Jumaat, 5 November 2010

Mustaffa gesa proses pemilihan PKR ditangguh

FREE MALAYSIA TODAY

mussPETALING JAYA: Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub menggesa proses pemilihan parti ditangguhkan sementara sehingga segala kelemahan yang timbul diperbaiki bagi mengelak ianya berulang pada pemilihan akan datang.

Beliau berkata, "ketelusan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) terus dipertikaikan pelbagai pihak dengan beberapa insiden, salah laku, kaedah pengendalian tidak profesional dan sikap berat sebelah.

"Ini termasuk soal jumlah undi yang diumumkan tidak konsisten terutamanya keputusan yang melibatkan kedudukan Jawatan Timbalan Presiden," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dalam sidang media pada 1 November lalu mengakui wujudnya kesilapan ‘teknikal’ daripada pihak JPP berhubung keputusan undi khususnya membabitkan persaingan jawatan Timbalan Presiden membabitkan Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

Mustaffa, juga calon Timbalan Presiden, mendakwa pihaknya pernah menyuarakan bantahan membabitkan proses pencalonan dan pemilihan cabang sebelum ini terhadap JPP namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil oleh jawatankuasa terbabit.

Bantahan itu dipercayai membabitkan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) apabila Mustaffa menerima tamparan hebat berikutan kegagalannya merebut jawatan Ketua Cabang Pasir Salak dan tewas ditangan bekas pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Osman Abdul Rahman dengan perbezaan 17 undi.

Dalam pemilihan 25 September lalu, Osman berjaya memungut 111 undi manakala Mustaffa 99 undi.

Berikutan itu Mustaffa berkata pihaknya telah menyiapkan satu memorandum cadangan bagi menambahbaik JPP untuk diserahkan kepada Presiden PKR dan Pengerusi JPP Dr Molly Cheah.

Namun beliau menegaskan tindakannya itu adalah hanya demi kebaikan dan menjaga kepentingan parti.

"Kita tidak mahu anggota parti sendiri ditipu dan dizalimi oleh kerana kepentingan pihak tertentu seperti mana apa yang kita perjuangkan untuk memberi keadilan untuk semua.

"Suara anggota akar umbi mestilah dikembalikan dalam keadilan," katanya.

Tiada ulasan: