Selasa, 23 November 2010

Projek pembesaran LRT Lembah Klang di peringkat reka bentuk

BERNAMA

123KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memulakan pelaksanaan projek pembesaran laluan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang dengan pelaksanaan projek sambungan LRT Laluan Ampang dan Kelana Jaya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata projek pembesaran itu kini di peringkat akhir reka bentuk terperinci iaitu melebihi 95 peratus yang sudah siap.

"Urusan pengambilan tanah sedang berjalan serentak dengan kerja awalan pengalihan utiliti," katanya pada persidangan Dewan Rakyat Isnin bagi menjawab soalan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai) yang ingin tahu status pelaksanaan projek itu dan manfaatnya kepada rakyat dan daripada segi pulangan ekonomi.

Beliau berkata projek itu membabitkan penyambungan laluan sejauh 17.7 kilometer bagi laluan LRT Ampang yang turut mewujudkan 13 stesen, dan laluan LRT Kelana Jaya sepanjang 17 km dengan 13 stesen.

Abdul Rahim berkata projek itu yang memakan belanja RM7 bilion dijangka dapat disiapkan pada 2013 bagi menampung kapasiti penumpang pada waktu puncak, selain memperbaiki tahap keselesaan penumpang.

Projek itu mewujudkan 2,000 peluang pekerjaaan semasa pembinaan dan 800 lagi selepas beroperasi.

"Kewujudan 26 stesen baru juga akan memberi kesan ekonomi kepada kawasan sekitarnya. Kebiasaannya, 60 peratus kawasan tanah dan pembangunan dalam lingkungan 400 meter dari stesen LRT akan meningkat sebanyak 15 peratus dari segi nilaiannya," kata Abdul Rahim.

Beliau berkata projek pembesaran rangkaian LRT itu akan memberi manfaat yang ketara kepada orang ramai daripada pelbagai aspek termasuk pengurangan masa perjalanan pengguna dengan kurangnya kesesakan lalulintas, pengurangan kos langsung bagi penggunaan pengangkutan persendirian seperti kos bahan api, tayar serta tol dan meningkatkan keselesaan dan taraf hidup orang ramai.

Menurutnya apabila siap projek berkenaan, kedua-dua rangkaian LRT itu bersambung di stesen Putra Heights dan akan membentuk satu rangkaian yang lengkap bagi sistem rel Lembah Klang.

Projek sambungan baru LRT Kelana Jaya itu mampu menambah kapasiti sehingga 98,000 penumpang pada waktu puncak iaitu peningkatan melebihi 300 peratus pada 2012.

LRT sambungan laluan Ampang pula mampu menampung sehingga 79,800 penumpang atau pertambahan sehingga 70 peratus daripada kapasiti ketika ini.


Tiada ulasan: