Ahad, 14 November 2010

Selangor mahu Agong halang Putrajaya ‘bailout’ Syabas

KUALA LUMPUR — Kerajaan Selangor akan mengadakan himpunan protes mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 5 Disember ini berhubung kemungkinan usaha kerajaan pusat mahu menyelamatkkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan menyediakan “bailout”.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) memaklumkan The Malaysian Insider malam tadi bahawa tindakan itu sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mengenakan tekanan ke atas pentadbiran Najib agar tidak meneruskan langkah “bailout” industri air negeri tersebut.

Menurut pemimpin-pemimpin itu, perhimpunan dan ceramah di seluruh Selangor sudah dirancang untuk menggerakkan sokongan ke atas protes yang akan diadakan di pekarangan Istana Negara di sini awal bulan depan.

“Kami merancang untuk menghimpunkan 100,000 orang pada 5 Disember bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu air. Tempatnya Istana Negara pukul 12 tengah hari.

“Butiran memorandum belum diputuskan tetapi intipatinya ialah mendesak agar hak air diberikan (dikembalikan) kepada rakyat, antipenswastaan.

“Kami mahu syarikat-syarikat berkaitan dengan air disepadukan dengan negeri,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua (gambar).

Setiausaha Publisiti DAP ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa kerajaan negeri membuat perancangan untuk mengadakan 60 majlis bermula minggu ini sehingga 5 Disember.

“Kami sudah memulakan kempen untuk mewujudkan kesedaran berhubung isu ini, menyediakan sekitar 60 ceramah di seluruh negeri sepanjang tiga hingga empat minggu akan datang.

“Ceramah-ceramah yang akan diadakan merangkumi kumpulan-kumpulan fokus khas, pertubuhan-pertubuhan madani dan juga kumpulan-kumpulan gereja,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, beberapa sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa pemegang bon air melibatkan Selangor akan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya campur tangan dalam usaha melindungi agar bon-bon yang terbabit terus berhadapan tindakan penurunan gred.

Pemegang-pemegang bon utama terbabit termasuklah CIMB Principal Asset Management, Hong Leong Investment Bank dan GreatEastern Life — yang dikatakan telah merangka surat bersama untuk dikemukakan kepada Najib meminta kerajaan pusat agar menyelamatkan Syabas dengan pinjaman RM1 bilion.

Pua berkata, langkah penyelamat RM1 bilion akan memberi gambaran tidak baik terhadap pentadbiran Najib.

“Kita mesti lebih berdaya saing, telus. Apa yang berlaku sekarang bertentangan dengan konsep di mana era kerajaan tahu segala-galanya, sudah berakhir.

“Kerajaan mengambil wang kerajaan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang lemah,” kata Pua lagi.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa respons awal terhadap majlis ceramah yang diadakan sekarang masih “dingin”, antara lain disebabkan kurangnya perancangan di pihak penganjur.

Ceramah telah dimulakan Selasa lalu dengan lokasi pertama ialah Dewan Hamzah, Klang.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok mengesahkan pendekatan kerajaan negeri itu.

“Saya mengesahkan maklumat itu, ya. Saya mencadangkan anda datang dan membuat liputan majlis antara Menteri Besar dan ahli-ahli majlis tempatan dan Ketua Kampung di Selangor esok, pukul 3 petang di dewan pejabat tanah Klang.

“(Maka) anda akan lebih tahu,” kata Kok.

Kedua-dua Kok dan Pua merupakan pemimpin kanan dalam DAP yang membentuk PR bersama PKR dan PAS.

Syarikat industri air Selangor — Syabas, Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS — berhadapan dengan risiko pembayaran balik hutang memandangkan bon air menghadapi tempoh kematangan.

Rabu lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mahu supaya kenaikan tarif air bagi pengguna air di Selangor hanyalah 15 peratus sahaja dalam proses penstrukturan industri air di Selangor yang masih dalam rundingan.

Menurut perjanjian pengswastaan industri air Selangor yang ditandatangani oleh Syabas pada 2004, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menetapkan kenaikan tarif air dengan kadar 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus lagi pada 2015.

Kerajaan negeri tidak bersetuju kadar tarif air dinaikkan kerana beliau mendakwa Syabas tidak mematuhi syarat-syarat perjanjian konsesi air itu.

Jika disusun semula konsesi air industri air ini kenaikan tarif air dapat dikurangkan dan harga bekalan itu dapat distabilkan, katanya.

Mengenai status perundingan, Khalid berkata ia kini di tangan kerajaan pusat kerana menurut pemahamannya kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu menyelesaikannya menjelang akhir tahun ini.

Kerajaan negeri mahukan supaya aset air termasuk paip-paip yang ditaksir bernilai lebih RM10 bilion diambil kira di dalam rundingan penstrukturan semula industri air itu.

Tiada ulasan: