Isnin, 8 November 2010

Menaik Taraf Kemudahan Awam Di Kampung

SELANGOR KINI

SABAK BERNAM – Kawasan perkampungan Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam mengalami perubahan ketara dari segi pembangunan sejak dua tahun kebelakangan ini apabila Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata antara projek pembangunan yang dijalankan di kawasan itu adalah pembinaan sebuah balai raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, (JKKK) dan dua laluan ‘catwalk’ konkrit berjumlah RM274,000.

“Kerajaan negeri telah meluluskan beberapa projek pembangunan dan penaiktarafan kemudahan infrastruktur di perkampungan Bagan Nakhoda Omar yang selama ini serba kekurangan dan ketinggalan,” kata Ean Yong Hian Wah.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga melalui jawatankuasa tetap pembangunan kampung baru telah meluluskan dua lagi projek kecil menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk menaik taraf serta membina infra di situ mencecah hingga RM300,000.

“Semua kemudahan yang diberikan itu adalah tanda keprihatinan kerajaan negeri yang mengutamakan kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemu pemberita selepas majlis perasmian Balai Raya JKKK Bagan Nakhoda Omar.

Tiada ulasan: