum perlawanan berlangsung kerana beliau telah membuat persembahan pada majlis pelancaran “Siri Warisan, P.Ramlee Pada Syiling” di Balai Seni Lukis Negara.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan akan dibawa ke rumahnya di USJ 22, Subang Jaya esok sebelum kebumikan di Tanah Perkuburan Islam di kawasan itu.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak menerusi dua perkahwinan iaitu Akmal Danish, 5 dan Akmal Shahmin, 1 dengan isterinya sekarang Jazrizatul Akma Abu Saman, 29 manakala dua lagi bersama bekas isterinya.

Menurut seorang rakannya dari kumpulan Kool, Shaiful Azri Mohd Ariffin atau dikenali sebagai Riot, Allahyarham sempat tidur di rumahnya sebelum mereka sama-sama ke padang itu.

“Kira-kira pukul 3 petang dia sampai ke rumah saya ... dia cakap nak tidur sekejap sebab letih kerana sebelum itu dia ada buat persembahan pada satu majlis pelancaran.

“Saya tak sangka pemergiannya sebab selama saya kenal arwah memang dia tak pernah mengadu sakit malah dia sihat, ceria ... bagaimanapun saya redha dengan pemergiannya,” katanya.

Allahyarham Shamrin yang popular dengan lagu “Di Alam Fana Cinta” pada era 90an dan pernah merakamkan lagu duet bersama biduanita Datuk Sharifah Aini yang bertajuk “Kamu Aku Satu”.

Shamrin telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul “Iramanya Bergetar” pada 1989 dan seterusnya melahirkan lima buah album yang terakhir bertajuk “Juara Mimpi” pada 1997.

Tiada ulasan: