Sabtu, 27 November 2010

Nota klinikal Majlis Peguam dakwa mahkamah tidak adil

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR - Majlis Peguam Malaysia menganggap keengganan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat akses dokumen dalam kes perbicaraan Fitnah II, melanggar hak beliau mendapat perbicaraan yang adil.

Mahkamah sebelum ini menghalang pasukan guaman Anwar meneliti tiga nota klinikal doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun sebelum ini, mahkamah hanya membenarkan Anwar mendapatkan laporan proforma yang disediakan oleh pakar patologi Hospital Besar Kuala Lumpu (HKL), Dr Siew Shueue Feng.

Laporan proforma ialah satu borang atau senarai yang disediakan oleh doktor sebelum melakukan pemeriksaan terhadap seseorang pesakit.

Januari lalu, Mahkamah Persekutuan juga menghalang akses Anwar kepada beberapa dokumen penting bagi membantu pembelaannya dan menetapkan bahawa Anwar hanya dibenarkan meneliti dokumen dan material yang diberikan kepada beliau sebelum ini.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan dalam kenyataan semalam menganggap keputusan mahkamah itu sebagai regresif dan tidak mencerminkan hak perbicaraan yang adil kepada pesalah.

“Mereka (mahkamah) telah ‘melemahkan’ prinsip penting ini, menjadikannya tidak bermakna dan menghalang seseorang tertuduh hak perbicaraan adil,” kata beliau merujuk kepada seksyen 51 A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) yang merangkumi hak mendapatkan dokumen dan maklumat dalam perbicaraan.

Ragunath juga menerangkan seksyen ini dibuat bertujuan mengurangkan ketidakseimbangan antara pasukan pendakwaan dan pembelaan.

“Kami percaya seksyen 51 A KPJ ini dibuat bagi memperkembang dan memperkuat prinsip pengawalan terbitan dokuman dan kerajaan menzahirkan niat mereka untuk menambah ketelusan dan keadilan dalam sistem pengadilan jenayah negara ini,” kata beliau.

Antara dokumen yang dihalang oleh Mahkamah untuk Anwar ialah laporan ahli kimia, nota-nota perubatan, rakaman CCTV, sampel DNA, kenyataan saksi dan senarai saksi.

Ragunath menyatakan bahawa amat penting bagi pasukan pendakwaan untuk memberikan informasi kepada semua pihak terbabit agar hakim boleh membuat keputusan yang adil dan tidak bias.

“Adalah tanggungjawab semua pihak termasuk hakim untuk memastikan pihak pendakwaan mematuhi seksyen ini dan memberi maklumat kepada pihak terbabit dan menunjukkannya di Mahkamah,” kata beliau.

Ragunath mendakwa keengganan mendedahkan dokumen atau maklumat akan menjejaskan persepsi awam terhadap sistem pengadilan jenayah negara ini.

Anwar, Ketua Umum Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) kini sedang menghadapi tuduhan Fitnah II dalam hidupnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri ini dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01pm dan 4.30pm pada 26 Jun 2008.

Anwar menyanggah tuduhan ini dan menganggap ia sebagai fitnah daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang bakal membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan jika disabit kesalahan.

Anwar kini merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

“Majlis Peguam Malaysia mendesak mahkamah melaksanakan seksyen ini bagi mengekalkan hak seseorang yang tertuduh dan bagi menegakkan keadilan. Perkara ini bukan saja relevan dalam kes Anwar tetapi juga berkaitan seluruh sistem pengadilan jenayah, ” kata Ragunath lagi.

Tiada ulasan: