Isnin, 8 November 2010

RM34.84 juta untuk bina jaringan intelektual

FREE MALAYSIA TODAY

uniselPembentangan Bajet 2011 Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor memperuntukan sebanyak RM34.84 juta pada 2011 untuk membina jaringan intelektual bagi menggalak percambahan idea dan ilmu yang boleh memacu kemajuan di negeri ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukan ini bakal digunakan untuk mempertingkat kualiti pembelajaran dan prasarana pendidikan.

Beliau berkata, "sebanyak RM500,000 disediakan kepada Universiti Industri Selangor (UNISEL) untuk penyelidikan berkaitan teknologi hijau.

"Jumlah ini adalah tambahan kepada RM500,000 yang diperuntukkan tahun lalu untuk menggiatkan aktiviti penyelidikan bio-teknologi," katanya ketika pembentangan Bajet 2011 Selangor di sini hari ini.

Universiti milik kerajaan negeri ini kini dalam proses rundingan dengan tiga universiti terkemuka dunia untuk melatih tenaga pengajar UNISEL.

Tiga universiti terbabit, Universiti Cambridge, Universiti Manchester dan Kolej Imperial London juga memeterai perjanjian persefahaman untuk membolehkan pengajian pasca siswazah untuk graduan lulusan UNISEL.

"UNISEL turut menjalin kerjasama dengan Universiti Al-Azhar dalam program pembangunan penyelidikan berkaitan peralatan saintifik untuk produk halal. Tidak ketinggalan, pendidikan rendah dan menengah juga mendapat perhatian kerajaan negeri," katanya.

Prasarana sekolah agama rakyat

Khalid berkata bantuan sebanyak RM6 juta akan disalurkan kepada pembangunan dan penambahbaikan prasarana sekolah-sekolah agama rakyat.

Siasatan kerajaan negeri mendapati sekurang-kurangnya 50,000 pelajar Sekolah Agama Rakyat di Selangor diusahakan oleh badan-badan bukan kerajaan dan individu prihatin dalam suasana pembelajaran yang amat daif.

Khalid berkata ketidakpedulian pentadbiran lampau (ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional) untuk memperkasa pendidikan sekolah-sekolah agama rakyat antara faktor kegelinciran modal insan hari ini.

"Mengapa selama 52 tahun, kebajikan mereka tidak mendapat perhatian kerajaan sedangkan kita sentiasa merintih masalah kejatuhan moral anak-anak muda," kata Khalid.

"Kerajaan hari ini bersedia melabur RM6 juta dalam pembangunan siasah anak-anak Selangor daripada menanggung kos menyelenggara anak-anak rosak akhlak di pusat-pusat serenti yang mungkin melibatkan kos berlipat kali ganda 10 tahun akan datang," terang beliau.

Sekolah aliran Tamil dan sekolah aliran Cina masing-masing disediakan dengan peruntukan RM4 juta dan RM6 juta.

"Ini sejajar dengan janji kita untuk mengembang dan memajukan penggunaan bahasa ibunda, Jawi dan bahasa Arab," jelas Khalid.

Pusat Tuisyen Rakyat

Sebagai langkah susulan, sebanyak RM3.45 juta diperuntukkan untuk memperkasa program Pusat Tuisyen Rakyat yang menawarkan khidmat tuisyen percuma kepada golongan pendapatan RM1,500 ke bawah.

Penyelenggaraan, pembinaan dan penambahan koleksi perpustakaan komuniti dan desa juga diberi perhatian dengan peruntukan sebanyak RM13.84 juta, bagi menghilangkan dahaga ilmu anak-anak muda.

Sebagai insentif kepada para pelajar, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.7 juta lagi untuk program Hadiah Anak Masuk Universiti, berupa insentif RM1,000 kepada anak-anak Selangor yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri melahirkan rasa prihatin dengan peratusan tinggi para pelajar yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi.

Bagi membantu golongan ini, kerajaan negeri mengarahkan Pusat Latihan Vokasional INPENS menyediakan latihan kemahiran tanpa mengira latar-belakang.

"Setakat ini, hampir 600 pelajar berjaya mengikuti program ini dengan jumlah RM2 juta diperlukan bagi melatih 200 pelajar pada satu-satu masa selama enam bulan," jelas Khalid.

Selangor menjadi lokasi pilihan 87 kolej swasta, 13 kolej universiti, empat universiti awam dan 17 universiti swasta.

Tiada ulasan: