Jumaat, 12 November 2010

PKR Wilayah gesa badan bebas siasat dakwaan Zaid, Mustaffa

KUALA LUMPUR – PKR Wilayah Persekutuan menggesa ibu pejabat parti itu menubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat dengan segera segala aduan bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan adil dan telus.

Memandangkan kedua-dua Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub - calon jawatan timbalan presiden mendakwa lebih 160 aduan masih belum disiasat, maka parti harus memulakan siasatan, kata Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan Osman Karim ketika dihubungi The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan aduan-aduan itu meliputi pemilihan peringkat bahagian dan mesyuarat agung tahunan cabang.

“Oleh kerana kedua-dua Datuk Zaid dan Mustaffa mengumumkan bahawa banyak aduan yang belum disiasat oleh jawatankuasa pemilihan pusat, maka kami membuat resolusi agar aduan-aduan ini disiasat segera.

“Jadi, kami merasakan kalau betul ada aduan yang pernah dibuat, tetapi tidak disiasat lagi, kami minta agar ditubuhkan satu badan untuk siasatan, dalam parti sendiri,” kata Osman lagi.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas PKR Wilayah Persekutuan di sini, malam tadi.

Menurut Osman, keputusan mesyuarat malam tadi itu akan dikemukakan kepada ibu pejabat esok.

“Proses pemilihan kepimpinan parti 2010 diteruskan, walau bagaimanapun PKR Wilayah Persekutuan mahu parti menubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat segera segala aduan bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan adil dan telus,” kata PKR Wilayah Persekutusan dalam satu kenyataan terlebih dahulu.

Bagaimanapun Osman menolak tanggapan bahawa pendirian yang diputuskan ada kaitan dengan proses pemilihan di Wilayah Persekutuan yang akan berlangsung Sabtu dan Ahad ini.

Wilayah Persekutuan mempunyai kira-kira 25,000 ahli.

“Tidak, tidak. Ia tiada kaitan dengan pemilihan hujung minggu ini. Kami hanya meminta agar diadakan badan siasatan khas bagi menyiasat aduan-aduan lama (didakwa oleh Zaid dan Mustaffa,” katanya lagi.

Selain Zaid, menarik diri daripada saingan jawatan timbalan presiden, seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa mengemukakan memorandum kepada pucuk kepimpinan parti dan jawatankuasa pemilihan pusat agar proses pengundian semasa dibatalkan dan pemilihan baru diadakan.

Zaid merupakan bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menafikan wujudnya kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan.

Osman menambah PKR Wilayah Persekutuan juga memutuskan untuk memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Anwar dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kepemimpinan parti.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga bersetuju agar Dr Idris Ahmad, timbalan kepada Zaid, memikul tugas sebagai pemangku pengerusi Wilayah Persetuan sementara menunggu pelantikan pengganti jawatan tersebut oleh Presiden.

Tiada ulasan: