Rabu, 10 November 2010

MB: Hanya Sokong Pembangunan ‘The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley’

Oleh Hafizan Taib

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya menyokong projek pembangunan Lembah Kelang menerusi projek ‘The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley’ (TGKLKV), bukannya pembinaan bangunan 100 tingkat Menara Warisan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Malah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu mencadangkan satu perbahasan diadakan bagi mendapat pandangan pelbagai pihak berhubung kewajaran pembinaan bangunan bernilai RM5 juta itu manakala PNB perlu menjelaskan sumber pembiayaan projek berkenaan.

Menjawab pertanyaan wartawan berhubung perkara itu dalam sidang media di sini hari ini beliau berkata, kenyataannya sebelum ini telah disalahtafsirkan kerana pihaknya hanya menyatakan sokongan berhubung pembangunan projek TGKLKV.

Malah katanya, kesediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan projek itu tidak bermakna pihaknya bersetuju dan mneyokong pembinaan bangunan Menara Warisan.

Jelasnya, pihaknya mencadangkan satu perbahasan diadakan berhubung perkara itu supaya semua pihak berkaitan dan berkepentingan dapat memberi pandangan serta PNB sendiri perlu menerangkan sumber pembiayaan dan bagaimana ia boleh memberi kebaikan dari segi ekonomi, sosial dan infrastruktur kepada rakyat.

Menurut Abdul Khalid, perbincangan adalah perlu kerana jika bangunan itu dibina hanya kerana ia mahu dibina, ia adalah tidak perlu.

“Oleh itu berita yang mengatakan saya menyokong pembinaan bangunan 100 tingkat itu adalah tidak tepat,’ katanya.


Tiada ulasan: