Khamis, 11 November 2010

Mesyuarat AJK PAS Pusat 14 Nov dipindah

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadualkan diadakan di tingkat 5 bangunan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, 14 November ini dipindahkan ke tempat lain.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali menjelaskan, perubahan tempat mesyuarat tersebut terpaksa dilakukan kerana lif di bangunan pejabat itu tidak dapat digunakan, ekoran kebakaran yang berlaku di tingkat 1 pada 4 November lalu dan kerja-kerja pembaikan yang sedang berjalan sekarang.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut tetap akan diadakan juga pada 14 November ini, tetapi di tempat lain yang masih belum ditentukan dan akan dimaklumkan kemudian oleh pihaknya kepada AJK-AJK terbabit.

Bangunan Pejabat Agung PAS itu mula beroperasi pada tahun 2007. Bangunan itu menempatkan pejabat pentadbiran yang terletak di tingkat 1, surau di tingkat mezzanine, kedai serbaneka di tingkat bawah serta bilik mesyuarat utama di tingkat 5.

Tingkat 1 bangunan tersebut yang menempatkan bahagian pentadbiran mengalami kebakaran kecil 4 November lalu yang berpunca dari kabel elektrik masuk.

Pada sidang media dalamannya semalan, Mustaffa menjelaskan, operasi pentadbiran Pejabat Agung PAS dibekukan sehingga dua minggu sementara selesai kerja-kerja pembaikan yang bermula semalam.

“Kerosakan yang berlaku akibat kebakaran itu bukan major, tetapi kerja-kerja pembaikan mengambil masa agak lama sehingga paling kurang sehingga Raya Korban.

“Oleh itu, kakitangan Pejabat Agung PAS tidak diarahkan bekerja macam biasa. Mereka dikira bercuti dan on call jika ada keperluan-keperluan tertentu sepanjang tempoh pembaikan itu berlaku,” katanya.

Menurut beliau, untuk urusan harian di Pejabat Agung, kakitangan tidak perlu datang ke pejabat nacam biasa, tetapi menunggu maklumat baru yang akan dibuat oleh pihaknya apabila kerja-kerja pembaikan itu telah selesai dijalankan.

Sepanjang tempoh percutian itu, pihak-pihak yang ingin berurusan dengan kakitangan-kakitangan terbabit bagi menyelesaikan sebarang urusan boleh terus berhubung dengan individu berkenaan dengan menggunakan telefon bimbit.

Tiada ulasan: