Sabtu, 13 November 2010

Saya bukan ‘superman’ terus pimpin Kafa, kata Annuar

BERNAMA

BACHOK – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata beliau bukanlah “superman” yang boleh memimpin persatuan itu untuk selama-lamanya.

Beliau berkata apa yang penting bagi individu yang memegang jawatan itu ialah kemampuan membawa Kelantan ke tahap lebih cemerlang daripada apa yang telah dilakukannya sehingga negeri itu muncul juara Piala Malaysia menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir 30 Oktober lalu.

“Saya serah kepada pihak gabungan Kafa untuk buat keputusan (mengenai kedudukan dalam Kafa). Saya bukan boleh pimpin Kafa untuk selama-lamanya dan perlu ada kepada pengganti,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Che Karma Sulaiman, 39, seorang penyokong Kelantan yang meninggal dunia di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober akibat sesak nafas selepas menyaksikan perlawanan suku akhir antara Kelantan dan Selangor.

Turut melawat keluarga Allahyarham itu adalah Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan dan semua pemain Kelantan.

Dalam pertemuan itu Annuar menyerahkan sumbangan RM3,000 serta turut membawa Piala Malaysia yang dimenangi Kelantan ke rumah Allahyarham itu sebagai penghargaan.

Annuar juga berkata pemain Kelantan akan diberi rehat selama dua minggu bermula esok dan mereka akan kembali mengadakan latihan di bawah kendalian Sathianathan penghujung bulan ini.

Katanya Kelantan akan membawa masuk beberapa pemain muda kelahiran negeri itu yang kini bermain dengan pasukan lain untuk mewakili negeri itu pada kempen Liga Malaysia musim baru.

Beliau berkata Kelantan akan mengatur perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan luar negara seperti Singapura, Myanmar dan Kemboja selain melantik jurulatih kecergasan bagi musim baru ini.

“Musim baru ini ada pembaharuan iaitu kita akan bermain rentak berasaskan kelajuan dan skil permainan dan sebab itu kita perlukan jurulatih kecergasan ini,” katanya.

Tiada ulasan: