Rabu, 17 November 2010

Peguam mati dibunuh empat lelaki bertopeng

BERNAMA


Seorang peguam dibunuh selepas diserang empat lelaki masing-masing bersenjatakan sebilah pisau di rumahnya di Desa Rishah, di Ipoh, petang semalam.

G Balasunderam, 57, yang mengalami cedera parah, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada pukul 9 malam akibat pendarahan yang banyak.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata kejadian berlaku pada 6 petang semalam ketika mangsa baru pulang ke rumah dari pejabatnya di Ipoh.

"Semasa mangsa keluar dari keretanya, empat lelaki masing-masing bersenjatakan pisau telah menyerang menyebabkan mangsa jatuh dan mengalami cedera parah di seluruh badan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata keempat-empat lelaki berkenaan kemudian melarikan diri dengan menunggang dua motosikal.

Isteri mangsa L Puspha, 48 yang berada di rumah ketika itu, terkejut melihat kejadian dan segera membawa suaminya ke hospital, katanya.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen di talian 05-2451222 untuk membantu siasatan.


Tiada ulasan: