Isnin, 15 November 2010

PKR dakwa Umno terdesak, tak rasa malu kerana terus ajak PAS


PETALING JAYA – PKR menolak dakwaan bahawa parti itu membebankan PAS dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya menyifatkan Umno sebagai “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” apabila terus-menerus mengajak parti Islam itu agar bersamanya dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar), tindakan Umno itu jelas menunjukkan mereka terdesak kerana sudah mula kehilangan kepercayaan rakyat, yang kini lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP.

“PAS sudah tutup kerjasama dengan Umno, tapi Umno secara terang masih lagi ajak PAS untuk menyertai BN.

“Umno macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. PAS sudah lama menutup kerjasama perpaduan antara Umno dan PAS.

“Ini jelas menunjukkan betapa terdesaknya Umno untuk mendapatkan sokongan PAS. Lagipun kepimpinan PAS telah bersepakat untuk tutup isu kerjasama perpaduan dengan Umno,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini petang ini.

Malah, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kerjasama antara semua parti komponen Pakatan Rakyat begitu kuat kerana masing-masing berpegang pada prinsip yang sama.

“PAS dah tolak, Umno masih lagi nak minang PAS, jadi saya minta supaya Umno tidak lagi mengajak PAS untuk menyertai BN.

“Sekarang terbukti PAS lebih baik bersama Pakatan Rakyat, kerjasama PAS, PKR dan DAP berpegang kepada prinsip.

“Kerjasama yang berterusan ini kuat dan kita akan sentiasa berusaha untuk memperkukuhkannya,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan terus mengajak PAS agar bersama parti teras BN itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah Umno juga mendakwa kedudukan PAS akan lebih baik jika komponen Pakatan Rakyat itu bersama BN daripada terus berganding dengan PKR dan DAP.

“PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

“PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS,” kata Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kelmarin Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.

“Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.

“Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.

“Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga,” kata beliau.

Saifuddin juga menyokong tindakan PAS yang menggunakan strategi “PAS Sedia Ganti Umno” kerana berpendapat parti Islam itu layak untuk bersaing seterusnya menggantikan Umno sebagai sebuah parti Melayu.

“Ini adalah strategi terbaru yang digunakan PAS, sebagai sebuah parti Melayu dan Islam PAS boleh menggantikan Umno yang juga parti memperjuangkan orang Melayu.

“Justeru saya melihat dalam landskap politik sekarang, PAS boleh menggantikan Umno,” katanya.

16 ulasan:

Bhatera berkata...

PAS dan UMNO??Kerana masalah ini pun mahu jadi kecoh. Kalau macam itu baguslah PAS dan UMNO berkerjasama. Lagi bagus, bersatu juga nanti rakyat malayu.

nickko berkata...

bila Datuk Ahmad Maslan membuat kenyataan mengajak PAS bersama2 BN didalam mentadbir negara, sepatutnya pemimpin2 PAS lah yang lebih layak membuat kenyataan balas. tetapi yang peliknya, Setiausaha Agung PKR si Saifuddin Nasution pulak yang sibuk lebih2. kenapa Saifuddin pulak yang melompat bila Ketua Penerangan UMNO tersebut mempelawa PAS menyertai BN? Saifuddin ni mungkin cemburu bila UMNO hanya menekankan perpaduan dengan parti PAS sahaja dan tak langsung pandang sebelah mata pada PKR. yang sebenarnya, beliau pun mahu kembali kepada UMNO..tapi tiada yang sudi mempelawa beliau..

nickko berkata...

tidak perlulah Saifuddin melabelkan tindakan UMNO ini sebagai terdesak. sebenarnya, tanpa PAS sekalipun, UMNO masih mampu memerintah negara dibawah gabungan BN. dan memang selama ini pun UMNO berjaya memartabatkan melayu walaupun tanpa PAS didalam BN. tujuan pemimpin2 didalam UMNO ini mempelawa PAS menyertai mereka adalah untuk memperkasakan Islam dan menyatupadukan bangsa melayu didalam negara ini. Pemimpin2 UMNO sedar bahawa PAS kini sedang dipergunakan oleh DAP dan PKR bagi menjahanamkan negara, menjatuhkan bangsa dan juga mencemarkan Islam. Sebab itulah pelbagai usaha digunakan untuk menyedarkan PAS daripada terus diperkudakan oleh PKR dan DAP.

madd berkata...

terpulang kepada PAS untuk menerima pelawaan atau tidak. Saifuddin Nasution tidak perlulah mengulas tentang pekara ini kerana beliau bukan ahli PAS pun.

mandau berkata...

lebih baik PAs bekerjasama dgn UMNO daripada bekerjasama dengan PKR. jika PAS dan UMNO bekerjasama, ia boleh menyatukan perpaduan Melayu.

Antanum berkata...

Bukan terdesak cuma iginkan penyatuan dan berjuang bersama..itupun jika dapat diterima.

Unknown berkata...

Hairan aku. Kenapa pula Saifuddin pula yang busy body pula dengan hal UMNO. Kalau UMNo hendak ajak PAS. Itu hal UMNO dengan PAS dan bukan PKR. Daripada PKR menyibuk, baik fokus untuk mencari penyelesaian kepada masalah dalaman mereka.

Anak Sabah berkata...

Sebaiknya semua parti mencerminkan diri dahulu sebelum menkritik para pesaing.

Tanpa Nama berkata...

PAS dan UMNO ni sebenarnya lebih sesuai bekerjasama.

samm berkata...

PAS yang dipelawa tetapi PKR pula yang menjawab. ini menunjukkan PKR yang terdesak..

mike berkata...

mungkin adalah lebih baik jika PAS tidak bersama-sama BN..

mike berkata...

ini adalah kerana adalah mustahil bagi PAS untuk melupakan hasrat dan matlamat politik mereka..PAS tidak mungkin akan menjalinkan kerjasama dengan parti2 komponen BN yang berteraskan kaum seperti MCA dan MIC..

mike berkata...

jika PAS menyertai BN, mungkin akan berlaku pengeseran yang mana seterusnya akan menyebabkan ketidakstabilan dalam BN..apa pun, ianya terpulang kepada kepimpinan parti..

mike berkata...

jika hendak melayu bersatu maka harus diketepikan ideologi politik..adakah ianya dapat dilakukan?

Paquin berkata...

Hairan.. kenapalah suka sangat menunding jari/ cakap itu ini pada pihak lain??? huhuhu

Paquin berkata...

Bagi saya pula, OK juga kalau dapat bersama-sama... Mana tau hal ni dapat memudahkan matlamat utk memajukan negara dan menjaga kebajikan rakyat lebih mudah dicapai.. naa, kan bagus mcm tu. hehhe