Jumaat, 12 November 2010

PKR mahu bukti timbang memo calon timbalan presiden batal pemilihan

TERKINI

KUALA LUMPUR — Biro Politik PKR yang mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan memorandum kata dua calon timbalan presiden berhubung pemilihan pusat tidak membuat keputusan muktamad atas alasan memerlukan bukti kukuh dan keterangan susulan.

The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berlangsung kira-kira dua jam, memutuskan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pengadu.

Memorandum itu diserahkan oleh Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub — salah seorang calon timbalan presiden — kepada presiden dan pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat Dr Molly Cheah petang kelmarin.

Memorandum itu menggesa parti mengambil tindakan segera dalam 48 jam — tempoh yang akan berakhir petang ini.

Ia menggesa agar proses pemilihan dibatalkan dan digantikan dengan pengundian baru walaupun 87 cabang sudah selesai mengadakan pengundian sepanjang lima hari pertama, sehingga Ahad lalu.

Sehari sebelum itu seorang lagi calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding atas alasan wujud banyak kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Malah Zaid juga melepaskan semua jawatan dalam parti dan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi calon timbalan presiden Azmin Ali keluar parti.

Biro Politik mengadakan mesyuarat mingguan malam tadi tetapi calon-calon yang bertanding pada pemilihan kali ini termasuk Mustaffa sendiri tidak hadir.

Ia hanya dihadiri oleh mereka yang tidak bertanding manakala Dr Wan Azizah sudah menang tanpa cabaran.

Mustaffa dijangka menemui presiden dan pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat petang ini.

“Saya sedang berusaha untuk menemui mereka. Saya akan mengumumkan pendirian susulan saya selepas pertemuan dengan mereka, mungkin petang ini atau pagi esok,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Seorang anggota Biro Politik memberitahu The Malaysian Insider bahawa memorandum yang dikemukakan kelmarin tidak mengandungi bukti yang spesifik untuk memperkukuhkan dakwaan.

“Memorandum beliau tidak menyediakan sebarang bukti. Ia satu memorandum umum,” kata anggota berkenaan yang enggan dikenali.

Dr Cheah, kata sumber, membentangkan laporan beliau kepada angggota-anggota biro itu.

“Dr Molly Cheah akan melihat soal memandangkan kami memerlukan lebih banyak bukti.

“Kami tidak boleh bertindak hanya berdasarkan pada memorandum,” kata sumber itu.

Sebagai contoh kata sumber itu, berhubung dakwaan politik wang memorandum itu tidak menyenaraikan bahagian-bahagian yang terlibat.

Oleh itu kata beliau, mesyuarat semalam tidak membincangkan keperluan mengadakan pemilihan baru.

“Melainkan Mustaffa datang dengan bukti dan jawatankuasa pemilihan pusat mungkin akan mempertimbangkan,” katanya lagi.

Dr Cheah juga mengesahkan akan bertemu dengan Mustaffa hari ini tetapi enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak akan mengatakan apa-apa sehingga selepas saya menemui beliau,” kata Dr Cheah.

Sementara itu, Mustaffa dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini berkata, beliau membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah disiarkan oleh Berita Harian semalam.

Laporan itu di bawah tajuk “Anwar, Azmin tak tunduk desakan keluar parti” pada muka empat keluaran semalam, Berita Harian telah menyiarkan gambar Mustaffa bersama Zaid dengan caption yang tertulis “Mustaffa Kamil (kiri) dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Azmin supaya berundur pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam”.

“Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, memorandum yang saya hantar pada 9 November (kelmarin) tersebut adalah untuk meminta pembatalan dan penjalanan semula Pemilihan Kepimpinan PKR 2010 dan kandungannya diketahui oleh Datuk Seri Anwar dan Dr Wan Azizah.

“Sidang media memaklumkan penyerahan memorandum mengenai JPP dihadiri oleh Datuk Zaid dan setelah selesai, saya meninggalkan sidang, yang kemudian diteruskan oleh Datuk Zaid tanpa kehadiran saya,” kata Mustaffa.

Mustaffa juga berkata, sokongan penuh beliau kepada Anwar dan Dr Wan Azizah tidak pernah berubah.

“Pendirian tersebut memang sedia diakui oleh kebanyakan ahli parti berdasarkan rekod saya yang sentiasa konsisten mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang 12 tahun saya terlibat dalam perjuangan reformasi.

“Saya percaya bahawa PKR, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya amat memerlukan kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai tokoh pembaharuan yang mampu membawa perubahan besar kepada negara.

“Memorandum yang saya hantar dua hari lalu adalah berdasarkan rintihan suara akar umbi yang terbabit dengan proses pemilihan parti dan memfokuskan kepada masalah dan kepincangan di sekitar perjalanan pemilihan Kepimpinan 2010 yang dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan pusat,” katanya.

Malah kata Mustaffa, Anwar dan Dr Wan Azizah telah menyambut baik dan akan mempertimbangkan kandungan memorandum tersebut berdasarkan jaminannya yang beliau terima dalam pertemuan dengan kedua-dua pemimpin tersebut pada hari yang sama.

“Saya memberi amaran agar jangan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyelewengkan fakta dan menabur fitnah dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Anwar, saya sendiri dan pemimpin-pemimpin parti yang lain.

“Saya dengan ini menuntut supaya Berita Harian memohon maaf secara terbuka dan membuat pembetulan atas laporan tersebut dalam tempoh 24 jam.

“Sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, saya terpaksa mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran,” katanya.

12 ulasan:

mantra berkata...

kena pstikan tiada penyelewangan dalam pemilihan ini. jika terdapat penyelewangan, lebih baik, pemilihan dilakukan semula.

samm berkata...

jika PKR gagal menyelesaikan masalah yang berlaku tidak mustahil parti ini akan menjadi semakin lemah kelak.

Hamdan Hadillah berkata...

Bertandinglah dengan cara yang bersih dan adil..Anwar faham jugakan maksud ini.

Unknown berkata...

kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalaman PKR. Hanya parti dan ahli-ahlinya saja yang tahu apa masalah besar yang brelaku di dalam PKR tersebut.

Anak Sabah berkata...

Diharapkan perkara ini boleh ditangani sebaik mungkin, selamat berjuang.

Anak Sabah berkata...

Buat masa ini, baik kita tunggu dan lihat.

nickko berkata...

sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu yang berkaitan dengan pemilihan cabang PKR. semakin banyak pendedahan negatif berhubung dengan isu ini, semakin hilang kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan parti.

nickko berkata...

selesaikan apa juga krisis dan kekeliruan yang berlaku dalam PKR secepat mungkin. rakyat akan melihat serta mempertimbangkan kecekapan pemimpin2 PKR mengatasi setiap masalah yang timbul dalam parti sebagai kecekapan kepimpinan PKR dalam mengurus hal2 yang berlaku dalam dan luar negara.

madd berkata...

Pemimpin PKR perlulah memastikan proses pemilihan berlangsung dengan adil dan telus. jangan biarkan ada pihak yang tidak berpuas hati. setiap aduan perlu diambil perhatian.

Tanpa Nama berkata...

kena pastikan tiada lagi kekecohan berlaku dalam pemilihan ini.

Unknown berkata...

Jika benar2 mahu menimbulkan impak yang mendalam terhadap dunia politik negara, bertandinglah secara adil dan bersih dari segala rasuah.

Antanum berkata...

Walau apapun itu, penyelesaian terhadap masalah ini harus diselesaikan secepat mungkin!