Ahad, 14 November 2010

Naib presiden PBB mungkin letak jawatan

MALAYSIA KINI


Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Daud Abdul Rahman akhirnya bercakap tentang masa depan politiknya dan keadaan kesihatannya yang menjadi bahan spekulasi di Sarawak sejak bulan lalu.

Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) berkata bahawa sekiranya pilihan raya negeri diadakan tahun ini, beliau mungkin meletak jawatan ekoran kesihatanya di mana beliau dinasihat supaya berehat sehingga akhir tahun ini, lapor Bernama.

"Jika pilihan raya negeri diadakan tahun depan, insya-Allah saya fikir saya akan teruskan tetapi keputusan akhir akan saya biarkan presiden parti dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk membuat keputusan," beliau dipetik berkata kepada pemberita di Kuching hari ini

Beliau berkata beliau akan menerima sebarang keputusan yang dibuat presiden parti demi kepentingan parti dan rakyat, lapor agensi berita nasional itu.

Daud, 59, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Tupong sejak 1991 diserang strok ringan enam minggu lalu dan ekoran itu doktor menasihatinya supaya berehat.

"Serangan strok menjejaskan penglihatan saya. Kini saya pulih sepenuhnya tetapi saya memerlukan rehat,' katanya dan menambah beliau diberi cuti sakit sehingga Isnin ini.

Tiada ulasan: