Sabtu, 20 November 2010

PKR sedia batal keputusan cabang dipertikai, kata Dr Molly Cheah


PETALING JAYA — Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia membatalkan keputusan pemilihan membabitkan cabang-cabang yang dipertikaikan, tetapi menolak gesaan calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub agar proses pengundian yang berbaki dua hari lagi dibatalkan.

“Saya seorang sahaja tidak boleh membuat keputusan penangguhan tetapi kalau ada bukti yang betul, kita hanya boleh membatalkan keputusan kemenangan (cabang-cabang terbabit).

“Saya seorang sahaja yang mendengar aduan mereka, keputusan tidak boleh dibuat melainkan selepas kita melihat secara terperinci,” kata Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah kepada The Malaysian Insider selepas mengadakan pertemuan sejam dengan dua wakil Mustaffa pagi ini.

Ketika ditanya jumlah cabang yang mungkin terlibat, Dr Cheah berkata, beliau sendiri tidak dapat memberi maklumat terperinci.

“Ini kerana saya baru dengar sebelah pihak,” kata beliau lagi.

Kata Dr Cheah juga berkata, JPP juga akan memanggil pengawas-pengawas yang menyelia pemilihan di cabang-cabang yang dipeertikaikan untuk memberi keterangan.

Beliau menambah, laporan hasil pertemuan hari ini akan dibawa ke mesyuarat JPP.

“Saya sendiri akan menghubungi Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) untuk memaklumkan butiran-butiran khususnya tentang cabang Teluk Intan,” katanya.

Bukti berkaitan dengan cabang Teluk Intan turut dibawa oleh wakil Mustaffa hari ini.

Dua wakil itu ialah Ketua Penerangan PKR Perak Dzulkifly Ibrahim dan Yusoff Kamaruddin yang juga pengurus kempen bagi Mustaffa.

Pertemuan itu ekoran Mustaffa sendiri, yang sebelum ini dua kali mendesak penangguhan dan pembatalan proses pemilihan pusat yang didakwanya wujud penyelewengan.

Dr Cheah berkata, pihaknya turut bersedia membuat pengiraan semula undi di beberapa cabang yang dipilih secara rawak sekiranya Dzulkifly dan Yusoff mampu menunjukkan bukti penyelewengan dalam proses pengiraan undi.

Dzulkifly, dalam satu kenyataan media selepas menemui Dr Cheah mendedahkan beberapa bukti terbaru berhubung penyelewengan proses pengiraan undi di cabang Teluk Intan, Sabtu lalu.

“Kiraan petugas untuk calon ke-84 MPP (Majlis Pimpinan Pusat) Nik Mahmood Nik Hassan hanya mendapat satu undi tetapi apabila kita membuat semula kiraan, beliau mendapat 21 undi.

“Begitu juga dengan Noraini @ Ahmad Faidah Saidi, calon MPP ke-85 mendapat dua undi sahaja, tetapi selepas kita buka balik peti dan buat kiraan semula, beliau mendapat 53 undi.

“Calon MPP ke-86 Nordin Mahmood yang begitu popular di Perak pun hanya dapar satu undi, takkan dia dapat satu undi kerana isterinya, emak, anak-anak dan menantunya mengundi dia (Nordin).

“Kalau inilah bukti yang ada di Perak, tidak mustahil ditempat lain pun ada,” tegas Dzulkifly yang juga Ketua PKR Tambun.

Dzulkifly berkata Dr Cheah wajar menangani beberapa aduan lain berhubung kecacatan proses pemilihan di Perak, Kelantan, Selangor dan Sabah.

Di Perak, Setiausaha PKR Pasir Salak Hishamuddin Ali dan Maknor Yahya selaku anggota di cabang itu pada 5 September lalu membantah proses pencalonan Osman Abdul Rahman sebagai ketua cabang kerana status kedua-dua wakil calon Osman dianggap bukan anggota ekoran tidak membayar yuran keahlian.

Pemilihan jawatan cabang itu dimenangi Osman.

Kemenangan Zamsuri Zakaria sebagai timbalan ketua cabang Pasir Salak pada 25 September lalu turut dipersoal kerana beliau telah menghantar surat penarikan diri bertarikh 19 September kepada setiausaha cabang Hishamuddin Ali.

Peranan Fatmawati Salim menjadi ejen pengiraan undi di cabang Gopeng turut diadu kepada JPP kerana beliau adalah calon Majlis Pimpinan Wanita Pusat.

Pencalonan Azman Marjohan sebagai ketua cabang Tanjong Malim turut dipersoal kerana peribadi terbabit bukan lagi anggota parti di cabang terbabit.

Di Kelantan, Intan Rohani Tan selaku salah seorang wakil calon Mustaffa meminta keputusan pengundian cabang Kota Baru dibatalkan ekoran wujudnya unsur pengundi hantu.

The Malaysian Insider difahamkan, jumlah kehadiran ketika pengundian cuma 204 anggota tetapi kertas undi yang didapati dalam peti undi adalah sebanyak 213.

Di Selangor, Dzulkifly mengadu semula insiden kekecohan pemilihan cabang Kota Raja pada 26 September lalu.

The Malaysian Insider difahamkan, insiden tersebut merujuk pada proses pengiraan undi yang kecoh ekoran tindakan kumpulan tertentu rampas kertas undi dan peti undi.

Sebanyak 18 peti undi tersebut dibawa ke ibu pejabat PKR untuk dikira dengan kawalan polis.

Kekecohan itu melibatkan ketua cabang tersebut Dr A. Xavier Jayakumar, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor dan saingannya S. Kottappan dan M. Telaiamblam.

Di Sabah, Anthony Dass Joseph Vandort membangkitkan insiden pengiraan undi di luar pusat pengundian cabang Tenom iaitu di Hotel Cititel Express, Kota Kinabalu yang meragukan.

Lanjutan dari itu, Dzulkifly menuntut beberapa tuntutan segera daripada JPP.

JPP dituntut supaya memanggil kesemua pengadu untuk memberi penjelasan, siasatan segera dibuat lalu diputuskan keputusan siasatan sebelum berlangsungnya Kongres PKR Nasional hujung bulan ini.

Malah, JPP turut digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bebas untuk menyiasat kesemua aduan lanjutan yang diberikan oleh pasukan Mustaffa hari ini.

Kata Dzulkifly lagi, jika aduan berhubung anasir penyelewengan di cabang Pasir Salak dibuktikan benar, JPP wajar mengumumkan semula status Mustaffa yang kalah pada persaingan peringkat cabang sebelum ini bagi merebut jawatan ketua cabang.

Dzulkifly turut menuntut supaya dilakukan pengiraan semula kertas undi bagi semua jawatan tertinggi parti iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua wanita, ketua Angkatan Muda Keadilan dan MPP.

Minggu lepas, Mustaffa ketika menyerahkan memorandum kata dua 48 jam kepada Dr Cheah mendesak supaya proses pemilihan ditangguhkan serta-merta.

Tiada ulasan: