Jumaat, 26 November 2010

Peguam dakwa tertuduh kes enjin TUDM diculik pegawai tentera

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


SHAH ALAM — Peguam bekas sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N. Tharmendran mendakwa anak guamnya itu “diculik” oleh sekumpulan pegawai sayap Angkatan Tentera Malaysia itu di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, N Surendran berkata beliau yakin tindakan pegawai-pegawai itu bertujuan menghalang Tharmendran daripada mendedahkan butiran mengenai skandal kehilangan enjin dua jet TUDM yang dilapor hilang dan kemudian didakwa dicuri.

“Sekumpulan kira-kira 10 pegawai TUDM diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Razif Razak menahan Tharmendran di pekarangan mahkamah kira-kira 11 pagi tadi ketika dia dan bapanya menuju ke kereta selepas keluar bilik mahkamah,” kata beliau.

Kata Surendran (gambar) walaupun beliau memprotes tindakan itu tetapi Razif mendakwa Tharmendran ditahan kerana tidak datang untuk lapor diri tugas.

“Saya memberitahu mereka bahawa dokumen menunjukkan Tharmendran bukan lagi staf TUDM, dokumen menunjukakn dia bukan kakitangan TUDM sejak 28 Mei lalu.

“Tetapi mereka tidak kisah, dan mahu menahan dia di Kem Tahanan Tentera,” kata beliau.

Surendran berkata beliau akan memfailkan habeas corpus petang ini bagi membebaskan anak guamannya dan juga perintah hina mahkamah ke atas Razif dan TUDM.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini, Kementerian Pertahanan berkata Tharmendran, yang menghadapi tuduhan mencuri dua enjin pesawat F5-E, hari ini ditahan semula oleh TUDM atas kesalahan meninggalkan tugas.

Tangkapan dibuat oleh lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM di pekarangan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah di sini pada 12 tengah hari ini selepas Tharmendran menghadiri pendengaran permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, kegagalan Tharmendran untuk hadir bertugas setelah membayar jaminan pada 6 September lepas sehingga ke hari ini merupakan satu kesalahan meninggalkan tugas yang bertentangan dengan peruntukan Akta Tentera 1972.

Tharmendran masih lagi berada dalam perkhidmatan TUDM, kata unit itu dalam satu kenyataan hari ini.

TUDM menyatakan bahawa Tharmendran ditahan semula atas kesalahan meninggalkan tugas. – Foto Bernama
Pada 6 Januari lepas, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5-E jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan berlaku kekecohan apabila Tharmendran yang hadir di mahkamah bersama bapanya cuba mengundurkan keretanya tetapi dihalang dari belakang oleh sebuah kenderaan SUV dan van milik TUDM kira-kira pukul 11.45 pagi.

Mohd Razif, provos marsyal TUDM kemudian memaklumkan kepada Tharmendran bahawa beliau ditahan atas kesalahan meninggalkan tugas dan memintanya supaya turun dari kereta.

Bagiamanpun, Tharmendran memberitahu bahawa dia ingin menghubungi peguamnya terlebih dahulu dan beberapa minit kemudian Surendran tiba dan mempersoalkan tindakan Mohd Razif menahan anak guamnya.

“Ini adalah penangkapan tidak sah dan satu penyalahgunaan kuasa. Kenapa anda tidak jumpa saya semasa di mahkamah tadi? Anda sepatutnya bertindak dengan cara yang betul kerana anak guam saya tidak lagi bertugas dengan TUDM dan anda tidak lagi membayar gajinya,” kata Surendran.

“Saya hanya menjalankan tugas untuk menahan Tharmendran dan saya akan membawanya sekarang. Anda tidak perlu bimbang kerana anda masih boleh berjumpa dengan anak guam anda. Tolong jangan halang saya,” kata Mohd Razif.

Kenyataannya itu menyebabkan Surendran tidak puas hati dan menuduh Mohd Razif mengugutnya sehingga berlaku pertikaman lidah antara mereka berdua yang disaksikan oleh pihak media.

Tharmendran juga dilihat memberitahu Mohd Razif bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu dan Mohd Razif berkata beliau telah diarahkan untuk menahannya.

Situasi tegang kira-kira 15 minit itu berakhir apabila Mohd Razif memberi jaminan kepada Surendran bahawa beliau masih boleh berhubung dengan anak guamnya setiap masa dan memaklumkan bahawa mereka akan membawa Tharmendran ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ke kem tahanan Pangkalan Udara di Batu Kantomen, Kuala Lumpur.

Ketika Mohd Razif mengeluarkan gari untuk menggari tangan Tharmendran, Surendran sekali lagi mempersoalkannya dan Mohd Razif kemudian memaklumkan bahawa itu adalah arahan dari pihak hospital.

“Bagaimana hospital boleh keluarkan arahan untuk menggari?” soal Surendran dan Mohd Razif menjawab: “Saya hanya menjalankan tugas. Walaupun saya tidak gari tangannya sekarang tetapi apabila tiba di hospital nanti dia masih akan digari.”

Tharmendran kemudian diiringi masuk ke dalam van TUDM tanpa tangannya bergari dan dibawa pergi kira-kira pukul 12 tengah hari.

Sebelum itu, dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad menetapkan 17 Dis ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan Tharmendran bagi menggugurkan pertuduhan ke atasnya selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Surendran dalam hujahannya antara lain mempersoalkan mengapa hanya anak guamnya sahaja yang didakwa sedangkan pesalah utama dalam kes itu (Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop) tidak didakwa.

Beliau turut mempersoalkan kelewatan anak guamnya didakwa iaitu enam bulan selepas dia ditahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof pula berhujah bahawa tiada kelewatan dalam mengenakan dakwaan ke atas Tharmendran kerana dia ditahan pada Jun 2009 dan dituduh pada 6 Januari lepas.

“Mengenai pesalah utama tidak dituduh, walaupun tidak dituduh ia tidak menyebabkan prosiding jenayah menjadi mala fide dan ia bukan satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Pada 6 Januari lepas, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: