Jumaat, 12 November 2010

Sah, PKR tidak tangguh pemilihan walaupun aduan banyak, kata pengerusi JPP

TERKINI

PETALING JAYA – Pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung sekarang akan diteruskan walaupun ada gesaan agar ia dibatalkan dan diadakan semula proses pengundian ekoran dakwaan kepincangan dan kecacatan.

Ketika dihubungi petang ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah berkata ia antara keputusan yang dicapai pada mesyuarat Biro Politik yang diadakan semalam.

“Ya, ia hasil mesyuarat Biro Politik, dan diputuskan pemilihan tidak akan ditangguhkan, akan diteruskan seperti yang telah dijadualkan dan diputuskan sebelum ini,” kata Dr Cheah.

Keputusan itu ekoran memorandum yang dikemukakan oleh salah seorang calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub kelmarin.

Dr Cheah berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Mustaffa tengah hari tadi untuk menjelaskan keputusan, antara lain meminta bukti dan penjelasan berhubung aduan-aduan yang dikemukakan dalam memorandum beliau.

Mustaffa memberitahu beliau akan mengadakan sidang media pagi esok untuk mengumumkan pendiriannya ekoran keputusan yang disampaikan oleh JPP.

“Ada masanya kita kena amalkan (prinsip) ambil dan beri, saya akan umumkan pada sidang media esok,” kata Pengerusi PKR Perak ini.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan keputusan itu, Mustaffa yang kini merupakan Naib Presiden PKR berkata: “Ya, puas hati.”

Mustaffa berkata pertemuan dengan Dr Cheah berlangsung kira-kira sejam.

Ketika ditanya sama ada Mustaffa diberikan sebarang tempoh untuk mengemukakan bukti dan penjelasan yang diminta, Dr Cheah berkata beliau berharap ia akan dikemukakan dalam waktu terdekat.

Ditanya hujung minggu ini, kata beliau, “ya, saya harap beliau akan kemukakan dengan segera.”

Dr Cheah juga yakin pemilihan membabitkan baki cabang mulai esok akan berjalan dengan lancar memandangkan tiada masalah besar setakat.

Dalam laporan pagi tadi, The Malaysian Insider melaporkan, Biro Politik PKR yang mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan memorandum kata dua calon timbalan presiden berhubung pemilihan pusat tidak membuat keputusan muktamad atas alasan memerlukan bukti kukuh dan keterangan susulan.

The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berlangsung kira-kira dua jam, memutuskan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pengadu.

Memorandum yang diserahkan oleh Mustaffa menggesa parti mengambil tindakan segera dalam 48 jam - tempoh yang akan berakhir petang ini.

Ia menggesa agar proses pemilihan dibatalkan dan digantikan dengan pengundian baru walaupun 87 cabang sudah selesai mengadakan pengundian sepanjang lima hari pertama, sehingga Ahad lalu.

Sehari sebelum itu seorang lagi calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding atas alasan wujud banyak kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Malah Zaid juga melepaskan semua jawatan dalam parti dan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi calon timbalan presiden Azmin Ali keluar parti.

Biro Politik mengadakan mesyuarat mingguan malam tadi tetapi calon-calon yang bertanding pada pemilihan kali ini termasuk Mustaffa sendiri tidak hadir.

Dr Cheah yang dipetik Bernama menyebut, pemilihan parti tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan.

“Orang kena faham, untuk membuat sesuatu keputusan ia perlu ambil masa, setiap aduan kita perlu teliti dahulu,” katanya.

Pemilihan pusat yang berlangsung pada 29 Oktober lepas dan akan berakhir 21 November ini melibatkan sebanyak 218 cabang. Ia disusuli dengan Kongres Nasional Tahunan PKR selama tiga hari mulai 26 November di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Esok, sebanyak 12 cabang akan mengadakan pemilihan iaitu empat di Kelantan dan lapan lagi di Kedah dan 41 lagi pada Sabtu ini.

14 ulasan:

mantra berkata...

pemilihan ini biarlah dilakukan dgn telus. jgn pula timbul lagi kekecohan.

samm berkata...

nampaknya PKR tetap meneruskan pemilihan walaupun terdapat banyak masalah yang timbul. PKR perlu memastikan pemilihan ini berlangsung tanpa sebarang masalah.

Hamdan Hadillah berkata...

Mereka mungkin takut kerana kritik darI PRATI LAIN BAHAWA PKR ini tidak ada pendirian yang tetap. Oleh itu mereka tidak mahu tangguh Pemilihan calon PKR tersebut.

Unknown berkata...

Mungkin ada sebab tersendiri kenapa mereka tidak menangguhkan pemilihan calon tersebut. Apa pun harapan kita ini adalah yang terbaik nanti. kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya.

Unknown berkata...

Teruskan sahaja pemilihan tersebut. Yang penting calon yang dipilih harus berkebolehan.

Unknown berkata...

Semoga pemilihan akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Anak Sabah berkata...

Diharapkan pemilihan ini berjalan lancar.

Anak Sabah berkata...

Saya pasti mereka ada alasan tersendiri mengapa tidak tangguh pemilihan tersebut, lebih baik kita tunggu keputusan daripada membuat spekulasi buat masa ini.

nickko berkata...

terlalu rumit konflik atau krisis yang berlaku dalam PKR. sudah tentu situasi ini mengundang pelbagai spekulasi yang boleh menjejaskan imej parti secara keseluruhan. sepatutnya mereka telah bersedia menghadapinya lebih awal memandangkan mereka bukan lah parti baru di Malaysia malah terdiri dari ahli2 politik yang berpengalaman.

nickko berkata...

sepatutnya mereka mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan bagi menyelesaikan masalah2 yang timbul terlebih dahulu. beban PKR semakin bertambah jika pemilihan tetap diteruskan dan dalam masa yang sama mereka terpaksa berhadapan dengan pergolakan demi pergolakan dalam PKR.

gambir berkata...

Jangan ditangguh lagi pemilihan ini, teruskan sahaja.

madd berkata...

terpulang kepada PKR bagaimana untuk menyelesaikan semua isu yang timbul.

Tanpa Nama berkata...

kena pastikan tiada lagi kekecohan berlaku dalam pemilihan ini.

Antanum berkata...

Cepat berlansung pemilihan ini maka cepatlah mereka berkhidmat untuk rakyat!