Rabu, 10 November 2010

Putrajaya tubuh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, dianggotai tujuh pakar

BERNAMA

PUTRAJAYA — Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata selain Dr Wan Mohd Zahid yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), enam lagi pakar akademik turut dilantik menganggotai majlis itu.

Mereka ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; Timbalan Naib Canselor INTI International University, Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid; Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Sidek Baba.

Pengerusi Cempaka International School, Datin Freida Mohd Pilus; Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah dan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Penyelidikan), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud juga dilantik sebagai anggota MPPK, kata Muhyiddin selepas mempengerusikan buat pertama kalinya mesyuarat majlis berkenaan di sini.

Muhyiddin berkata penubuhan majlis itu bertujuan bagi membolehkan beliau selaku

Menteri Pelajaran merujuk majlis itu untuk mendapatkan nasihat berhubung perkara yang berkaitan dengan bidang pendidikan negara.

Katanya, beliau akan merujuk berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan, antaranya meliputi sistem pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah, hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan serta kebolehpasaran.

Selain itu, katanya, ia melibatkan pengurusan pendidikan di samping membuat penilaian terhadap isu-isu pendidikan secara objektif dan mengemukakan strategi serta kaedah penyelesaian yang praktikal dalam menangani isu-isu tersebut.

“Sukacita mereka bersetuju dengan pelantikan ini. Penubuhan majlis ini adalah pertama kali dalam sejarah kerana saya berpendapat proses perkembangan (pendidikan) dalam negara adalah begitu dinamik.

“(Malah) pelbagai perkembangan ini ada hubungkait dengan soal modal insan dan pastinya pendidikan sesuatu yang utama. Kita hendak melihat ke hadapan untuk tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan dasar dan transformasi yang dilakukan kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata tujuh pakar akademik yang dilantik itu adalah untuk tempoh dua tahun dan mereka boleh dilantik semula selepas jangka masa itu dengan persetujuan menteri.

Beliau berpendapat penubuhan majlis itu sangat relevan dan signifikan kerana apa yang hendak dilakukan adalah untuk kepentingan negara.

Katanya majlis itu akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Ditanya sama ada majlis berkenaan akan terlibat dalam merangka dasar kerajaan, Muhyiddin berkata mereka hanya memberikan pandangan dan kerajaan akan menelitinya sebelum dilaksanakan.

Tiada ulasan: