Sabtu, 13 November 2010

Rais: Halang liputan media canggah budaya timur, 1 Malaysia

KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan tindakan kerajaan PAS Kedah melarang beberapa media arus perdana daripada membuat liputan dalam sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini sebagai tindakan bertentangan dengan budaya timur dan konsep 1 Malaysia.

“Perbuatan menghalau mana-mana agensi media adalah tidak secocok dengan budaya timur apatah lagi dengan konsep 1 Malaysia.

“Kalau pun tidak senang dengan pelapor atau penulis media, kita tidak perlu gunakan kata-kata kesat atau halau-menghalau.

“Kita memandang berat akan perbuatan ini dan saya akan cuba mendapatkan laporan bagaimana ia berlaku supaya para pelapor dan wartawan berasa khidmat mereka diberi penghalusan dan diterima tidak seperti yang dilaporkan,” katanya ketika ditemui sebelum mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di Angkasapuri di sini.

Semalam kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat keputusan tersebut selepas melahirkan rasa kecewa dan marah dengan laporan media yang didakwa berat sebelah dalam melaporkan mengenai keadaan banjir di negeri itu.

Semalam, Umno Kedah mahu kerajaan negeri menarik kembali larangan terhadap media tertentu daripada membuat liputan sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri mulai Ahad ini.

Sekiranya larangan itu tidak ditarik balik, Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) akan membawa usul pada persidangan itu supaya semua media dibenarkan membuat liputan tanpa sebarang pengecualian.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata larangan berkenaan adalah satu tindakan yang menyekat kebebasan media untuk membuat laporan dan menunjukkan sikap permusuhan kerajaan negeri dengan media tertentu.

Katanya, tidak pernah berlaku sebelum ini media dihalang daripada membuat laporan persidangan Dewan Undangan Negeri.

Larangan kerajaan negeri meliputi TV3, TV9, NTV7, RTM, Astro Awani, Utusan Malaysia, Kosmo, Berita Harian, New Straits Times dan Harian Metro - keputusan yang dibuat atas alasan “putar belit dan berita biadap pihak media terhadap kerajaan negeri”.

Dalam pada itu Rais berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguan hari ini telah meluluskan peruntukan RM130 juta untuk memajukan industri kreatif di negara ini.

Beliau berkata, dasar industri kreatif telah dipersetujui dan diluluskan jemaah menteri di Kabinet pagi tadi.

“Ini bererti masa dan zaman depan yang cemerlang bagi semua yang berkaitan industri kreatif yakni di bawah multimedia, seni budaya dan warisan akan mendapat galakan yang jelas dan terus-menerus dari kerajaan dan pihak swasta.

“Peruntukan RM130 juta yang diperakukan itu telah diluluskan dan semua program yang dipinta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diluluskan,” katanya.

Menurut Rais, dengan peruntukan yang diberikan itu pihaknya akan memastikan pembangunan industri kreatif akan diberikan keutamaan.

“Saya boleh menyatakan beberapa perkara utama iaitu kita akan memupuk tenaga yang baru dalam latihan bagi meneruskan perjuangan industri kreatif ini dengan memberi penegasan dan keutamaan terhadap multimedia dan projek-projek digital.

“Selain itu, bakat diterima sebagai salah satu kriteria utama dalam memikirkan kenaikan pangkat dan juga tentang aspek masa depan modal insan.

“Kita juga akan berinteraksi dengan badan-badan luar negara supaya bidang perfileman dan animasi dapat diperbanyakkan,” katanya.

Selain itu, Rais berkata fokus turut akan diberikan kepada aspek seni budaya dan juga seni visual.

“Seni budaya dan seni visual akan mendapat lonjakan juga oleh kerana silat dan seni mempertahankan diri juga sebagian daripada industri kreatif.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan mana-mana kementerian lain supaya dapat melahirkan lebih banyak aspek pembangunan dalam bidang-bidang seni kreatif,” katanya.

Tiada ulasan: