Sabtu, 13 November 2010

Motor beroda empat tidak boleh dipandu tanpa didaftar: Saharul

KENINGAU KINI

KENINGAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Keningau berkata, motor beroda empat dikategorikan sebagai traktor ringan dan tidak boleh dipandu di atas jalan, jika tidak berdaftar dengan jabatan itu.

Pegawai jabatan itu, Saharul Nizam memberitahu, pemandu kenderaan itu harus memiliki lesen kelas ‘F’.

“Kenderaan itu perlu memiliki nombor pendaftaran seperti motosikal serta kereta,” katanya sebagai mengulas rungutan orang ramai yang mendakwa kenderaan tersebut menerbitkan bunyi yang terlalu bising.

Beberapa kes di Keningau, kenderaan itu diubahsuai dan dipandu di atas jalan oleh kalangan remaja.

Kenderaan tersebut pada lazimnya hanya digunakan untuk aktiviti sukan, selain kegunaan pengusaha-pengusaha ladang.

Menurut Saharul, pembelian kenderaan itu memerlukan ‘AP’ permit tetapi apa yang berlaku di Keningau, motosikal beroda empat itu kebanyakannya diperolehi tanpa mengikut saluran yang betul.

“Sebab itu kenderaan itu tidak boleh didaftarkan di sini, kerana JPJ memerlukan dokumen,” katanya dan menjelaskan, motosikal beroda empat yang berada di Keningau tidak memiliki AP.

Katanya, apabila kenderaan itu tidak boleh didaftarkan di JPJ, maka pemanduan di atas jalan adalah haram.

“Anda boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tambahnya.

Saharul ditemui di Majlis Dailog bersama AJK Komuniti Policing, Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi – Pengerusi JKKK, Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua anak Negeri di sini pada semalam.

Menjawab satu soalan, Saharul berkata tidak ada larangan untuk membeli kenderaan tersebut, tetapi seharusnya pemilikan itu secara sah.

Kepada soalan mengenai pengusaha kereta sapu yang tidak memiliki lesen memandu, Saharul menjawab;

“Operasi mengenai masalah itu sedang dibuat dan dilakukan secara berterusan.”

Beliau menasihatkan kepada Pengerusi JKKK atau Ketua-Ketua Kampung di daerah ini supaya melaporkan kepada JPJ, jika mendapati sesiapa di kawasan jajahan mereka yang memandu tanpa lesen.

“Saya menunggu laporan daripada anda,” katanya.

Tiada ulasan: