Ahad, 21 November 2010

Samy Vellu panggil mesyuarat khas CWC MIC 29 Nov



Samy Vellu dipercayai akan dilantik sebagai duta bertaraf menteri. — gambar fail

KUALA LUMPUR— Datuk Seri S. Samy Vellu telah memanggil mesyuarat khas 29 November ini — sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengadakan konvensyennya, dipercayai bagi mengumumkan perkembangan terakhir mengenai tarikh beliau mahu melepaskan jawatan presiden MIC.

Samy Vellu ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan beliau akan mempengerusikan mesyuarat itu.

Tarikh mesyuarat itu dimaklumkan kepada kesemua anggota CWC selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.

Bagaimanapun kata Samy Vellu, ia tiada kaitan dengan pelan peralihan tampuk kepimpinan MIC.

The Malaysian Insider difahamkan Samy Vellu akan memulakan tugas sebagai duta bertaraf menteri yang berkaitan dengan portfolio prasarana mulai pertengahan bulan depan.

“Saya kami akan mengadakan mesyuarat pada tarikh itu, saya ada banyak perkara yang perlu saya maklumkan kepada mereka (anggota CWC),” kata presiden MIC paling lama ini.

“Kalau ada apa-apa yang hendak dimaklumkan, saya akan memanggil kamu nanti,” kata Samy Vellu lagi.

MIC mengadakan mesyuarat CWC bulanan terakhir Khamis lalu.

Ia lazimnya akan mengadakan mesyuarat CWC sekali dalam sebulan.

Justeru, pemerhati melihat Samy Vellu yang masih mahu merahsiakan tarikh mengakhiri tempoh kepimpinan akan membuat pengumuman penting pada 29 November.

Beberapa anggota CWC yang dihubungi mengesahkan mereka sudah menerima SMS malam tadi meminta agar menghadiri mesyuarat itu.

Surat pemakluman rasmi dijangka akan dikeluarkan hari ini, kata seorang lagi pegawai kanan parti itu.

“Ya, saya ada menerima notis SMS.... saya fikir kita boleh mengharapkan pengumuman penting pada hari itu,” kata pegawai itu lagi.

Sebelum ini, sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa Samy Vellu akan memanggil mesyuarat susulan CWC hujung bulan ini iaitu sama ada 28 atau 29 November susulan kepada pertemuan Khamis lalu.

Bagaimanapun BN mengadakan konvensyen pada 28 November.

“Jadi, kemungkinan presiden memilih 29 November sebagai tarikh yang sesuai baginya membuat pengumuman penting,” kata seorang lagi anggota CWC kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN berkata, pertemuan semalam merupakan yang terakhir dihadiri oleh Samy Vellu selaku presiden MIC.

Ketika ditemui Khamis lalu, Samy Vellu menolak dakwaan akan lepaskan jawatan presiden MIC bulan ini.

“Ada banyak khabar angin, ada banyak bunyi, kenapa ada banyak bunyi?

“Itu hanya khabar angin, sekarang banyak orang cakap macam-macam tentang saya, biarlah.

“Bila saya akan keluar parti mesti saya akan adakan mesyuarat dulu, kemudian baru saya akan umumkan bahawa saya akan keluar parti dan ketika itu saya akan panggil wartawan,” katanya.

Sebelum ini Samy Vellu mengatakan hanya akan melepaskan jawatan tersebut pada Januari — lapan bulan lebih awal berbanding pengumuman dibuat Mei lalu.

Sebelum ini, kumpulan antikepimpinannya mengadakan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) mendesak beliau berundur menjelang Disember ini selepas Mei lalu Samy Vellu mengumumkan akan bersara September 2011.

Pada 18 Mei lalu, Samy Vellu mengumumkan rancangannya untuk melepaskan jawatan beliau selewat-lewatnya lapan atau sembilan bulan sebelum tempoh perkhidmatan beliau berakhir.

Mandat semasa sebagai presiden akan berakhir 21 Mei 2012.

Samy Vellu, 74, menjadi presiden MIC sejak 1979, selama 11 penggal berturut-turut.

Beliau juga merupakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang paling lama menjadi ahli Kabinet BN sehinggalah beliau tewas semasa pilihan raya umum 2008.

5 ulasan:

zam berkata...

tunggu sajalah apa yang akan dibincangkan dalam mesyuarat khas tersebut..

Tanpa Nama berkata...

harap perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut satu perkara yagn baik.

Tanpa Nama berkata...

tidak perlu ada spekulasi sumbang buat masa ini. beliau bersara atau tidak dari jawatan itu, tidak akan membawa apa2 impak kepada rakyat dan negara. peralihan kuasa tetap akan berlaku lebih2 lagi beliau sendiri telah buat kenyataan sebelum ini..

Anak Sabah berkata...

Bila entahnya Samy Vellu ini akan bersara? Cukuplah setakat ini.

elia berkata...

Samy Vellu akan bersara pada bulan depan menurut sumber yang boleh dipercayai. Memang sudah cukup untuk bersara.