Ahad, 7 November 2010

MCA pertikai sekolah rotan murid bukan Islam bawa makanan tak halal

KUALA LUMPUR — MCA menggesa Kementerian Pelajaran bertindak tegas ke atas sebuah sekolah rendah di Sarawak yang didakwa menguatkuasakan dasar makanan halal, mendakwa tindakan itu bercanggah dengan hak pelajar-pelajar bukan Islam.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar ini berkata guru-guru sekolah awam tiada hak untuk mengenakan nilai agama mereka ke atas murid lain.

Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua Biro Publisiti MCA Loh Seng Kok (gambar) dengan merujuk kepada insiden membabitkan pelajar Basil Baginda yang dirotan 10 kali di tangan oleh penolong kanan Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuching kerana membawa bekalan nasi berlauk sosej khinzir ke sekolah 15 Oktober lalu.

Ibunya Angela Jabing membawa isu berkenaan ke perhatian media selepas gagal memperoleh penjelasan memuaskan daripada pentadbiran sekolah.

Pada sidang media di Kuching minggu lalu, Angela dipetik berkata penolong kanan terbabit pada pertemuan 19 Oktober lalumemberitahunya bahawa beliau tidak boleh ingat insiden itu lalu meminta agar tidak membesar-besarkan isu itu atas alasan terlalu sensitif.

“Jika tuduhan itu betul, tindakan harus diambil terhadap penolong kanan dan pengetua sekolah terbabit,” kata Loh dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tegasnya lagi, pengetua sekolah dan penolong kanan terbabit turut didesak supaya meminta maaf kepada pelajar dan Angela.

Ini kerana, kata beliau, pelajar yang berusia 10 tahun itu mengalami trauma akibat layanan tidak adil tersebut.

Kata Loh, tindakan penolong kanan terbabit memberi amaran kepada waris pelajar supaya tidak membesar-besarkan insiden tersebut turut dipertikai.

Penolong kanan terbabit memberi amaran kepada waris agar jangan membesar-besarkan hal kerana ini isu yang cukup sensitif di kalangan orang Islam, kata Loh memetik laporan portal berita semalam.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa MCA pusat berkata, sekiranya pelajar bukan Islam membawa makanan tidak halal ke sekolah dianggap sebagai sensitif, pihak berwajib sepatut menghalang juga pelajar membawa daging lembu kerana ia dianggap menyentuh sensitiviti penganut Hindu dan Buddha.

Untuk menghormati semua sensitiviti agama, Loh berkata, daging ayam pun sepatutnya dilarang dan digantikan dengan makanan berasaskan sayur-sayuran demi menghormati penganut Buddha.

“Ini hanya akan mengakibatkan situasi kecoh,” ujar beliau menyindir cara pihak sekolah berdepan dengan budaya makanan pelajar-pelajar bukan Islam.

Sepatutnya isu yang melibatkan hak masyarakat bukan Islam, kata Loh, tidak wajar dianggap sensitif dan disembunyikan begitu sahaja.

Ini kerana katanya, guru tidak boleh sewenang-wenangnya memaksa nilai-nilai agama mereka ke atas pelajar bukan Islam.

Bahkan jika pengumuman melarang pelajar membawa makanan tidak halal ke sekolah dibuat sekalipun, pihak sekolah tidak boleh beranggapan bahawa setiap murid hadir pada hari itu atau memahami arahan.

“Pengumuman itu harus diikuti dengan surat edaran bertulis kepada waris,” nasihat Loh.

Oleh itu kata Loh, beliau berharap pihak berwajib memelihara aspek kepelbagaian kaum yang menjadi identiti sekolah tersebut, yang juga terkenal di bandar Kuching.

Tiada ulasan: