Isnin, 22 November 2010

Saifuddin: "Zaid sendiri mahu keluar parti"


IMG00363-20101122-1331

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui mesyuarat biro politiknya malam tadi bersetuju menerima surat Datuk Zaid Ibrahim untuk keluar parti berkuatkuasa serta merta walaupun beliau menyatakan hasratnya keluar pada 16 Disember depan.

Menurut Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail, Zaid bukan dipecat sebaliknya parti bersetuju menerima perletakan jawatan beliau itu.

"Ini bukan kontrak pekerja..ini soal parti maka kami terima perletakan jawatannya serta merta daripada tarikh surat dihantar kepada kami 19 November lalu,"katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya hari ini.

"Saya memaklumkan kepada biro politik melalui mesyuarat semalam bahawa ibu pejabat telah menerima surat Zaid pada 19 November jam 10.30 pagi yang memaklumkan hasrat untuk keluar parti.

‘Maka biro politik memutuskan untuk menerima perletakan beliau berkuatkuasa serta merta. Ini bukan kontrak bekerja…ini parti politik. Maka keputusan ini sekaligus memudahkan Zaid mengatur langkah dalam kerjaya politiknya," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Zaid yang merupakan bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan pada 19 November lalu memilih 16 Disember akan datang sebagai tarikh beliau meninggalkan parti itu.

Bekas menteri undang-undang mengumumkan hasratnya itu ketika sidang media di kediamannya pada Jumaat lalu.

Pada 8 Nov lalu, Zaid mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan meletak semua jawatannya dalam parti.

Beliau mendakwa kepimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan telah beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden PKR, Azmin Ali supaya meletakkan jawatan kerana mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam PKR.

Zaid menyertai PKR pada Jun tahun lalu setelah beliau dipecat daripada Umno.

Tiada ulasan: